Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Tuesday, April 26, 2011
Agropolitan Dapat RM2 Ribu
Peserta dapat RM1,000 - RM2,000 sebulan
Rumah peserta agropolitan di Batu 8, Mukim Lepar, Pekan.
PEKAN 25 April - Projek Agropolitan Pekan dijangka mengubah kehidupan lebih 400 keluarga miskin menjelang pertengahan tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata, ini kerana ia memfokuskan terhadap keseluruhan rantaian nilai aktiviti ekonomi dalam memastikan pesertanya memperoleh pendapatan tetap dan mampan.
"Menerusi pelbagai aktiviti ekonomi yang dirancang untuk peserta, mereka dijangka memperoleh pendapatan tetap bulanan antara RM1,000 dan RM2,000 dalam tempoh tiga tahun pertama projek dijalankan dan jumlah ini dijangka meningkat kepada RM5,000 sebulan dalam jangka masa panjang," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Jebasingam memberitahu, projek tersebut turut menitikberatkan pemerkasaan diri peserta melalui latihan secara berterusan yang dijalankan oleh Pusat Kecemerlangan ECER (COE) seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
"Latihan-latihan tersebut mengambil pendekatan secara menyeluruh apabila peserta diperkayakan dengan motivasi dan kemahiran-kemahiran yang relevan dalam menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan baru selepas menyertai projek agropolitan," jelasnya.
Bagi melibatkan anak-anak peserta agropolitan tambahnya, ECERDC turut memperkenalkan program Sinar ECER bagi mempertingkatkan kemahiran akademik dan sosial mereka.
"Sinar ECER menggabungkan tiga modul iaitu kelas tuisyen untuk peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kemahiran pengucapan awam dan kemahiran pengurusan diri," katanya.
Menurut Jebasingam, seramai 160 kanak-kanak di Agropolitan Pekan menyertai program Sinar ECER termasuk 50 kanak-kanak Orang Asli di Runchang dan 110 kanak-kanak agropolitan di Batu 8, Mukim Lepar dekat sini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment