Tuesday, April 12, 2011

Serai


Projek serai ubah kehidupan Yusaini

YUSAINI Anor Mat Amin membersihkan kawasan tanaman serai yang hidup subur di tapak projek pertanian Kampung Tanjong Gahai, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 11 April - Melihat tanah terbiar di kampungnya, mencetuskan keinginan seorang penduduk, Yusaini Anor Mat Amin, 42, untuk memerahkan keringatnya mengusahakan tanaman serai secara komersial di Tanjung Gahai, Hulu Jelai dekat sini.

Peserta Projek Agropolitan itu, mengusahakan tanaman serai atau nama saintifiknya 'cymbopogon citratus' di tanah terbiar seluas enam hektar berdekatan rumahnya untuk menambah pendapatan keluarganya.

''Saya terpanggil untuk memajukan tanah terbiar dengan mencuba projek tanaman serai berikutan permintaan tinggi di bandar ini, Raub dan Pasar Borong Selayang, Selangor.

''Bermodalkan sedikit wang simpanan, saya menyewa tanah milik penduduk dengan sewa RM3,000 sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Selepas berbelanja hampir RM10,000 untuk projek berkenaan, ujarnya, tanaman itu telah boleh dipasarkan dan berjaya mengembalikan semula modalnya.

''Dalam tempoh lima bulan ini, sebanyak 21,600 rumpun serai telah dipasarkan pada awal bulan lalu," katanya.

Menurut Yusaini, setiap rumpun mengandungi antara lima hingga enam batang serai manakala setiap sehektar terdapat sebanyak 21,600 batang.

Yusaini memberitahu, setiap sehektar terdapat 20,000 kilogram serai yang boleh dipasarkan ke bandar berdekatan.

''Menerusi perjanjian ladang kontrak dengan Lembaga Perusahaan Pertanian Persekutuan (FAMA), serai dijual dengan harga antara 60 sen hingga 80 sen seikat," katanya.

Pada pusingan pertama, ujarnya, sebanyak 20,000 kilogram serai dijual dengan perolehan kasar dijangka mencapai sehingga RM16,000 pada akhir bulan depan.

Dia berkata, perolehan itu akan digunakan untuk modal pusingan kedua bagi projek tanaman tersebut.

Yusaini juga merancang untuk memulakan tanaman cili merah dan nanas menerusi perolehan itu di tanah terbiar di kampungnya.

''Saya juga mempelawa belia kampung ini terlibat dalam projek yang dijalankan itu jika mereka mahu mengubah kehidupan," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment