GIGIH...Saadiah bersama produk Gano Excel dalam bidang jualan langsung diceburinya.
Itu antara kisah silam seorang peserta atau Sahabat AIM yang mendapat manfaat menerusi bantuan pinjaman AIM hingga berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan sejak sekian lama.
Berasal daripada Kampung Sematang Gunung, Alor Setar, Kedah, Saadiah kini aktif dalam bidang jualan langsung produk Gano Excel sejak 1999 dengan pendapatan bersih lebih RM6,000 sebulan.
“Buat pinjaman dengan AIM mudah sebab tak perlu cagaran. Cara bayaran juga mudah dan tidak membebankan. Jika kita berdisiplin, insya-Allah tak akan ada masalah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Ibu kepada lima anak ini bermula dengan menjual kuih, kerepek pisang dan sos cili buatan sendiri dari rumah ke rumah pada 1984.
“Saya kayuh basikal dari rumah ke rumah. Kadangkala hingga ke Kubang Jawi, dekat Kuala Kedah, lebih 10 kilometer dari rumah. Selain itu, terpaksa bawa sekali dua anak lelaki dan perempuan yang ketika itu baru berusia enam dan tiga tahun,” katanya.
Saadiah berkata, kerja meletihkan itu hanya memberikan pendapatan tidak sampai RM300 sebulan manakala suami, Zainol Mohamadan Ahmad, 52, bekerja sebagai pesawah waktu itu.
Melalui rakan, Saadiah mengetahui AIM dan mula meminjam sebanyak RM500 pada 1997 menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) AIM bagi mempelbagaikan jualan kuihnya, selain turut melakukan kerja menjahit baju. Setahun kemudian, wanita ini menambah pinjaman sebanyak RM1,000.
Pada 1999, kehidupannya diduga lagi apabila disahkan menghidap kanser payudara. Namun itu bukan titik noktah dalam kehidupan Saadiah, sebaliknya menjadi titik permulaan kejayaannya apabila dia membuat keputusan menjadi stokis produk Gano Excel.
“Saya semakin sihat selepas mengambil produk makanan kesihatan itu dan ia mendorong saya untuk terus mengambilnya, selain aktif dalam bidang jualan langsung produk berkenaan,” katanya.
Yang pasti, dengan menggunakan sumber pinjaman AIM, Saadiah gigih dalam bidang jualan langsung hingga berjaya mencapai kedudukan tertinggi iaitu ‘Crown Diamond Director’.
Penat lelahnya berbayar dan membolehkan Saadiah bersama keluarga meneruskan hidup, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.
Hasilnya, dia kini mampu mengumpul harta dengan tiga rumah serta empat kereta untuk kegunaan mereka sekeluarga.
Episod kehidupan Saadiah antara cebisan kisah sebanyak 287,975 Sahabat AIM di seluruh negara. Yang pasti, kewujudan AIM sejak 25 tahun lalu begitu relevan dalam memberi pembiayaan kredit mikro kepada isi rumah miskin di seluruh negara, sama ada di luar bandar atau bandar, untuk menjalankan kegiatan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan.
Justeru itu, tidak hairan peruntukan RM2.1 bilion oleh kerajaan kepada AIM dalam Bajet 2012 lalu sangat dialu-alukan.
Pengarah Pinjaman dan Operasi AIM, Nor Fazidah Kadri berkata, menerusi peruntukan kerajaan itulah AIM salurkan kepada peminjam yang layak.
“Apabila peminjam bayar balik, wang itu kemudian kita pusing balik untuk dijadikan pinjaman seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, sejak penubuhan AIM pada 1987 hingga Januari lalu, agensi itu mengeluarkan pinjaman sebanyak RM6.4 bilion iaitu enam kali pusingan kepada 287,975 Sahabat AIM untuk mereka menjalankan perniagaan.
Menurutnya, peruntukan diberi dalam bentuk pinjaman modal secara kecil-kecilan kepada golongan termiskin dan berpendapatan rendah untuk membiayai aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan mereka.
Isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan atau pendapatan per kapita RM400 layak menerima pembiayaan AIM.
Berdasarkan kajian AIM, Sahabat AIM perlu membuat tiga kali pinjaman dengan pinjaman maksimum kali pertama sebanyak RM3,000.
Jika mereka menunjukkan disiplin baik dalam membuat pembayaran balik serta mempunyai kemampuan, pinjaman boleh ditambah daripada RM5,000 kepada RM6,000.
Ketika mula diperkenalkan, Sahabat AIM boleh membuat pinjaman sebanyak RM500 untuk pinjaman pertama. Ia kemudian dinaikkan kepada RM1,000 pada 1997.
Pada 2003, pinjaman minimum dinaikkan kepada RM2,000 dengan pinjaman maksimum RM20,000. Seterusnya pada 2008, pembiayaan kali pertama dinaikkan kepada RM3,000 dan maksimum sebanyak RM50,000 dan ia kekal hingga kini.
“Dengan kadar baru ini, kita tetapkan tempoh bayaran balik di antara satu hingga lima tahun menerusi kaedah bayaran balik secara mingguan.
“Setakat ini kita tidak menetapkan bidang perniagaan apa yang Sahabat AIM perlu ceburi, sebaliknya terpulang kepada mereka mengikut minat dan kebolehan,” katanya.
Nor Fazidah berkata, AIM bagaimanapun menyarankan mereka memilih bidang yang boleh memberi pendapatan cepat, antaranya perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah seperti menjual kuih dan menjahit.
“Perniagaan sedemikian memberikan pulangan tunai cepat dan mudah dipusing semula. Jika perniagaan itu berkembang, mereka boleh membuat pinjaman lagi dan beralih kepada perniagaan lebih besar untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.
SYARAT KELAYAKAN
SYARAT PINJAMAN
TIGA NEGERI PALING RAMAI SAHABAT AIM
(sehingga 31 Januari 2012)
TIGA NEGERI JUMLAH PINJAMAN PALING TINGGI
(sehingga 31 Januari 2012)
No comments:
Post a Comment