Sunday, March 11, 2012

hobi boleh tambah wang

Hobi tambah pendapatan


Siti Zabidah Setia (tengah) bersama empat suri rumah yang mengikuti kelas membuat kek fondant anjurannya.


SETIAP orang yang mempunyai hobi tersendiri mampu mengatur masa lapangnya dengan terancang, berdisiplin dan berkesan.
Individu yang tahu memanfaatkan masanya boleh memaksimumkan hobi tersebut untuk menambah pendapatan terutama bagi suri rumah mahupun wanita bekerjaya.
Hobi boleh dikembangkan melalui penambahan ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui kursus tertentu.
Antara hobi yang boleh mendatangkan hasil yang lumayan ialah membuat kek atau coklat di rumah.
Melalui kaedah moden, perniagaan ini mampu berkembang dari rumah.
Di samping menguruskan rumahtangga, suri rumah dapat memanfaatkan masa terluang untuk tujuan meningkatkan pendapatan keluarga.
Usaha ini tidak memerlukan modal besar untuk memulakan perniagaan asalkan dia rajin berusaha, inovatif dan kreatif.
Seseorang juga boleh bertukar kepada kerjaya baru sekiranya mahu memenuhi hobi yang diminati apabila tiba masanya.
Bagaimanapun cara mengendalikan hobi bagi seorang guru, Siti Zabidah Setia, 53, berbeza dengan orang lain.
Walaupun sibuk dengan tugas sebagai seorang pendidik yang disegani, beliau turut mencurahkan bakti kepada warga luar lingkungan sekolah.
Ketika lapang beliau belajar selok-belok membuat kek hari jadi, pertunangan dan perkahwinan sejak 15 tahun lalu.
Daripada kek biasa beliau mempelajari pula teknik membuat kek fondant.
Pada mulanya beliau sekadar ingin mencuba apabila anak-anak sedang membesar gemar makan kek terutama ketika menyambut hari ulang tahun kelahiran mereka.
"Kelima-lima anak saya suka meraikan hari jadi masing-masing bersama rakan sebaya dan meminta saya membuat sendiri kek mereka," katanya ketika ditemui.
Selain anak-anak beliau turut menghadiahkan kek sempena hari guru di sekolahnya.
Dari situ Siti Zabidah mendapat maklum balas membina untuk memperbaiki kelemahan.
Rakan-rakan dan saudara-mara turut meminta beliau membuat kek sempena majlis pertunangan dan perkahwinan.
Secara kebetulan beliau mempunyai teman yang juga seorang guru bersara, Yun Abdul Rahman, 65, yang mempunyai hobi sama.
Mereka berkongsi pengetahuan dan pengalaman di samping bersama-sama belajar di tempat lain.
Yun yang semakin uzur kerap menurunkan ilmu kemahiran keknya kepada Siti Zabidah.
Kini beliau mampu berkongsi pengetahuan kepada generasi muda terutama suri rumah yang mahu mengusahakan industri kek.
"Sesetengah mereka sudah mampu membuat sendiri kek dan membuka perniagaan secara kecil-kecilan, "katanya.
Beliau tidak pernah lokek ilmu untuk membimbing generasi baru dalam bidang berkenaan.
Sudah banyak corak dan reka bentuk kek dicipta yang turut dimuatkannya dalam blog Selagi Ada Gula.
Seorang suri rumah, Rohaidawati Md. Rodhi, 34, berkata, beliau pernah menyertai pelbagai jenis kursus membuat kek.
Beliau mempelajari pelbagai teknik membuat kek dan icing fondant atau sugarpaste daripada Siti Zabidah.
"Saya dapat mempelajari tentang teknik bagaimana mendapatkan kek serta icing fondant yang baik dan sempurna selain cara membuat pelbagai jenis bunga hiasan kek.
"Saya berbangga dapat menambahkan dan memantapkan lagi ilmu melalui perkongsian pelbagai pengalaman daripada rakan lain, "katanya.
Rohaidawati berjanji akan mempraktikkan kemahiran dipelajari selama ini.
Beliau bercita-cita untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini apabila tiba masanya nanti.
Menurutnya, kejayaan boleh dicapai apabila seseorang itu mempunyai semangat dan keyakinan diri.
Seorang lagi rakannya, Zuraida Mohd Zambri, 48, berkata dia pernah mempelajari teknik asas membuat kek.
Menurutnya, banyak teknik dan kemahiran baru dipelajari dan ia merupakan pengalaman yang amat berguna bagi dirinya.
"Ia merupakan kursus yang menguji minda serta memerlukan banyak kesabaran.
"Saya akan mendalami lagi teknik asas serta kemahiran menghias kek fondant yang baru saya ceburi, "katanya.
Beliau berazam mencipta hasil kerja tangan yang lebih halus dan kemas.

blog beliau ...selagiadagula.blogspot.com

No comments:

Post a Comment