Tuesday, October 11, 2011

kacang renek

Potensi kacang panjang renek


Kacang panjang renek boleh dijadikan sayuran alternatif memandangkan ia juga kaya dengan pelbagai khasiat.


KACANG panjang jenis renik dipercayai berasal dari Filipina dan dibawa masuk ke selatan Thailand sebelum dibawa ke utara negeri Kedah.
Ia adalah kacukan antara kacang panjang jenis memanjat dengan cowpea (cv. Group unguculata) menghasilkan kacang panjang renek.
Bilangan lengai setiap pokok antara 10 dan 12 tangkai, panjang lengai antara antara 25 dan 45 sentimeter (sm).
Hasil dituai selepas lima atau enam minggu penanaman dan penuaian berterusan hingga tiga atau empat minggu dan jangka hayat ialah antara lapan dan 10 minggu. Anggaran hasil sehektar ialah antara sembilan dan 11 tan.
Tanaman kacang panjang boleh diusahakan di pelbagai tanah dari ringan berpasir hingga tanah liat atau gambut.
Tanah yang gembur berpasir dan mempunyai saliran yang baik adalah yang paling sesuai, pH tanah ialah antara antara 5.5 dan 6.6.
Bajak dan gemburkan tanah sedalam antara 15 dan 30 sm supaya menjamin pertumbuhan akar yang baik.
Sediakan batas berukuran 60 hingga 100 sm (lebar), 25 sm tinggi dan panjang batas mengikut kesesuaian kawasan.
Tanaman boleh juga di tanam di dalam pasu atau polibeg, gunakan tanah campuran tiga bahagian tanah atas, dua bahagian bahan ystem , satu bahagian pasir dan campuran sabut kelapa.
Permukaan batas ditambak dengan bahan organik atau kompos dengan kadar satu hingga tiga kg/meter persegi, permukaan batas boleh ditutup dengan ystem politin hitam atau 'agrosheet' bagi mengurangkan rumpai.
Penanaman
Penanaman kacang panjang renik tidak banyak berbeza dengan kacang panjang jenis memanjat.
Tanaman boleh dirapatkan kerana ia tidak memerlukan junjung.
Jarak tanaman yang sesuai antara 50-60 sm (antara barisan) x 60 hingga 100 sm (antara barisan) atau 25 hingga 30 sm (antara pokok) x 60-70 sm (antara barisan).
Letak dua atau tiga biji benih dalam lubang penanaman dan di kambus nipis (ke dalaman tanah tidak melebihi tiga kali saiz biji benih),biji benih akan bercambah antara lima dan tujuh hari selepas penanaman.
Biji benih yang bercambah tidak perlu dibuat penjarangan, ia boleh hidup membesar satu hingga tiga pokok setiap lubang penanaman
Pengairan
Tanaman kacang panjang renek memerlukan 30 hingga 50 sm air semusim, terutama di peringkat berbunga dan pengeluaran lengai.
Kekurangan air pada peringkat ini akan menyebabkan lengai lengai yang dihasilkan menjadi kecil dan pendek.
Penyiraman sama ada secara manual atau gunakan sistem renjisan, cara ini menjimatkan 75 peratus penggunaan tenaga kerja.
Pengawalan rumpai
Secara amnya ,tanaman kacang panjang perlu bebas dari persaingan rumpai dari mula ditanam hingga 35 hari selepas penanaman,bagi kacang panjang renik ia tidak serius kerana kepadatan tanaman yang menghalang pertumbuhan rumpai.
Pertumbuhan rumpai dapat dikurangkan jika kawasan tanaman disembur dengan racun rumpai yang sesuai.
Pembajaan
Kacang tidak memerlukan baja yang banyak. Ia mempunyai keistimewaan kerana kebolehan semulajadi untuk menghasilkan nutrien nitrogen melalui proses pengikatan nitrogen mana gas nitrogenen dari udara ditukar kepada ammonia melalui sistem dalam bintil akar pokok.
Kadar pembajaan yang disyorkan ialah 70 kg N: 140 kg P2O5 :200 K2O/hektar, pembajaan diberi dua atau tiga kali sepanjang hayat kacang panjang.
Secara amnya pembajaan boleh dibuat menggunakan baja NPK Hijau pada pembajaan pertama dan NPK biru pada pembajaan kedua dan ketiga ,anggaran 30-50 gm/pokok, kadar ditambah jika kacang panjang renik melebihi satu pokok setiap lubang,pembajaan diselangkan setiap dua minggu.
Pemangkasan
Pemangkasan tidak perlu dilakukan sepanjang pembesaran kacang panjang renek kecuali bila terdapat kerosakan akibat serangan perosak atau penyakit.
Kawalan perosak
Serangan pelombong daun (Liriomyza sp) akan menghasilkan jalur putih pada permukaan daun, jika serangan serius proses fotosintesis akan terjejas dan daun kehilangan air dan akan kering dan gugur. Serangan yang berterusan, daun akan dijangkiti kulat. kawalan dibuat dengan penyemburan racun serangga yang sesuai pada peringkat awal.
Lelompat daun(Empoasca fabae) akan menghisap cecair dari permukaan bawah daun dan memasukkan bahan toksik dalam daun dan terhasil bintik putih pada urat daun.
Ini mengakibatkan klorosis dan nekrotik pada bahagian hujung daun. Kesan lain daun melengkung ke bawah dan tepi daun menggerutu.
Semburan racun yang sesuai digunakan bagi mengawal perosak.
Pengorek lengai (Maruca testulalis) dewasa akan bertelur pada bunga kacang dan larva berwarna coklat akan hidup selama 11 hingga 14 hari, larva akan memakan putik bunga dan lenggai yang menyebabkan lubang lubang pada permukaan buah. Ini menyebabkan bilangan bunga dan buah berkurangan.
Lenggai kacang yang rosak akan mengakibatkan kehilangan harga. Semburan berjadual dengan racun serangga yang sesuai adalah digalakkan.
Kawalan penyakit
Karat daun (Uromyces vignae)
Merupakan penyakit utama tanaman kacang panjang, Ia menyerang daun dan buah. Serangan peringkat awal terdapat bintik bulat berwarna hijau muda dan bertukar merah keperangan dan terdapat di bawah daun.
Angin adalah agen yang merebakkan jangkitan, boleh dikawal dengan memotong dan membakar bahagian yang diserang, gunakan kultivar yang tahan penyakit dan bajak sisa tanaman semasa penyediaan tanah.
Bintik berpusar (Colletotrichum lindemuthianum)
Penyakit ini menyerang pada daun dan lengai.
Lenggai yang diserang mempunyai warna perang hitam dan diselaputi spora merah muda di tengah.
Daun dan lenggai yang diserang akan gugur lebih cepat, pertumbuhan terbantut dan hasil berkurangan. Penyakit merebak melalui angin dan air masa musim hujan serta anak benih berpenyakit.
Pungutan hasil
Kacang panjang renik berbunga antara lima atau enam minggu selepas penanaman.
Kelopak bunga berwarna biru muda dan dan boleh dituai selepas lima hingga tujuh hari selepas berbunga. Kutipan hasil dibuat selang sehari dan berterusan antara tiga atau empat minggu.
Spesifikasi piawaian kacang panjang
lIndek 1
Tidak matang, belum mencapai tahap kematangan ,masih terdapat kelopak bunga pada bahagian hujung serta saiz yang kecil, tidak sesuai untuk pasaran, kulit kacang panjang berwarna hijau pekat.
lIndek 2
Cukup matang, telah mencapai tahap kematangan, lebih dua pertiga kacang mengandungi biji dan saiznya sederhana besar serta sesuai untuk pasaran, kulit kacang berwarna hijau.
lIndek 3
Terlalu matang, kacang panjang dihujung jangka hayat kesegaran,tidak digalakkan untuk pasaran, kulit kacang berwarna kekuningan atau keputihan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment