Tuesday, April 26, 2011

Agropolitan


Agropolitan ubah hidup rakyat miskin

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
utusanpahang@utusan.com.my


Najib Tun Razak meluangkan masa melawat Unit Pengeluaran Haiwan di Batu 8, Mukim Lepar, Pekan, baru-baru ini.

PEKAN 25 April - Tidak siapa mahu dilahirkan di dunia ini sebagai miskin dan hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Seboleh-bolehnya setiap insan mahu hidup dalam kesenangan dan boleh memiliki apa sahaja yang diinginkan.

Begitu juga dengan kerajaan yang tidak mahu melihat rakyatnya hidup dalam kesempitan.

Justeru, sejak negara mencapai kemerdekaan hingga kini, pelbagai program pembasmian kemiskinan dilaksanakan oleh kerajaan demi menaikkan taraf hidup rakyatnya.

Sepanjang tempoh itu juga, jutaan malah mungkin berbilion ringgit dibelanjakan bagi menangani masalah kemiskinan di kalangan rakyat.

Antara projek yang sedang dilaksanakan kerajaan untuk mengatasi masalah itu adalah projek agropolitan.

Menerusi projek itu, rakyat yang miskin dipilih untuk dilibatkan diri dalam pelbagai aktiviti ekonomi yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Begitulah juga dengan 100 keluarga miskin di Batu 8, Mukim Lepar, dekat sini yang kini menikmati kehidupan lebih baik dan berpendapatan tetap selepas menyertai projek Agropolitan Pekan.

Baru-baru ini, semua keluarga terbabit berpindah ke rumah baru yang dibina oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang lengkap dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, tadika, masjid dan rumah kedai.

Mereka yang sebelum ini miskin, mula menerima pendapatan stabil menerusi penglibatan dalam penternakan biri-biri Dorper.

Mereka merupakan peserta Projek Agropolitan yang merupakan projek sosioekonomi bersepadu hasil inisiatif ECERDC yang bermatlamat membasmi kemiskinan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),

Projek itu terdiri daripada tiga komponen iaitu aktiviti utama seperti penternakan biri-biri dan perladangan kelapa sawit, aktiviti sekunder yang meliputi industri hiliran berasaskan biri-biri dan minyak kelapa sawit, tanaman jagung, perladangan nanas dan aktiviti industri kecil dan sederhana (IKS).

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan secara simbolik kunci rumah baru kepada 100 peserta di Batu 8 di sini.

Turut hadir menyaksikan upacara itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

Rata-rata peserta projek terbabit yang ditemuinya menyatakan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Menurut Hanis Ahmad, 51, dia kini boleh menarik nafas lega apabila pendapatannya mencecah RM1,100 sebulan selepas dipilih menyertai projek tersebut.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengeluarkan saya daripada kemiskinan. Sebelum ini, saya hanya bekerja kampung dan mendapat pendapatan tidak menentu," katanya.

Hanis bersama suami dan lima anaknya juga lega apabila menerima rumah yang selesa dan serba lengkap dengan kemudahan asas.

Sorang lagi peserta, Wan Muhammad Safuab Wan Jaafar, 25, berkata, hidupnya kini lebih senang berbanding sebelum menyertai projek berkenaan.

"Saya amat bersyukur kerana dengan kemudahan asas yang ada dan pendapatan tetap banyak mengubah nasib kami sekeluarga," katanya yang mempunyai seorang anak.

Jirannya, Abd. Jalil Bakaruddin, 31, berkata, penglibatannya dalam projek ternakan kambing biri-biri membawa erti yang besar kepada kehidupannya bersama isteri dan anaknya.

"Saya sangat bersyukur dan seronok apabila diberi peluang turut terlibat dalam projek ini," katanya.

No comments:

Post a Comment