Sunday, January 15, 2012

jutawan taufeeq

Risalah niaga ubah hidup Taufeeq

Laporan dan foto AINAL MARHATON ABD GHANI
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BAHAGIA...keluarga sentiasa diutamakan dalam kehidupan Muhammad Taufeeq.
BAHAGIA...keluarga sentiasa diutamakan dalam kehidupan Muhammad Taufeeq.
BERSENDIRIAN di rantau orang pada usia muda mematang­kan Muhammad Taufeeq Rosyidi Yusoff, 27, sebelum menjadi jutawan siber paling bergaya di tanah air.
Bersandarkan ung­kapan cendekiawan Islam ratusan tahun lalu, ‘bekerja keraslah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya tetapi beribadat dan beramallah kamu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya’, ia menjadi azimat berharga buat Muhammad Taufeeq bagi mengharungi perit getir dan asam garam kehidupan, dengan bertemankan rakan seperjuangan di rantau orang hampir tujuh tahun.
Iran, Afrika Selatan dan Mesir adalah negara bertuah bagi anak muda ini kerana dapat memenuhi impian bapa tersayang yang ingin melihatnya menjadi anak yang memiliki ilmu agama sepenuhnya pada usia masih muda sebagai bekalan hidup.

Kini, semua kenangan itu tersimpul rapi dalam kamus hidup jutawan muda bercermin mata ini dan kejayaan demi kejayaan jelas mewarnai kehidupannya yang bahagia di sisi isteri tercinta, Bahagia Abdul Manan, 29, dan empat cahaya mata berusia antara 19 bulan hingga 10 tahun.
Click Here


Menyingkap sejarah lalu, ‘ustaz siber’ ini mula berkelana ke Iran untuk mendalami bahasa Parsi, Arab dan Inggeris pada usia baru mencecah 10 tahun.

Baginya, tiada yang lebih pen­ting selain mematuhi suruhan bapa tercinta yang mahu dia memiliki ilmu dunia dan akhirat. Dengan penuh rasa hormat, dia menurut perintah demi mempersiapkan diri menjadi individu paling berjaya dalam hidup.

Biarpun terpaksa berpisah de­ngan keluarga, anak sulung kepada guru agama, Yusoff Uthman, 58, dan Pauziyah Omar, 53, ini tidak pernah berasa kesal dihantar ke luar negara demi ilmu agama, sedangkan ketika itu teman sepermainan asyik berkejaran di kampung dan bersekolah seperti biasa.

“Tiada apa perlu disesalkan kerana ibu dan ayah tahu apa yang terbaik untuk saya dan buktinya hari ini saya meniti kejayaan hidup yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

“Menyusun hari di rantau orang pada usia muda adalah sesuatu yang sukar tetapi berkat doa ibu bapa dan iltizam untuk menjadi individu yang berilmu agama, saya ketepikan semua masalah yang mendatang,” kata anak jati kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini.

Selepas empat tahun di Iran, Muhammad Taufeeq menyambung pengajiannya dalam bidang hafazan al-Quran di Afrika Selatan selama dua tahun sebelum memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir pada usia 16 tahun dan menjadi antara pelajar termuda di universiti itu.

Selepas setahun mendalami ilmu agama dan bergelar penghafaz al-Quran, Muhammad Taufeeq kembali ke tanah air untuk mencurahkan bakti walaupun tanpa kelulusan akademik di tanah air sendiri.

“Saya tidak kesal atau terasa dipinggirkan kerana masih mampu bekerja dan berkongsi ilmu yang saya peroleh kepada anak kecil dan remaja yang mendambakan ilmu agama.

“Saya tidak pernah menyalahkan ayah yang tidak memberi ruang kepada saya belajar di sekolah dan menduduki peperiksaan utama yang melayakkan saya be­kerja dengan kerajaan,” katanya.

Terus berfikiran positif, Muhammad Taufeeq mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan bekerja sebagai jurujual pasar raya di Pulau Pinang sambil mencari ruang mengikuti kursus motivasi untuk mencari pengalaman dalam bidang perniagaan.

“Di sini, saya mula terfikir untuk menceburi bidang perniagaan berkonsepkan ‘networking’ kerana pada saya ia lebih mudah dan cepat.

“Prinsip saya mudah saja, 9/10 daripada punca rezeki datangnya daripada perniagaan dan ‘jika kita mengutamakan duit, kita terpaksa usahakan yang terbaik... tetapi jika kita mengutamakan usaha terbaik, duit pula yang akan mencari kita’,” katanya yang bergelar jutawan pada usia 24 tahun.

Ungkapan itu bagaikan tersirat dalam diari hidup Muhammad Taufeeq apabila satu hari dia terjumpa sehelai risalah berkaitan e-networking.

“Sebagai orang Islam yang diberi akal sempurna, adalah wajib untuk saya menyiasat kebenaran pada risalah itu dan bertemu seseorang yang memberi penerangan mengenai perniagaan itu.

“Dari situlah bermulanya episod baru dalam hidup saya sebagai usahawan perniagaan rangkaian sehingga bergelar jutawan setahun setengah selepas itu,” katanya yang bertemu jodoh dengan ­isterinya yang juga pemilik bersama Akademi Jutawan Bahagia World.

Tidak kekok dengan panggilan ustaz di kalangan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran dan Pengajian Islam, Ma’hadul-Azhar, Kepala Batas, Pulau Pinang, Muhammad Taufeeq berterusan mencurahkan ilmu agama yang diperoleh ketika menuntut di luar negara dengan fokus kepada hafazan al-Quran.

“Saya mahu mencontohi bapa yang tidak pernah jemu mencurahkan bakti kepada umat Islam, terutama generasi muda hari ini yang menuntut komitmen tinggi untuk menjadi Muslim dan Muslimah sejati pada saat agama Islam diperkotak-katikkan di seluruh dunia.

“Walaupun bergelar usahawan dan jutawan, saya tidak mahu lalai atau leka dengan nikmat dunia kerana ilmu agama ini wajib dipelajari sepanjang hayat dan itu yang saya titipkan kepada anak sejak mereka masih kecil,” katanya.

Bergelar Usahawan dan Jutawan Paling Cemerlang pada 2009 dengan pendapatan mencecah antara RM80,000 hingga RM130,000 sebulan, Muhammad Taufeeq dan Bahagia meneruskan kelangsungan hidup dengan hasrat melahirkan lebih ramai jutawan dalam bidang networking.

Sebagai pemimpin Empire Bahagia World yang memiliki lebih 8,000 ahli, pasangan suami isteri ini lebih yakin mencontohi akhlak terpuji, jujur dan amanah dimiliki Nabi Muhammad SAW dalam menguruskan empayar perniagaan mereka.

Walaupun tiada pendidikan khas dalam bidang perniagaan, Muhammad Taufeeq percaya pengalaman dan sifat sentiasa ingin belajar dan memperbaiki diri sangat penting dan perlu ada dalam diri individu yang inginkan kejayaan dalam hidup.

“Saya juga sangat bersyukur kerana kejayaan kami sentiasa datang dengan dugaan yang menyebabkan hubungan ­kekeluargaan bertambah rapat,” katanya.

Beliau berkata, individu yang gagal dalam kerjaya sepertinya mungkin disebabkan kurang pegangan agama yang menekankan sikap sabar atau berdepan masalah yang sukar dileraikan dalam tempoh singkat.

“Seperti usahawan lain, kami juga mengalami kekangan atau ujian ketika memulakan perniagaan. Begitu juga setelah berjaya pun kami tetap berdepan pelbagai ujian yang memerlukan kebijaksanaan dan kekuatan iman,” katanya.

Beliau berkata, secara jujurnya tanpa ilmu dan kefahaman agama yang sentiasa dijadikan pedoman, tidak mungkin mereka berjaya mempertahankan kejayaan hingga menjadi jutawan empat tahun berturut-turut dan diiktiraf di tangga kedua ­pendapatan tertinggi syarikat tahun lalu.

“Kepuasan dalam perniagaan ini sebenarnya dikecapi apabila semakin ramai rakan niaga di bawah bimbingan kami berjaya, terutama selepas kami menubuhkan Akademi Jutawan Bahagia World khas untuk mengajar rakan niaga,” katanya.

Setiap kejayaan dikecapi pasti ada ‘tulang belakang’ yang menjadi ‘penyokong’ utamanya dan bagi pasangan muda itu, tiang sokongan itu adalah ibu bapa dan anggota keluarga yang sanggup berkorban.

“Tanpa mereka, saya mungkin tidak dapat mengecapi kejayaan seperti hari ini dan sebagai tanda penghargaan, saya dan isteri tidak lupa membawa membawa keluarga menunaikan umrah dan melancong ke luar negara.

“Selain itu, kami dapat membantu melaksanakan pelbagai program demi membantu usahawan e-networking Bahagia World serta membantu ayah membuka semula sekolah tahfiz yang pernah ditutup kerana masalah kewangan,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Muhammad Taufeeq Rosyidi Yusoff
ASAL: Kepala Batas, Pulau Pinang
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada lima beradik
ISTERI: Bahagia Abdul Manan

ANAK: Laila Izati (10); Amir Ayzatt (9); Syirin Batrisya (3), dan Prince Ahmad Na’eel (19 bulan)

PEKERJAAN PERTAMA: Jurujual pasar raya di Pulau Pinang
AKADEMIK: Universiti Al-Azhar, Mesir (bidang hafazan)

KEJAYAAN: Usahawan dan Jutawan Paling Cemerlang 2009 dengan pendapatan mencecah sehingga RM130,000 sebulan

TUGAS UTAMA: Penceramah dan pemimpin rangkaian memberi motivasi kepada bakal usahawan

1 comment:

  1. Seorang lelaki asnaf fakir miskin. Berada dalam keadaan daif dan hidup dalam serba kekurangan. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan wang secara ikhlas, boleh derma ke akaun maybank 151089317354 Adila Bin Suboh. Terima kasih.

    ReplyDelete