Jenama 'Mentua' bawa tuah
17 Mac 2013
Telur masin yang paling popular bagi masyarakat di negara ini adalah jenis telur itik kerana kuningnya yang lebih besar.
Siapa menduga, penglibatan secara sampingan dalam pemprosesan telur masin telah mengubah hidup Nur Amalina Abdullah, 33, apabila ia kini menjadi sumber mata pencarian tetap keluarganya.
Daripada bekas guru besar sekolah agama rakyat (SAR), wanita yang menetap di Taiping ini mampu menjadi usahawan berjaya dengan mampu meraih pendapatan bersih mencecah ribuan ringgit sebulan menerusi jualan telur masin.
Mula menceburkan diri dalam bidang penternakan sekitar Disember 2008 dengan modal simpanan sendiri hampur RM20,000, Nur Amalina dan suami, Hafiz Othman, 37, memulakan penternakan itik sebanyak 700 ekor dengan membina sangkar dan bilik kecil sebagai pejabat operasi.
Percubaan menjual telur mentah dan telur masin jeruk air secara kecil-kecilan di kedai berhampiran yang kurang menampakkan hasil, sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berusaha.
“Melihat keadaan itu, saya nekad untuk menghasilkan telur masin seperti sekarang, tanpa sebarang kursus mahupun latihan kemahiran, hanya aplikasi cuba dan lihat.
“Alhamdulillah, usaha itu diberkati dan kami kini sudah boleh berbangga dengan apa yang dihasilkan,” katanya.
Nur Amalina berkata, dia tidak mungkin mampu berdiri hingga ke tahap ini tanpa sokongan dan dorongan keluarga terutama suami tercinta.
Bermula dengan cabaran suami yang mahu dia mengusahakan tanah seluas hampir 2 hektar, dia mengorak langkah bergiat dalam ternakan itik.
Katanya, kebetulan lokasi tanah yang dibeli berhampiran dengan lombong, menyebabkan aturan perancangannya berjalan lancar untuk menternak itik.
“Pada mulanya kami membeli tanah ini untuk tujuan penanaman sawit, namun melihat keadaan persekitaran lokasi kurang sesuai, saya mengambil keputusan untuk menternak itik,” katanya.
Kalau sudah namanya rezeki, tidak ke mana. Itu gambaran tepat dapat diberikan kepada syarikat kendalian Nur Amalina ini.
Meskipun terpaksa berhempas pulas menyaipkan kertas kerja dan dihantar pada hari terakhir tarikh tutup penyertaan, ternyata ianya berbaloi.
Nur Amalina berkata, penyertaannya dalam Pertandingan Pelan Perniagaan Luar Bandar (RBC), Ogos lalu adalah atas dorongan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang melihat potensinya untuk maju.
Dinobatkan sebagai pemenang dengan meraih hadiah geran bernilai RM2 juta, ia diibaratkan sebagai hadiah paling bermakna buat Mentua Enterprise yang baru mencecah usia enam tahun.
“Kemenangan ini menjadikan impian kami bakal direalisasikan, selain menambah baik sangkar sedia, saya juga berhasrat untuk membina bengkel pemprosesan makanan dan telur masin secara lebih komiersial,” katanya.
Memasuki fasa ketiga penternakan, Mentua Entreprise kini memiliki hampir 2,500 ekor itik dan dijangka jumlah itu bakal meningkat menjelang akhir tahun ini untuk menghasilkan sasaran pengeluaran telur tiga juta setahun.
Bermula dengan 500 hingga 600 pengeluaran telur masin sehari, Mertua Enteprise kini sudah boleh tersenyum bangga apabila mampu menghasilkan 1,600 telur masin dalam tempoh sama.
Selaras dengan peningkatan berganda itu, lokasi jajahan bagi pemasaran telur masin juga semakin luas.
Jika sebelum ini, pasaran hanya dibuat sekitar Ipoh dan beberapa pasar berdekatan, kini boleh dikatakan hampir seluruh pemborong Kuala Lumpur dan Lembah Klang memilih telur masin keluaran syarikatnya.
Nur Amalina mengakui, jaminan kualiti yang diberikan disamping kesediaan menerima pemulangan semula produk yang ditawarkan kepada pemborong menjadi sebab utama, telur masin keluaran syarikatnya mudah menembusi pasaran sedia ada.
“Saya sangat mengutamakan kualiti, jika ada rosak atau retak pada telur, biarpun sedikit, kita akan pastikan ia tidak digunakan untuk penghasilan telur masin ini.
“Bagi saya, jika kita mahu pergi jauh, kualiti adalah prinsip utama yang perlu dipegang,” katanya.
Dengan sokongan padu kerajaan dalam bidang pertanian dan penternakan, Nur Amalina memasang harapan tinggi untuk melihat perusahaannya berkembang maju.
Selain telur masin, anak ketiga daripada 11 beradik ini juga sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan kaya, bahulu dan kek berasaskan telur itik.
Langkah itu diyakini mampu menjadi pencetus kepada hasrat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.
“Insya-ALLAH, kami sedang berusaha ke arah itu dan dalam tempoh satu atau dua tahun ini mungkin akan terlaksana," katanya.
No comments:
Post a Comment