Monday, October 31, 2011

raih 35 ribu sebulan

Raih pendapatan RM35,000 sebulan ceburi ternakan lembu, kambing


Muhammad Syahmi Naim Suboh dan Nurasyikin Noralam Shah masing-masing menunjukkan sijil dan piala anugerah Tokoh Pelatih Terbaik (Lelaki) dan (Wanita) pada Majlis Konvokesyen Skill-Tech 2011 di MITC Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.


MELAKA 30 Okt. - Walaupun hanya berbekalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), seorang bekas pelajar Institut Skill-Tech di sini mampu membuktikan usaha dalam bidang ternakan boleh merubah kehidupan jika ia dilaksanakan secara tekun dan berterusan.

Muhammad Syahmi Naim Suboh, 22, kini sudah boleh berbangga dan tersenyum apabila memperoleh pendapatan RM35,000 sebulan hasil usaha gigihnya menceburi bidang ternakan kambing dan lembu pada April tahun lalu.

Melalui Syarikat Puncak Jaya Agroland yang ditubuhkan hasil bantuan ahli keluarganya, Muhammad Syahmi Naim adalah antara golongan belia yang menjadi penternak industri kecil dan sederhana (IKS) paling berjaya di Kampung Seri Muda, Jerantut, Pahang.

Bermula secara kecil-kecilan menternak kambing dan lembu sewaktu masih belajar di Institut Skill- Tech Durian Tunggal dekat sini, ahli keluarganya sanggup membuat pinjaman RM400,000 bagi membolehkan Muhammad Syahmi Naim mengusahakan industri tersebut.

Berkat kegigihannya, dia kini sudah mempunyai 300 ekor kambing dan 34 ekor lembu di samping mengusahakan lembu tenusu dan tahun ini syarikat yang diusahakannya mula menuai hasil apabila sebanyak 250 ekor kambing telah dijual untuk dikorbankan sempena Hari Raya Haji bulan depan.

Hasil usaha anak muda itu membolehkan dia mendapat pengiktirafan dari Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan sebagai Usahawan Berdaya Maju.

Atas usaha gigih yang dilakukan oleh Muhammad Syahmi Naim, dia dianugerahkan Tokoh Pelatih Terbaik (Lelaki) pada Majlis Konvokesyen Institut Skill-Tech 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.
Seramai 300 pelajar menerima sijil masing-masing pada majlis penyampaian anugerah tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md. Amin. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek.

''Saya gembira menerima anugerah ini dan lebih penting saya berjaya mengotakan janji untuk menjadi usahawan muda yang berjaya dalam industri penternakan lembu dan kambing.

''Tidak ada ruginya menceburi bidang ini kerana apa yang penting kita perlu bersabar dan ada ketekunan serta sikap tidak cepat putus asa yang menjadi asas dan pegangan saya berjaya dalam bidang ini," katanya.

Muhammad Syahmi Naim berkata, dia kini berazam untuk menjadi salah sebuah syarikat bumiputra terbesar mengusahakan industri tersebut dengan berskala besar pada masa depan.

Sementara itu Nurasikin Noralam Shah, 19, dari Pontian, Johor yang mengambil kursus Bioteknologi pula dianugerahkan Tokoh Pelatih Terbaik (Perempuan).

''Saya tidak menyangka akan menerima anugerah ini dan amat berbangga. Saya bercita-cita ingin menceburi bidang usahawan dalam bidang bioteknologi," katanya.

No comments:

Post a Comment