'Survival' usahawan bumiputera peringkat global
SEBENARNYA banyak peluang bagi usahawan bumiputera untuk meneroka pasaran luar negara dan ini termasuk menerusi Matrade atau kerjasama dua hala atau pelbagai cara lain.
Dalam hal ini, Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) turut memainkan peranan membawa serta menggabungkan para usahawan bagi meneroka pasaran global.
Yang terbaru, melalui usaha Komita itu, seramai 33 usahawan bumiputera telah menyertai Pavilion Malaysa pada pameran Perth Royal Show di Perth. Ia merupakan penyertaan kedua dengan yang pertama merupakan penyertaan solo pada tahun lalu.
Dari penyertaan tahun lalu itu, kerajaan Australia Barat telah memilih Malaysia sebagai 'Negara Jemputan' pada Perth Royal Show tahun ini.
Ini bermakna hanya Malaysia sahaja sebagai negara yang diberi peluang serta keistimewaan menyertai pameran berkenaan yang hanya diadakan setahun sekali dan pameran itu dianggap berprestij tinggi.
Seharusnya, peluang menyertai Perth Royal Show 2011 diambil kesempatan oleh usahawan Malaysia bagi mempromosi dan memasarkan produk masing-masing selain mengenal pasti serta meninjau peluang dan pasaran baru di Australia.
Usahawan Komita serta penyertaan para usahawan berkenaan tidak sia-sia apabila penyertaan tersebut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Australia Barat melalui penyerahan Anugerah Cemerlang.
Presiden Komita, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad memberitahu, penyertaan para usahawan dalam Pavilion Malaysia merupakan satu kejayaan dan menjadi perintis untuk mencari peljuang serta pasaran baru di benua Australia.
Beliau mengakui memang sesuatu yang amat sukar untuk menembusi pasaran Australia berbanding negara-negara maju lain. Ini kerana, kerajaan Australia telah menetapkan sekatan yang amat tinggi terhadap barangan import terutama berkaitan dengan makanan dan sebagainya.
Namun kata Sheikh Ahmad Dusuki, para usahawan bumiputera berkenaan berjaya juga menembusi pasaran Australia melalui Pavilion Malaysia.
Beberapa produk seperti martabak segera, kerepek ubi, puri untuk masakan, kraf dan banyak lagi berjaya diperkenalkan pada Perth Royal Show itu.
Menjadi harapan bahawa produk-produk tersebut dapat terus berada dalam One Malaysia Mart selepas berakhirnya Perth Royal Show, di mana hanya produk-produk keluaran Malaysia sahaja dipasarkan di Australia. One Malaysia Mart menggabungkan semua jenis barangan Malaysia untuk pasaran di benua berkenaan.
Sepanjang berlangsungnya Perth Royal Show, Pavilion Malaysia sentiasa mendapat perhatian ramai bukan sahaja dari kalangan penduduk Australia, malah orang Malaysia sendiri yang bermastautin di negara tersebut.
Dianggarkan lebih 20,000 rakyat Malaysia bermastautin di Perth dan atas alasan itu selain kuasa membeli yang tinggi di kalangan rakyat Australia serta faktor sampingan termasuk penerimaan penduduk sendiri, produk-produk tetapi diterima oleh pembeli.
Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, peluang penyertaan Pavilion Malaysia dan seterusnya dalam One Mart Malaysia seharusnya direbut kerana peluang sedemikan bukan mudah diperolehi.
''Persiapan menganjurkan Pavilion Malaysia bukan sesuatu yang mudah bagi memenuhi standard ditetapkan oleh pihak berkuasa Australia.
''Kami bermula dari pameran solo tahun lalu dan setelah mendapat keyakinan kerajaan Australia terhadap produk-produk Malaysia, barulah penyertaan secara rasmi sebagai Negara Jemputan ditawarkan kepada usahawan Malaysia tahun ini," katanya.
Bagi menarik kehadiran pengunjung ke Pavilion Malaysia, pelbagai aturcara menarik diadakan sejak perasmian Pavilion Malaysia pada 1 Oktober hinggalah ia berakhir lapan hari kemudian.
Yang pasti, usaha-usaha itu berjaya dengan kehadiran 10,000 hingga 30,000 pengunjung setiap hari ke Pavilion Malaysia dan perkembangan itu membolehkan para usahawan Malaysia mengenal pasti rakan-rakan perniagaan baru untuk memperluaskan pasaran ke Australia.
Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, antara kekuatan produk Malaysia ialah dari segi pembukusan barangan serta harganya yang lebih rendah berbanding produk-produk yang sudah bertapak lama di negara berkenaan.
''Sesuatu yang perlu diberi perhatian ialah apabila sesuatu produk kita melalui Pavilion Malaysia itu berjaya menembusi pasaran Australia walaupun pemeriksaan serta sekatan dikenakan begitu ketat, ini bermakna produk- produk yang sama juga mampu menembusi pasaran lain-lain negara di seluruh dunia.
''Oleh itu, penyertaan usahawan tersebut mendatangkan manfaat yang besar kepada mereka," katanya.
Apabila ditanya penyertaan usahawan Malaysia itu di Perth Royal Show kepada Konsul Jeneral Malaysia ke Australia Barat, Hamidah Ashari, beliau menyatakan ia suatu kejayaan yang amat membanggakan.
Malah Hamidah memberitahu, kerajaan Australia Barat begitu berpuas hati bukan sahaja terhadap produk-produk Malaysia, juga komitmen serta aturcara serta persembahan yang dipamerkan sepanjang pameran itu berlangsung.
''Kerajaan Australia sangat berpuas hati dengan persembahan Pavilion Malaysia," katanya.
Walaupun penyertaan Malaysia itu mendapat kejayaan dan seterusnya membuka jalan baru kepada para usahawan lain memasarkan produk mereka ke benua Australia, namun janganlah sekali-kali mereka dibiarkan bersendirian.
Memang bantuan melalui dana tertentu diberikan kepada usahawan berkenaan sebagai bantuan agar mereka mencapai kejayaan, namun dari sokongan moral dan perhatian tertentu ia juga harus diberi perhatian.
Ada kalangan para usahawan yang menyertai Pavilion Malaysia itu menyatakan sedikit 'terkilan' kerana penyertaan mereka ke Perth Royal Show tidak mendapat 'sokongan moral'.
Apa yang mereka maksudkan dan juga menjadi harapan mereka ialah kehadiran orang kenamaan seperti menteri, timbalan menteri atau wakil-wakil dari kerajaan untuk sama-sama menyatakan 'sokongan' semasa pameran itu berlangsung.
Memang diakui bahawa Konsul Jeneral Malaysia dan juga Pengerusi Matrade turut sama memeriahkan majlis perasmian Pavilion Malaysia itu.
Namun bagi kalangan para usahawan berkenaan, kehadiran orang kenamaan itu dapat meningkatkan lagi keyakinan para usahawan terbabit selain ia dianggap sebagai sokongan moral yang amat tinggi.
Sheikh Ahmad Dusuki ketika ditanya mengenai perkara tersebut, mengakui ada usahawan yang 'terkilan' dengan ketidakhadiran orang-orang kenamaan tersebut yang kelak boleh 'melemahkan' semangat usahawan-usahawan bumiputera.
Menurutnya, para usahawan berkenaan yang begitu bersemangat menyertai pameran di Perth Royal Show dengan pelbagai usaha dan inisiatif sendiri, mahukan sokongan daripada pihak-pihak di peringkat kementerian dan sebagainya.
''Kehadiran para usahawan bumiputera itu membawa nama Malaysia dan jika rungutan yang dinyatakan mereka ini seharusnya diberi sedikit pertimbangan dan perhatian sewajarnya.
''Dalam hal ini, seharusnya para usahawan ini dibiarkan bersendirian terutama apabila berada di peringkat global. Para usahawan ini bertungkus-lumus bersaingan di peringkat antarabangsa dan usaha mereka ini harus diberi sokongan dengan kehadiran pihak-pihak di peringkat kementerian.
''Saya yakin, dengan sokongan moral berterusan, para usahawan berkenaan akan terus mencuba dan memasarkan produk-produk mereka ke seluruh dunia. Malah keadaan ini akan membolehkan rakan-rakan usahawan lain turut serta dalam pameran peringkat antarabangsa. Akhirnya yang untung ialah Malaysia sendiri kerana ekonomi kita dapat berkembang," katanya mengakhiri wawancara dengan Utusan Malaysia.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment