Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Sunday, April 10, 2011
Siti Fatonah
Siti Fatonah seronok kongsi ilmu
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERSUSUN... di depan rumah kambing yang dipelihara secara fidlot.
TERSUSUN... di depan rumah kambing yang dipelihara secara fidlot.
LIMA belas ekor lembu dibeli sekadar menguji kemampuan memasarkan lembu korban. Lembu berkenaan ditumpangkan di kandang milik penternak lain buat sementara waktu sebelum dijual di musim korban sempena Aidiladha. Daripada jumlah itu, cuma seekor tidak terjual kerana terlalu kurus.
Itu titik permulaan Siti Fatonah Arbain, 42, menjadi penternak selepas nekad meninggalkan kerja makan gaji biarpun punya jawatan baik dan bergaji lumayan.
Jualan lembu yang memberangsangkan membakar semangatnya, membuatkan dia yakin mampu melangkah jauh dalam bidang itu.
sebelum selepas
Foto
KERJASAMA... Fatonah (tengah) bersama suami, anak, pekerja dan penuntut yang menjalani latihan amali.
Foto
KASIH SAYANG... haiwan peliharaan diberi perhatian dan penjagaan rapi
Foto
MENGGAMIT SELERA...bersama suami, Jamil, menyediakan kambing panggang yang ditempah pelanggan.
Pada 2005, bermodal RM370,000 hasil menjual rumah dan duit simpanan, dia memulakan projek ternakan lembu dengan membeli sebidang tanah seluas satu hektar di Kuala Selangor dan membina kandang. Lembu yang tidak terjual dijadikan sebagai pembuka kandang di samping 30 lembu lain yang dibeli dari Jeli, Kelantan.
"Apabila menternak lembu, orang tanya pula, kambing ada? Akhirnya soalan itu saya jadikan pendorong untuk menternak kambing. Bermula dengan kambing kampung kacukan, saya menambah pelbagai baka lain. Ia membiak dan kini jumlahnya lebih 500 ekor," katanya.
Biarpun mendapat layanan dan banyak keistimewaan daripada syarikat tempatnya bekerja, tidak sekelumit pun timbul rasa menyesal di hati Fatonah meninggalkan kerusi empuk dan bilik berhawa dingin demi memenuhi cita-cita sebagai usahawan ternak.
"Saya memang hendak bekerja sendiri dan meminati bidang penternakan. Mulanya ingat nak 'main-main' tetapi kalau boleh menggantikan pendapatan ketika bekerja makan gaji, apa salahnya saya teruskan dan tumpukan sepenuh perhatian.
"Sebelum itu, saya membuat pelbagai persediaan seperti membuat tinjauan pasaran dan potensi sama ada mendapatkan maklumat daripada Internet atau bertemu penternak," katanya.
Dia turut mempersiapkan diri mengikuti kursus Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan kursus keusahawanan, kewangan dan pemasaran dikendalikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menghadapi segala kemungkinan dan cabaran dalam dunia baru.
"Jika ingin berjaya, kita perlu menguasai kira-kira 95 peratus pengetahuan dalam industri yang ingin kita ceburi, selebihnya peratus kegagalan. Jika tidak, kita mungkin hanya berjaya separuh jalan.
"Untuk ternakan, jenis penyakit asas dan pencegahan perlu difahami. Jika ada penyakit berlarutan, baru rujuk kepada JPV. Saya mendapatkan khidmat nasihat perubatan daripada pakar ubatan veterinar yang membekalkan keperluan perubatan kepada ternakan saya," katanya.
Bermula dengan ternakan lembu diikuti kambing, Fatonah kemudian memilih ayam kampung kacukan sebagai ternakan selain itik daging muscovy dan itik telur khaki campbell, puyuh dan kini arnab secara kecil-kecilan. Selain itu, dia memelihara ayam Belanda, ayam mutiara, angsa dan merak sebagai hobi.
Menurutnya, industri lembu dan kambing kurang diminati di negara ini dan dia terpanggil menarik minat orang muda menceburi sektor penternakan.
"Industri ternakan tempatan tidak cukup untuk menampung permintaan, malah 75 peratus daripadanya bergantung kepada import.
"Malaysia kaya dengan rumput-rampai tetapi masih jauh ketinggalan dalam industri ternakan kerana tiada minat di kalangan generasi muda.
"Masih banyak kawasan terbiar tidak diusaha dan dibazirkan, sedangkan ia boleh mengurangkan masalah pengangguran," katanya.
Fatonah berkata, negara memerlukan lebih 500,000 ekor kambing setahun dan 95 peratus diimport dari Australia, Thailand dan Indonesia, sekali gus menyebabkan pengaliran duit ke luar negara.
Kandang lembunya mampu memuatkan 300 lembu dalam satu masa dan pada Mei, pihaknya membawa masuk lembu import yang biasanya habis dijual pada raya korban.
"Buat masa ini cuma ada stok 50 ekor lembu untuk dijual. Bagaimanapun, kami tidak menjual daging segar, sebaliknya menjual lembu atau kambing sama ada hidup, lapah mahupun dimasak," katanya sambil menunjukkan dua ekor kambing yang dipanggang.
Untungnya, Fatonah bukan saja mahir menternak, malah turut cekap memasak. Dia menguruskan tempahan kambing untuk aqiqah iaitu memasak dan khidmat penghantaran sekitar Selangor, misalnya ke maahad tahfiz atau rumah anak yatim, bergantung kepada permintaan pelanggan. Antara menu disediakan ialah BBQ, kari, kurma dan sup.
Sepanjang enam tahun mengusahakan ternakan, Fatonah tidak terlepas daripada ujian, cabaran dan risiko. Dia pernah menerima tiga cek tendang dengan dua cek tidak cukup wang dalam akaun bank pembayar manakala satu lagi, akaun bank sudah ditutup.
Pembeli yang memesan ayam dan itik siap diproses kemudiannya tidak lagi mengangkat telefon apabila dihubungi. Akibat kejadian itu, Fatonah kerugian hampir RM5,000.
"Disebabkan tidak cukup ilmu ketika mula menternak dulu, sebanyak 30 ekor lembu yang kami beli ialah baka kecil tetapi dijual kepada kami dengan harga mahal.
"Lembu baka Kedah Kelantan itu cuma mampu membesar sehingga 300 kilogram, sedangkan baka besar seperti Brahman boleh mencecah berat lebih 400 kilogram. Ini mengakibatkan kerugian apabila lembu berkenaan terpaksa dijual pada harga kos," katanya.
Ladang MJF dilengkapi kandang lembu yang mampu menampung 300 ekor lembu, dua kandang kambing dengan kapasiti 700 ekor kambing pada satu masa, kabin pekerja, rumah baja, rumah sembelihan, stor makanan, bilik kuliah, dewan makan, surau dan bilik penginapan berhawa dingin.
Pada Julai 2007, Fatonah mengorak langkah menubuhkan Akademi Latihan Penternakan MJF bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan mereka yang berminat.
"Pada mulanya saya tidak terfikir untuk membuka akademi latihan kerana ada yang datang ke sini mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang ternakan. Kebanyakan yang datang bukan hendak beli pun, tetapi cuma ingin bertanya.
"Bagaimanapun, apabila Mara melalui Institut Usahawan Bumiputera (IUB) berkunjung ke ladang ini untuk mencari tempat kursus dan meminta kami menganjurkan kursus, timbul hasrat untuk membuka akademi latihan. Kebetulan suami memang suka berkongsi pengalaman dan pendapat," katanya.
Kira-kira 900 orang mengikuti kursus ternakan di akademi latihan berkenaan yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Angkatan Koperasi Malaysia (Angkasa) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta mendapat tauliah dan pengiktirafan ibu pejabat JPV Putrajaya.
Kursus usahawan ternakan lembu dan kambing merangkumi teknik penternakan lembu dan kambing, pembuatan makanan ternakan, pembuatan baja organik, penyembelihan halal, prosedur logistik ternakan, penggunaan probiotik EM (Effective Micro-organisma), teknik pemasaran strategik dan penyediaan kertas kerja pinjaman. Akademi latihan ini juga menganjurkan Kursus Usahawan Ternakan Ayam, Itik dan Puyuh.
Baru-baru ini peserta akademi latihan dari Abu Dhabi memaklumkan ingin membuka pusat ternakan di Kuantan. Fatonah seronok kerana ramai peserta kursus kini mempunyai ladang ternakan sendiri. Fatonah sering dihubungi bekas peserta kursus yang memberitahu perkembangan dan permasalahan mereka ketika menternak.
Untuk memastikan kebajikan mereka terjaga, peserta kursus disatukan dalam Koperasi Pelatih MJ Fatonah Selangor Berhad (Koperasi MJ Fatonah). Koperasi berperanan sebagai pusat sehenti pemasaran dan pembekalan produk anggotanya dengan menghubungkan dengan jaringan yang ada.
>PROFIL
NAMA: Siti Fatonah Arbain
JAWATAN: Pengarah Urusan MJ Fatonah Sdn Bhd (MJF)
UMUR: 42 tahun
ASAL: Sabak Bernam, Selangor
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor
SUAMI: Mohd Jamil Mahidin
ANAK: Mohamad Khairul (18) dan Muhamad Khairunnas (14)
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment