Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Saturday, October 1, 2011
restoran lori
Lori lima tan jadi dapur bergerak
ISHAK Muhammad (kanan) melihat perkakasan memasak yang terdapat di dalam dapur bergerak yang dipasang pada sebuah lori lima tan semasa merasmikannya di Kuantan, kelmarin. - BERNAMA
KUANTAN 30 Sept. - Seorang pengusaha makanan mengambil inisiatif mengubahsuai sebuah lori lima tan menjadi dapur bergerak bagi memenuhi permintaan pelanggan di negeri ini.
Idea kreatif tersebut adalah ilham pemilik restoran Era Gemilang Caterer di Indera Mahkota di sini, Mohd. Shukor Othman, 38, berikutan sering menerima tempahan memasak secara terbuka oleh pelanggan.
Menurutnya, bermodalkan kira-kira RM200,000, akhirnya dia berjaya merealisasikan impiannya tersebut dan kini perniagaannya bertambah maju dan lebih dikenali ramai.
"Perniagaan itu adalah yang pertama di pantai timur dan saya turut menerima tempahan pelanggan dari daerah Rompin, Pekan, Maran dan Temerloh.
"Melalui konsep itu faktor keselamatan dan kebersihan menjadi keutamaan selain kualiti serta kesegaran makanan kerana ia dimasak pada masa itu juga," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian 'mobile kitchen' di sini, semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhammad.
Hadir sama, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Muhamad Sharif Al-Din Ahmad.
Mohd. Shukor berkata, lori tersebut turut dilengkapi empat dapur dan menempatkan empat tukang masak serta mampu menyediakan makanan untuk 1,000 tetamu dalam satu masa.
"Kita menerima tempahan tanpa memilih tempat mengikut kesesuaian dan masa. Tempahan diambil minimum 50 tetamu dengan bayaran hanya RM10 seorang sahaja mengikut kesesuaian menu makanan," katanya.
Jelasnya, dia merancang untuk mengubahsuai lori 10 tan dengan kos kira-kira RM400,000 untuk dijadikan dapur bergerak dan sasarannya di seluruh negara bermula di Kuala Lumpur pada tahun depan.
Sementara itu, Ishak berkata, idea kreatif tersebut wajar dijadikan contoh kepada peniaga restoran lain di sini dan ia menjadi satu inovasi perniagaan yang baik.
Tambahnya, cara tersebut dilihat sebagai satu perubahan berani dalam perniagaan berkaitan industri penyediaan makanan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment