Tuesday, April 26, 2011

Agropolitan Dapat RM2 Ribu


Peserta dapat RM1,000 - RM2,000 sebulan

Rumah peserta agropolitan di Batu 8, Mukim Lepar, Pekan.

PEKAN 25 April - Projek Agropolitan Pekan dijangka mengubah kehidupan lebih 400 keluarga miskin menjelang pertengahan tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata, ini kerana ia memfokuskan terhadap keseluruhan rantaian nilai aktiviti ekonomi dalam memastikan pesertanya memperoleh pendapatan tetap dan mampan.

"Menerusi pelbagai aktiviti ekonomi yang dirancang untuk peserta, mereka dijangka memperoleh pendapatan tetap bulanan antara RM1,000 dan RM2,000 dalam tempoh tiga tahun pertama projek dijalankan dan jumlah ini dijangka meningkat kepada RM5,000 sebulan dalam jangka masa panjang," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jebasingam memberitahu, projek tersebut turut menitikberatkan pemerkasaan diri peserta melalui latihan secara berterusan yang dijalankan oleh Pusat Kecemerlangan ECER (COE) seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Latihan-latihan tersebut mengambil pendekatan secara menyeluruh apabila peserta diperkayakan dengan motivasi dan kemahiran-kemahiran yang relevan dalam menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan baru selepas menyertai projek agropolitan," jelasnya.

Bagi melibatkan anak-anak peserta agropolitan tambahnya, ECERDC turut memperkenalkan program Sinar ECER bagi mempertingkatkan kemahiran akademik dan sosial mereka.

"Sinar ECER menggabungkan tiga modul iaitu kelas tuisyen untuk peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kemahiran pengucapan awam dan kemahiran pengurusan diri," katanya.

Menurut Jebasingam, seramai 160 kanak-kanak di Agropolitan Pekan menyertai program Sinar ECER termasuk 50 kanak-kanak Orang Asli di Runchang dan 110 kanak-kanak agropolitan di Batu 8, Mukim Lepar dekat sini.

Agropolitan


Agropolitan ubah hidup rakyat miskin

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
utusanpahang@utusan.com.my


Najib Tun Razak meluangkan masa melawat Unit Pengeluaran Haiwan di Batu 8, Mukim Lepar, Pekan, baru-baru ini.

PEKAN 25 April - Tidak siapa mahu dilahirkan di dunia ini sebagai miskin dan hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Seboleh-bolehnya setiap insan mahu hidup dalam kesenangan dan boleh memiliki apa sahaja yang diinginkan.

Begitu juga dengan kerajaan yang tidak mahu melihat rakyatnya hidup dalam kesempitan.

Justeru, sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini, pelbagai program pembasmian kemiskinan dilaksanakan oleh kerajaan demi menaikkan taraf hidup rakyatnya.

Sepanjang tempoh itu juga, jutaan malah mungkin berbilion ringgit dibelanjakan bagi menangani masalah kemiskinan di kalangan rakyat.

Antara projek yang sedang dilaksanakan kerajaan untuk mengatasi masalah itu adalah projek agropolitan.

Menerusi projek itu, rakyat yang miskin dipilih untuk dilibatkan diri dalam pelbagai aktiviti ekonomi yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Begitulah juga dengan 100 keluarga miskin di Batu 8, Mukim Lepar, dekat sini yang kini menikmati kehidupan lebih baik dan berpendapatan tetap selepas menyertai projek Agropolitan Pekan.

Baru-baru ini, semua keluarga terbabit berpindah ke rumah baru yang dibina oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang lengkap dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, tadika, masjid dan rumah kedai.

Mereka yang sebelum ini miskin, mula menerima pendapatan stabil menerusi penglibatan dalam penternakan biri-biri Dorper.

Mereka merupakan peserta Projek Agropolitan yang merupakan projek sosioekonomi bersepadu hasil inisiatif ECERDC yang bermatlamat membasmi kemiskinan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),

Projek itu terdiri daripada tiga komponen iaitu aktiviti utama seperti penternakan biri-biri dan perladangan kelapa sawit, aktiviti sekunder yang meliputi industri hiliran berasaskan biri-biri dan minyak kelapa sawit, tanaman jagung, perladangan nanas dan aktiviti industri kecil dan sederhana (IKS).

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan secara simbolik kunci rumah baru kepada 100 peserta di Batu 8 di sini.

Turut hadir menyaksikan upacara itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

Rata-rata peserta projek terbabit yang ditemuinya menyatakan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Menurut Hanis Ahmad, 51, dia kini boleh menarik nafas lega apabila pendapatannya mencecah RM1,100 sebulan selepas dipilih menyertai projek tersebut.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengeluarkan saya daripada kemiskinan. Sebelum ini, saya hanya bekerja kampung dan mendapat pendapatan tidak menentu," katanya.

Hanis bersama suami dan lima anaknya juga lega apabila menerima rumah yang selesa dan serba lengkap dengan kemudahan asas.

Sorang lagi peserta, Wan Muhammad Safuab Wan Jaafar, 25, berkata, hidupnya kini lebih senang berbanding sebelum menyertai projek berkenaan.

"Saya amat bersyukur kerana dengan kemudahan asas yang ada dan pendapatan tetap banyak mengubah nasib kami sekeluarga," katanya yang mempunyai seorang anak.

Jirannya, Abd. Jalil Bakaruddin, 31, berkata, penglibatannya dalam projek ternakan kambing biri-biri membawa erti yang besar kepada kehidupannya bersama isteri dan anaknya.

"Saya sangat bersyukur dan seronok apabila diberi peluang turut terlibat dalam projek ini," katanya.

Monday, April 25, 2011

Rebung Madu


Rebung madu jana pendapatan

PENDANG – Rebung adalah sejenis sayuran yang hanya digemari segelintir individu sahaja terutamanya golongan tua yang tinggal di kawasan kampung, namun lain pada masa kini apabila banyak golongan muda sudah mula mengenali dan menggemarinya.

Rebung boleh didapati di hutan dan kaki bukit yang mempunyai pokok buluh, namun usaha mencari makanan itu dianggap begitu sukar.

Warga emas, Ahmad Daim, 74, membuka fikiran untuk menanam rebung madu bagi menggantikan rebung hutan yang sukar diperoleh memandangkan permintaan terhadapnya begitu tinggi pada masa kini.

Ahmad berkata, dia sudah mengusahakan tanaman buluh madu bagi mendapatkan rebung di tanah miliknya di Kampung Paya Sulaiman, Pendang dengan tanaman sebanyak 300 pokok.

Menurutnya, setelah pulang dari melihat tanaman rakannya yang berjay,a menyebabkan dia mula berani untuk menanam pokok buluh madu.

“Tanaman pokok buluh madu ini adalah sangat mudah, kerana tidak perlu menyiram atau memerlukan penelitian yang rapi seperti tanaman-tanaman lain,” katanya.



Rebung madu istimewa

Tanaman rebung madu mempunyai keistimewaannya tersendiri berbanding tanaman rebung hutan yang mempunyai bulu dan miang apabila menghampiri pokoknya.

Katanya, buluh madu tidak mempunyai bulu di rebungnya dan mudah untuk diambil memandangkan pokoknya tidak rimbun ke bawah tanah dan begitu manis serta mudah untuk ditanam walaupun di sekitar kawasan rumah.

“Setiap tiga hari sekali saya mengutip rebung madu dengan memperoleh lebih 30 kilogram untuk dihantar kepada pembeli.

“Tanaman dan hasil kutipan rebung dibantu anak dan cucu yang tinggal berhampiran kawasan itu yang begitu menyokong penuh tanaman rebung madu yang diusahakan saya,” katanya.

Ahmad berkata, dia berasakan tanaman buluh madu ini adalah yang paling mudah diusahakan berbanding banyak tanaman lain, kerana hasil rebung dapat dijual dalam masa enam bulan selepas ditanam.

:“Saya menghantar rebung di beberapa kedai makan sekitar Pekan Pendang dan Tanah Merah dengan harga RM4 sekilo dan kadang-kala, harga itu dijual dengan rendah apabila diambil dengan kuantiti yang banyak,” katanya.

Selain menjual rebung madu, dia juga menyediakan jualan benih pokok buluh berkenaan dengan harga RM5 sepokok dan mana-mana individu yang ingin mempelajari tanaman itu boleh menghubunginya di talian 013-5158719.

Ahmad kini meluahkan rasa lega, kerana secara puratanya memperoleh pendapatan lebih RM2,000 sebulan hasil tanaman rebung yang diusahakannya itu.

Sunday, April 24, 2011

Buat Coklat


Gagal dapat kerja, buka bisnes coklat

LULUSAN Kejuruteraan Bioteknologi, Siti Fatimah Bedol kini berbangga mengusahakan perniagaan coklat dan tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa yang berminat. – utusan/Abdul Nazir Mohamed

MENCEBURI bidang perniagaan bukanlah suatu perkara mudah kerana selain memerlukan komitmen yang tinggi ia juga merupakan satu cabang pekerjaan yang memerlukan seseorang itu tabah dan sanggup menghadapi risiko.

Tambahan pula, perniagaan yang dipilih mempunyai banyak persaingan terutama daripada syarikat multinasional.

Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin terlibat dalam bidang ini, selain mempunyai pengalaman dinasihatkan juga agar memenuhkan ilmu mengenai perniagaan di dada.

Bagi ibu muda dari Kota Bharu, Kelantan ini, dia sedikit pun tidak gentar malah menyahut cabaran suaminya walaupun tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang perniagaan.

Hari ini, siapa tahu, tanpa sebarang pengalaman mahupun pengetahuan dalam bidang perniagaan, Siti Fatimah Bedol boleh dikategorikan sebagai usahawan berjaya.

Berbicara lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan, Siti Fatimah mengibaratkannya sebagai bidan terjun.

Ini kerana, menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, segala-galanya bermula apabila dia tidak pernah bernasib baik dalam setiap permohonan untuk mana-mana jawatan.

Mempunyai kelulusan dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi, Siti Fatimah sememangnya tidak pernah berputus asa sehinggalah suatu hari suaminya mencadangkan agar dia mempelajari pembuatan coklat.

Dari situlah segala-galanya bermula dan ada kalanya Siti Fatimah tidak menang tangan kerana permintaan tinggi.

‘‘Alhamdulillah, berkat kesabaran serta semangat untuk menceburi bidang yang begitu asing, akhirnya saya berjaya mengharunginya.

‘‘Permintaan terhadap coklat begitu tinggi tambahan pula coklat yang dibuat beraneka bentuk dan juga pelbagai perisa.

‘‘Secara umumnya, coklat sesuai untuk kesemua majlis dan ia juga sesuai untuk dijadikan cendera mata kepada tetamu,’’ ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Katanya lagi, hari ini coklatnya mendapat permintaan seluruh Malaysia dan tidak ketinggalan negara jiran, Brunei.

Menggunakan bahan-bahan tempatan, Siti Fatimah pandai bermain dengan reka bentuk untuk menarik perhatian terutama di kalangan kanak-kanak.

Dijual pada harga serendah 60 sen, harga coklat yang dijual juga bergantung kepada bentuk, saiz dan jenis.

Jelas Siti Fatimah, selain mengambil tempahan, dia juga mengadakan kelas cara-cara membuat coklat.

‘‘Selain menerima tempahan pelanggan, saya juga membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mempelajari membuat coklat. Sebenarnya pembuatan coklat adalah mudah.

“Untuk itu, saya dan suami

menyediakan pakej seperti belajar membuat coklat dan juga blog

untuk pemasaran.

‘‘Insya-Allah, sekiranya ia dilakukan bersungguh-sungguh, ia pasti mendatangkan keuntungan dan kebaikan,’’ katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mempelajari pembuatan coklat, bolehlah hubungi Siti Fatimah di talian 019-2408015 atau layari www.belajarcoklat.com serta http://shocolats.blogspot.com untuk melihat sendiri apa yang ditawarkan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Secret Recepi


Rahsia kejayaanpengasas Secret Recipe

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Foto WAHIDAH ZAINAL & koleksi Datuk Steven Sim



MENAUNGI kira-kira 3000 pekerja di seluruh negara - 95 peratus rakyat tempatan, selebihnya dari negara jiran. Lebih menarik lagi 98 peratus daripada keseluruhan pekerjanya Melayu beragama Islam. Angka itu membuatkan keterujaan mahu menyelongkar di sebalik nama Datuk Steven Sim meluap-luap. Tidak banyak tulisan mengenainya sedangkan jenama Secret Recipe yang diasaskan beliau membina nama ke peringkat antarabangsa. Secret Recipe lebih menonjol daripada tuannya - kesempatan bersembang dua jam dengan Steven cukup untuk menjawab perbandingan tersebut.

Anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan itu hakikatnya amat merendah diri. Prinsip hidupnya antara lain jangan tamak. ''Kita dilahirkan kosong, bila mati pun tak bawa apa-apa,'' kata anak bongsu lapan beradik yang mengkategorikan kehidupan masa kecilnya susah. Suasana kampung sarat dengan kekurangan menjadikan Steven manusia kreatif. Semua permainan dibuat sendiri. Jika budak-budak lain membuat wau biasa, Steven menambah nilai misalnya memastikan wau hasil tangannya mempunyai bunyi berdengung. Untuk bermain hoki pelepah kelapa 'dikemaskan' manakala biji getah digosok hingga licin sehingga ada rakan tertarik lalu membelinya selain aktiviti menangkap ikan yang kemudiannya juga menjadi hasil jualan.

Majoriti rakan Steven berbangsa Melayu sementelah dia sendiri membesar di perkampungan Melayu. Hubungan dengan jiran biar berbeza bangsa sangat rapat, manakala di kalangan rakan-rakan tidak pernah berbangkit soal tidak boleh bermain bersama semata-mata kerana 'aku Melayu dan engkau Cina'.

Mengakui dilahirkan dengan bakat berniaga, bagi Steven jiwa keusahawanan bukanlah sesuatu yang boleh dipelajari atau boleh dibuat-buat. Sebagai anak bongsu dia sering mempertahankan haknya, lantang meluahkan perasaan. ''Anak bongsu biasalah abang-abang suka mengusik, buli. Tetapi saya ada keberanian untuk bersuara,'' katanya.

Pernah bercita-cita mahu menjadi Pereka Hiasan Dalaman, namun siapa sangka rezeki Steven melimpah-ruah dalam bidang perniagaan makanan. Itu pun bukan pekerjaan pertamanya. Dia pernah berkhidmat dengan syarikat antarabangsa dalam bidang pemasaran dan jenama khusus menyelia rangkaian pejabat di negara-negara Asia Pasifik. Banyak yang dipelajari terutamanya apabila berpeluang melawat pelbagai negara sepanjang kariernya itu. Steven gemar melancong namun dia tidak mahu pulang kosong. Dia menjadi pemerhati kepada gaya hidup masyarakat di negara yang dilawatinya. Setiap persoalan seperti mengapa penduduk Dubai makan lewat malam, penduduk Australia cepat menghabiskan kerja dianalisis dan dicari jawapan.

Ditanya bagaimana Secret Recipe bermula, Steven mengimbas kenangan kira-kira 14 tahun lalu di mana dia dan tiga anak saudaranya memulakan perniagaan kek dan kopi menggunakan konsep baru. ''Ketika itu saya merasakan ada sesuatu yang kurang dalam perniagaan makanan di negara kita. Kita ada fine dining di hotel-hotel, manakala kedai makan biasa selalunya serba ringkas dan kurang menjaga kebersihan.

''Tidak ada casual dining di mana kita boleh menikmati hidangan sambil bersantai dalam suasana yang menarik dengan harga makanan tidak terlalu mahal,'' katanya.

Dari situ bermulalah premis pertama Secret Recipe di SS2 Petaling Jaya. Anak tangga pertama tidak mudah didaki lantaran tiada siapa tahu tentang jenama itu. Oleh kerana tidak cukup modal untuk mengiklankan tentang outlet pertama, Steven melakukan pemasaran sendiri menawarkan kopi percuma. Ternyata ada perkembangan positif, daripada menikmati kopi percuma pelanggan mencuba pula kek-kek yang dijual di situ. Steven tidak lupa pengalaman yang mendedahkan Secret Recipe kepada dunia sebenar. Seorang wartawan dari majalah KL Vision mencuba kek kejunya dan mencadangkan supaya dia menyertai pertandingan kek keju tahunan. Apabila tiba hari pertandingan Steven langsung tidak membuat persiapan kerana terlupa tarikh yang dimaklumkan kepadanya. Dia cuma menghantar kek keju biasa dan tidak menaruh harapan untuk menang. ''Semasa itu peserta terdiri daripada chef-chef hotel terkenal, sedangkan Secret Recipe tak ada siapa pun yang kenal, hakim-hakim pun tak tahu tentang kami,'' katanya tidak menyangka ketika itu kek keju Secret Recipe memenangi Grand Champion. Selepas itu anugerah yang diterima Secret Recipe tidak terhitung. Terlalu banyak dan pelbagai sehingga memupuk kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap jenama tersebut.

Ditanya tentang nama Secret Recipe, Steven berkongsi cerita. Katanya, dia sememangnya seorang yang suka bekerja. Otaknya juga tidak berhenti bekerja walaupun ketika tidur. Lebih menarik lagi, di sisi katilnya mesti ada kertas dan pen. Tangannya akan menulis apa yang tercetus semasa tidur. Itu keistimewaan bapa kepada lima anak itu. Dia memberitahu nama Secret Recipe diperoleh semasa di Hong Kong. Seperti biasa bangkit daripada tidur dia membelek kertas kecil di meja sisi dan perkataan Secret Recipe tertera di situ.

Perkembangan Secret Recipe yang memberangsangkan memberi idea kepada Steven untuk memfrancaiskan jenama tersebut. Bermula dengan saudara mara dan rakan-rakan rapat, Steven secara perlahan-lahan menyerahkan kepercayaan kepada sesiapa saja yang memenuhi kriteria untuk menyertai francais Secret Recipe. Kini terdapat kira-kira 200 outlet di seluruh negara. Dia yang masih belum berpuas hati mahu mengembangkan jenama makanan Malaysia ke luar negara.

''Kita lihat masyarakat antarabangsa mudah mengenali makanan Thai, Jepun, Vietnam, China dan sebagainya tetapi makanan Malaysia sukar menembusi imej antarabangsa.

''Dari situ lahir keinginan saya untuk meneroka pasaran luar biar pun saya telah menjangkakan cabaran yang dihadapi bukan sedikit,'' katanya.

Steven berkongsi pengalaman memperkenalkan Secret Recipe di negara jiran Singapura. Hasrat membuka outlet di Orchard Road kecundang lantaran jenama Malaysia dipandang rendah. Tidak berputus asa dia mencuba di kawasan lain di republik itu ternyata sambutan yang diterima amat menggalakkan. Tatkala berjaya mencipta nama di situ, Steven ditawarkan ruang perniagaan di Orchard Road. Tidak terhenti di situ, dua kali dia didatangi pihak pelaburan Singapura mencadangkan supaya ibu pejabat Secret Recipe dipindahkan ke negara itu. Pelbagai tawaran menarik turut mengiringi jemputan tersebut. Namun jati diri anak Kelantan itu ternyata kukuh, tidak mudah terpesona dengan tawaran yang sememangnya tidak diperoleh di negara sendiri.

Kini dengan pasaran menjangkau ke China, Australia, Filipina, Thailand, Brunei, Indonesia dan beberapa negara lagi, percaturan Steven bersama tiga anak saudaranya pada tahun 1997 untuk mengangkat jenama Malaysia ternyata tidak silap. Dia juga bersungguh-sungguh memastikan jenama Malaysia itu membawa sijil Halal biar di mana saja ia dibuka lantaran percaya industri makanan halal amat luas untuk diteroka. Umat Islam ada di mana saja untuk menikmatinya selain orang bukan Islam yang juga percaya kepada kebersihan produk Secret Recipe selain kualiti hidangan yang disajikan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, April 12, 2011

Serai


Projek serai ubah kehidupan Yusaini

YUSAINI Anor Mat Amin membersihkan kawasan tanaman serai yang hidup subur di tapak projek pertanian Kampung Tanjong Gahai, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 11 April - Melihat tanah terbiar di kampungnya, mencetuskan keinginan seorang penduduk, Yusaini Anor Mat Amin, 42, untuk memerahkan keringatnya mengusahakan tanaman serai secara komersial di Tanjung Gahai, Hulu Jelai dekat sini.

Peserta Projek Agropolitan itu, mengusahakan tanaman serai atau nama saintifiknya 'cymbopogon citratus' di tanah terbiar seluas enam hektar berdekatan rumahnya untuk menambah pendapatan keluarganya.

''Saya terpanggil untuk memajukan tanah terbiar dengan mencuba projek tanaman serai berikutan permintaan tinggi di bandar ini, Raub dan Pasar Borong Selayang, Selangor.

''Bermodalkan sedikit wang simpanan, saya menyewa tanah milik penduduk dengan sewa RM3,000 sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Selepas berbelanja hampir RM10,000 untuk projek berkenaan, ujarnya, tanaman itu telah boleh dipasarkan dan berjaya mengembalikan semula modalnya.

''Dalam tempoh lima bulan ini, sebanyak 21,600 rumpun serai telah dipasarkan pada awal bulan lalu," katanya.

Menurut Yusaini, setiap rumpun mengandungi antara lima hingga enam batang serai manakala setiap sehektar terdapat sebanyak 21,600 batang.

Yusaini memberitahu, setiap sehektar terdapat 20,000 kilogram serai yang boleh dipasarkan ke bandar berdekatan.

''Menerusi perjanjian ladang kontrak dengan Lembaga Perusahaan Pertanian Persekutuan (FAMA), serai dijual dengan harga antara 60 sen hingga 80 sen seikat," katanya.

Pada pusingan pertama, ujarnya, sebanyak 20,000 kilogram serai dijual dengan perolehan kasar dijangka mencapai sehingga RM16,000 pada akhir bulan depan.

Dia berkata, perolehan itu akan digunakan untuk modal pusingan kedua bagi projek tanaman tersebut.

Yusaini juga merancang untuk memulakan tanaman cili merah dan nanas menerusi perolehan itu di tanah terbiar di kampungnya.

''Saya juga mempelawa belia kampung ini terlibat dalam projek yang dijalankan itu jika mereka mahu mengubah kehidupan," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Sunday, April 10, 2011

Siti Fatonah





Siti Fatonah seronok kongsi ilmu
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERSUSUN... di depan rumah kambing yang dipelihara secara fidlot.
TERSUSUN... di depan rumah kambing yang dipelihara secara fidlot.

LIMA belas ekor lembu dibeli sekadar menguji kemampuan memasarkan lembu korban. Lembu berkenaan ditumpangkan di kandang milik penternak lain buat sementara waktu sebelum dijual di musim korban sempena Aidiladha. Daripada jumlah itu, cuma seekor tidak terjual kerana terlalu kurus.

Itu titik permulaan Siti Fatonah Arbain, 42, menjadi penternak selepas nekad meninggalkan kerja makan gaji biarpun punya jawatan baik dan bergaji lumayan.


Jualan lembu yang memberangsangkan membakar semangatnya, membuatkan dia yakin mampu melangkah jauh dalam bidang itu.

sebelum selepas

Foto

KERJASAMA... Fatonah (tengah) bersama suami, anak, pekerja dan penuntut yang menjalani latihan amali.
Foto

KASIH SAYANG... haiwan peliharaan diberi perhatian dan penjagaan rapi
Foto

MENGGAMIT SELERA...bersama suami, Jamil, menyediakan kambing panggang yang ditempah pelanggan.

Pada 2005, bermodal RM370,000 hasil menjual rumah dan duit simpanan, dia memulakan projek ternakan lembu dengan membeli sebidang tanah seluas satu hektar di Kuala Selangor dan membina kandang. Lembu yang tidak terjual dijadikan sebagai pembuka kandang di samping 30 lembu lain yang dibeli dari Jeli, Kelantan.


"Apabila menternak lembu, orang tanya pula, kambing ada? Akhirnya soalan itu saya jadikan pendorong untuk menternak kambing. Bermula dengan kambing kampung kacukan, saya menambah pelbagai baka lain. Ia membiak dan kini jumlahnya lebih 500 ekor," katanya.


Biarpun mendapat layanan dan banyak keistimewaan daripada syarikat tempatnya bekerja, tidak sekelumit pun timbul rasa menyesal di hati Fatonah meninggalkan kerusi empuk dan bilik berhawa dingin demi memenuhi cita-cita sebagai usahawan ternak.

"Saya memang hendak bekerja sendiri dan meminati bidang penternakan. Mulanya ingat nak 'main-main' tetapi kalau boleh menggantikan pendapatan ketika bekerja makan gaji, apa salahnya saya teruskan dan tumpukan sepenuh perhatian.


"Sebelum itu, saya membuat pelbagai persediaan seperti membuat tinjauan pasaran dan potensi sama ada mendapatkan maklumat daripada Internet atau bertemu penternak," katanya.

Dia turut mempersiapkan diri mengikuti kursus Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan kursus keusahawanan, kewangan dan pemasaran dikendalikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menghadapi segala kemungkinan dan cabaran dalam dunia baru.


"Jika ingin berjaya, kita perlu menguasai kira-kira 95 peratus pengetahuan dalam industri yang ingin kita ceburi, selebihnya peratus kegagalan. Jika tidak, kita mungkin hanya berjaya separuh jalan.


"Untuk ternakan, jenis penyakit asas dan pencegahan perlu difahami. Jika ada penyakit berlarutan, baru rujuk kepada JPV. Saya mendapatkan khidmat nasihat perubatan daripada pakar ubatan veterinar yang membekalkan keperluan perubatan kepada ternakan saya," katanya.


Bermula dengan ternakan lembu diikuti kambing, Fatonah kemudian memilih ayam kampung kacukan sebagai ternakan selain itik daging muscovy dan itik telur khaki campbell, puyuh dan kini arnab secara kecil-kecilan. Selain itu, dia memelihara ayam Belanda, ayam mutiara, angsa dan merak sebagai hobi.


Menurutnya, industri lembu dan kambing kurang diminati di negara ini dan dia terpanggil menarik minat orang muda menceburi sektor penternakan.


"Industri ternakan tempatan tidak cukup untuk menampung permintaan, malah 75 peratus daripadanya bergantung kepada import.


"Malaysia kaya dengan rumput-rampai tetapi masih jauh ketinggalan dalam industri ternakan kerana tiada minat di kalangan generasi muda.


"Masih banyak kawasan terbiar tidak diusaha dan dibazirkan, sedangkan ia boleh mengurangkan masalah pengangguran," katanya.


Fatonah berkata, negara memerlukan lebih 500,000 ekor kambing setahun dan 95 peratus diimport dari Australia, Thailand dan Indonesia, sekali gus menyebabkan pengaliran duit ke luar negara.


Kandang lembunya mampu memuatkan 300 lembu dalam satu masa dan pada Mei, pihaknya membawa masuk lembu import yang biasanya habis dijual pada raya korban.


"Buat masa ini cuma ada stok 50 ekor lembu untuk dijual. Bagaimanapun, kami tidak menjual daging segar, sebaliknya menjual lembu atau kambing sama ada hidup, lapah mahupun dimasak," katanya sambil menunjukkan dua ekor kambing yang dipanggang.


Untungnya, Fatonah bukan saja mahir menternak, malah turut cekap memasak. Dia menguruskan tempahan kambing untuk aqiqah iaitu memasak dan khidmat penghantaran sekitar Selangor, misalnya ke maahad tahfiz atau rumah anak yatim, bergantung kepada permintaan pelanggan. Antara menu disediakan ialah BBQ, kari, kurma dan sup.


Sepanjang enam tahun mengusahakan ternakan, Fatonah tidak terlepas daripada ujian, cabaran dan risiko. Dia pernah menerima tiga cek tendang dengan dua cek tidak cukup wang dalam akaun bank pembayar manakala satu lagi, akaun bank sudah ditutup.


Pembeli yang memesan ayam dan itik siap diproses kemudiannya tidak lagi mengangkat telefon apabila dihubungi. Akibat kejadian itu, Fatonah kerugian hampir RM5,000.


"Disebabkan tidak cukup ilmu ketika mula menternak dulu, sebanyak 30 ekor lembu yang kami beli ialah baka kecil tetapi dijual kepada kami dengan harga mahal.


"Lembu baka Kedah Kelantan itu cuma mampu membesar sehingga 300 kilogram, sedangkan baka besar seperti Brahman boleh mencecah berat lebih 400 kilogram. Ini mengakibatkan kerugian apabila lembu berkenaan terpaksa dijual pada harga kos," katanya.


Ladang MJF dilengkapi kandang lembu yang mampu menampung 300 ekor lembu, dua kandang kambing dengan kapasiti 700 ekor kambing pada satu masa, kabin pekerja, rumah baja, rumah sembelihan, stor makanan, bilik kuliah, dewan makan, surau dan bilik penginapan berhawa dingin.


Pada Julai 2007, Fatonah mengorak langkah menubuhkan Akademi Latihan Penternakan MJF bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan mereka yang berminat.


"Pada mulanya saya tidak terfikir untuk membuka akademi latihan kerana ada yang datang ke sini mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang ternakan. Kebanyakan yang datang bukan hendak beli pun, tetapi cuma ingin bertanya.


"Bagaimanapun, apabila Mara melalui Institut Usahawan Bumiputera (IUB) berkunjung ke ladang ini untuk mencari tempat kursus dan meminta kami menganjurkan kursus, timbul hasrat untuk membuka akademi latihan. Kebetulan suami memang suka berkongsi pengalaman dan pendapat," katanya.


Kira-kira 900 orang mengikuti kursus ternakan di akademi latihan berkenaan yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Angkatan Koperasi Malaysia (Angkasa) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta mendapat tauliah dan pengiktirafan ibu pejabat JPV Putrajaya.


Kursus usahawan ternakan lembu dan kambing merangkumi teknik penternakan lembu dan kambing, pembuatan makanan ternakan, pembuatan baja organik, penyembelihan halal, prosedur logistik ternakan, penggunaan probiotik EM (Effective Micro-organisma), teknik pemasaran strategik dan penyediaan kertas kerja pinjaman. Akademi latihan ini juga menganjurkan Kursus Usahawan Ternakan Ayam, Itik dan Puyuh.


Baru-baru ini peserta akademi latihan dari Abu Dhabi memaklumkan ingin membuka pusat ternakan di Kuantan. Fatonah seronok kerana ramai peserta kursus kini mempunyai ladang ternakan sendiri. Fatonah sering dihubungi bekas peserta kursus yang memberitahu perkembangan dan permasalahan mereka ketika menternak.


Untuk memastikan kebajikan mereka terjaga, peserta kursus disatukan dalam Koperasi Pelatih MJ Fatonah Selangor Berhad (Koperasi MJ Fatonah). Koperasi berperanan sebagai pusat sehenti pemasaran dan pembekalan produk anggotanya dengan menghubungkan dengan jaringan yang ada.




>PROFIL
NAMA: Siti Fatonah Arbain
JAWATAN: Pengarah Urusan MJ Fatonah Sdn Bhd (MJF)
UMUR: 42 tahun
ASAL: Sabak Bernam, Selangor
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor
SUAMI: Mohd Jamil Mahidin
ANAK: Mohamad Khairul (18) dan Muhamad Khairunnas (14)
Kongsi artikel ini menerusi media sosial