Tuesday, October 4, 2011

rock melon


Dua sahabat kacuk rock melon

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI


Tembikai susu golden dust yang bakal mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pengguna.

KAMI sebenarnya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian malah pada peringkat permulaan kami tidak minat dengan pertanian.

"Tetapi apabila kami aktif membina struktur dan sistem fertigasi untuk usahawan serta melihat kertas kerja usahawan telah membuka mata kami," kata Pengarah Urusan Motif Maju Enterprise, Razali Mat Pol, 38.

Dia dan sahabatnya Yusman Musman, 36, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mula berjinak-jinak dengan pertanian fertigasi sejak awal tahun ini.

Sebelum ini dua sahabat tersebut hanya membina struktur dan sistem fertigasi untuk kegunaan usahawan pertanian yang berminat dengan teknologi tersebut.

"Jadi pelanggan kami terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan orang perseorangan yang amat berjaya dan telah mencatatkan keuntungan besar," katanya.

Dengan pengalaman yang ada dalam pembinaan struktur untuk tanaman fertigasi, mereka mula menceburkan diri dalam bidang pertanian.

"Jadi kami bina binaan fertigasi sendiri dan berbincang dengan pegawai penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang juga pakar dalam bidang fertigasi.

"Setelah mendapat khidmat nasihat mereka, pada permulaan kami menanam golden dust melon yang merupakan kacukan labu dan rock melon.

"Buah ini agak berbeza dengan rock melon kerana tempoh matang lebih awal berbanding dengan rock melon, bentuknya berjalur dan isinya berair dan manis," katanya.

Ditanya mengenai kos membuat struktur pelindung hujan bagi fertigasi, Razali berkata, ia bergantung kepada usahawan.

"Harga boleh jadi pelbagai mengikut bentuk dan saiz yang dikehendaki dengan kos bermula RM10,500 bagi ukuran 20 kaki lebar dan 100 kaki panjang," katanya.

Ketika mula menanam golden dust melon, Razali agak cuak apabila tiada pemborong yang berminat untuk membeli buah berkenaan.

"Mungkin bentuk yang ganjil, peraih takut untuk membelinya, bimbang tidak mendapat pasaran," katanya.

Cubaannya berhasil apabila pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersetuju menjual buah berkenaan.

"Selepas golden dust melon dipasarkan melalui FAMA dan mendapat permintaan pelanggan, barulah ramai pemborong mula bertanyakan mengenai golden dust melon," katanya dengan nada kesal.

Buah golden dust melon boleh mencapai berat sehingga 2.5 kilogram sebiji dengan purata 1.2 kg bergantung kepada baja dan agen pendebungaan yang digunakan.

Justeru sebab itu Razali sengaja memelihara beberapa spesies semut bagi tujuan pendebungaan.

Yakin dengan fertigasi boleh membawa pulangan lumayan, Rosli percaya usahawan boleh mendapat kembali modal mereka dalam masa dua hingga tiga tahun.

Misalnya golden dust melon mengambil masa dua bulan sebelum dituai dan boleh ditanam empat kali setahun.

Ini dapat menjimatkan kos berbanding dengan rock melon biasa yang mengambil masa yang lama untuk dituai.

"Kini kami dalam proses memohon Sijil Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) bagi memudahkannya dijual di pasar raya besar dan dieksport," katanya.

Kini Razali dan Yusman bercadang menanam cili menggunakan teknik fertigasi di atas tanah seluas setengah ekar.

"Kami mahu usahawan tani melihat bagaimana mereka mengoptimumkan penggunaan sebidang tanah bagi meraih pendapatan lumayan," katanya.

Pada masa sama, dua sahabat tersebut i juga mengadakan kursus fertigasi dengan kerjasama penyelidik tempatan di mana peserta boleh menjalankan latihan praktikal secara hands-on di ladangnya.

No comments:

Post a Comment