Thursday, January 16, 2014

tukar bidang

Dulu penebar roti canai, kini pemilik syarikat jual kereta


Othman Majid di samping deretan kereta yang dipamerkan di hadapan kedainya dekat Mahsan, Negeri Sembilan, semalam.
JEMPOL 15 Jan. - Berkat usaha gigih, Othman Majid, 33, yang dahulunya hanya seorang penebar roti canai kini sudah bergelar sebagai pemilik syarikat yang menawarkan khidmat menjual kereta terpakai, dekat sini.
Menurut Othman yang merupakan anak generasi kedua Felda, meskipun hanya memperoleh pendidikan setakat Penilaian Menengah Rendah (PMR), namun ia tidak dijadikan penghalang buat dirinya untuk memperkembangkan potensi diri.
Namun, katanya, kelulusan akademik merupakan aspek yang penting untuk bersaing merebut pekerjaan pada masa kini berbanding dirinya yang terpaksa berusaha lebih demi mencapai matlamat yang diingini.
''Memang saya mengakui kesilapan saya ketika zaman remaja yang agak degil dan memilih untuk menamatkan pelajaran setelah mendapat keputusan PMR.
''Selepas itu saya mula bekerja di sebuah kedai makanan segera selama tiga tahun dan berhenti kerana ingin belajar cara menebar roti canai di sebuah kedai makan dekat Kajang.
"Pelbagai pekerjaan saya pernah lakukan sehinggakan saya mula jatuh cinta kepada perniagaan yang berasaskan kenderaan. Ramai yang kata saya suka menukar pekerjaan namun saya lakukan kerana ingin menambah ilmu dan pengalaman," katanya di sini hari ini.
Premis menjual kereta terpakai yang dibuka berhampiran pusat perniagaan dekat Mahsan ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad, baru-baru ini.
Jelasnya, kedai kereta terpakai yang mula dibuka pada April tahun lalu bukanlah sesuatu yang mudah kerana bidang perniagaan itu mempunyai saingan yang hebat dengan pengusaha lain.
"Saya yakin kalau kita bagi khidmat yang baik tanpa hanya memikirkan keuntungan sahaja pelanggan tetap akan mencari kita. Hendak berniaga perkara yang penting adalah kejujuran kerana jika kita menipu pasti pelanggan tidak akan mendapatkan khidmat kita di masa akan datang.
"Malah salah satu punca perniagaan ini dijalankan adalah kerana saya ingin membantu pelanggan terutama orang Melayu membuat pilihan yang bijak sebelum membeli kenderaan. Biasanya orang akan tertipu malah dikenakan harga yang tidak munasabah ketika membeli kenderaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Othman turut menasihati anak Felda agar membuang sikap takut untuk mencuba perkara baru demi mencapai kejayaan.
''Selagi kita tidak mencabar diri kita untuk melakukan sesuatu yang besar, kita pasti tidak akan sedar keupayaan dan kemampuan yang boleh dilakukan," tambahnya.

Wednesday, January 15, 2014

bermula dengan jual bergerr

Gerai burger pencetus kejayaan


Selain perkhidmatan servis kenderaan One Stop Centre Jelebu turut menyediakan servis membasuh kereta, lori dan motosikal di Kampung Binjai, Jelebu, Negeri Sembilan. - Utusan/Nurul Husna Hamdan
JELEBU 13 Jan. - Siapa sangka bermula dengan hanya kedai burger yang kecil, dia kini mampu mempunyai syarikat sendiri dengan pelbagai jenis perniagaan.
Pada mulanya anak kelahiran Jelebu, Mohd. Fahimi Mohd. Isa, 39, melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) namun terpaksa berhenti pada semester kedua berikutan kesempitan hidup yang membelenggu keluarganya.
Keadaan itu tidak mematahkan semangatnya yang kemudian melanjutkan pelajaran di Giatmara Jelebu dalam bidang elektrikal.
''Apabila kita bermula dari bawah, kita tahu erti kesusahan dan fikiran kita akan lebih kreatif untuk mencari idea dan saluran yang betul bagi mendapatkan wang," katanya ketika ditemui di One Stop Centre Jelebu di Kampung Binjai di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bertitik tolak daripada itu, beliau memulakan perniagaan dengan membuka gerai burger secara kecil-kecilan sebelum membuka syarikat bas kilang pada tahun 2000 dan seterusnya beralih kepada bidang kontraktor.
Beliau berkata, perniagaannya berkembang daripada hanya memiliki sebuah van dan memandu sendiri untuk membawa pekerja pergi dan balik ke kilang kepada 10 buah bas dan 15 pekerja sendiri.
Mohd. Fahimi Mohd. Isa
"Setelah menceburi bidang kontraktor, saya belajar cara-cara menguruskan syarikat bengkel kereta, tempat mencuci kereta dan kedai tayar sehingga terbinanya apa yang kini dikenali sebagai 'One Stop Centre Jelebu' khusus untuk pemilik kenderaan di daerah ini," katanya.
Syarikat yang diberi nama Tekun Ikhlas Enterprise itu dijadikan sebagai pusat sehenti bagi pemilik pemilik kenderaan dengan menawarkan perkhidmatan seperti bengkel membaiki kereta, sewa mesin, tempat mencuci kereta, kedai tayar, kimpal besi dan juga kafe bagi pelanggan yang datang.
"Saya rasa sudah tiba masanya saya berbakti kepada masyarakat di daerah sendiri dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar selain memberi ilmu tentang kemahiran khususnya yang berkaitan dengan servis kereta.
"Saya mahu membawa pulang orang muda yang lari ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan akibat kurangnya peluang pekerjaan di sini kembali berbakti di negeri sendiri," ujarnya.
Mohd. Fahimi berkata, beliau kini merancang membangunkan sebuah pusat beli-belah bagi produk Mydin di Jelebu dan sedang mendapatkan kelulusan daripada pihak yang berkaitan dengan harapan kemudahan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain menjaga kepentingan masyarakat.
Beliau yang turut menjalankan perniagaan kelapa sawit dan kontraktor pembinaan sentiasa memegang asas bahawa 9/10 daripada punca rezeki adalah dalam bidang perniagaan.
"Mesti ada kelainan dalam perniagaan dan kita tidak mahu Melayu hanya sinonim dengan perniagaan makanan sahaja sedangkan banyak lagi bidang yang boleh diterokai," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20140114/ws_05/Gerai-burger-pencetus-kejayaan#ixzz2qP3eP6Nl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, November 7, 2013

bisnes domain

Jutawan domain segera



Salam Maal Hijrah.

Kali ni aku nak kongsikan bagaimana mudahnya menjadi jutawan online dengan menjual domain. Korang tau ke domain tu apa.. ada yang tak tahu lagi tu.. biar aku terang sikit, domain tu adalah alamat website..  contoh domain yang popular kat Malaysia ni mudah.com, maybank2u.com, maxis.com, facebook.com dan lain-lain. Selain dot com, ada juga guna dot my, dot org, dot net dan lain-lain. Kita semua boleh memiliki domain dan harganya tidak lah semahal mana. Namun potensi yang ada pada domain ni cukup besar.

Cuba bayangkan 10 tahun lepas korang ada beli domain facebook.com. Masa tu facebook belum wujud lagi. Agak2 berapa tokey facebook nak offer beli korang punya domain tu bila dia terpikir nak guna nama facebook tu?Atau pun 5 tahun dulu korang terbeli website iPhone.com / iPad.com.. masa tu iPhone dgn iPad pon orang tak kenal lagi... agak2 Steve Jobs tokey Apple tu nak offer berapa juta nak beli domain korang tu..?

Domain menjadi mahal bila ia unik, mudah sebut, dan mudah diingat pengunjung atau pun nama-nama khas, nama syarikat, nama orang atau nama produk. Lihat contoh di bawah bagaimana seorang menjual domain 6 perkataan (phenom.com) di eBay dengan harga 21 juta USD.

21 juta USD lebih kurang RM 60 juta. Boleh mandi duit dah tu.. 

Nak beli domain tidak susah. Semua boleh dibuat secara online. Antara penjual domain yang popular ialah Go Daddy.. korang boleh beli domain dari dorang dengan harga hanya 7 USD lebih kurang RM20. (klik banner bawah untuk ke Go Daddy.

$7.49 .COM Domains at GoDaddy.com 436x180

Aku ada beli beberapa domain dengan Godaddy. setakat ni tidak mengecewakan. Apabila korang ada domain, korang perlu renew setiap tahun dengan bayaran lebih kurang harga beli domain tu. 

Banyak lagi cara buat duit dengan domain selain menjualnya terus. Contohnya parking website, adsense, affiliate dan lain2. Ada masa lain kali aku kongsikan. Mungkin lepas ni korang bole fikir2kan apa agak2 domain yang akan popular 5 tahun akan datang. Mungkin ada rezki jadi jutawan segera.

sumberr usahawanbistari

Wednesday, August 21, 2013

cencaru berlada

Cari duit lebih jual cencaru panggang berlada

  • Cari duit lebih jual cencaru panggang berlada Menu istimewa Zarina ialah cencaru panggang berlada dan tuka air asam yang lazimnya habis dijual sebelum 6.30 petang.
1 / 1
BACHOK – Ramadan lazimnya membawa rezeki yang melimpah ruah bagi individu yang rajin berusaha untuk mencari duit lebih musim ini.

Bagi Zarina Mahmud, 41, tahun ini sekali lagi dia meneruskan aktiviti rutin Ramadan dengan mengambil lot gerai di bazar Ramadan Beris Kubur Besar untuk berniaga ikan bakar.

Dia dibantu suami, Rosdi Md Nor, 46, bersama tiga pembantu yang memulakan perniagaan dari jam 3.30 hingga 6.30 petang sejak awal Ramadan lalu.

“Kami dah beberapa tahun berniaga di sini dan mempunyai pelanggan tetap yang menggemari resipi yang kami perkenalkan.

"Saya percaya setiap peniaga mempunyai resipi tersendiri dan pelanggan akan membuat pilihan mengikut citarasa mereka.

“Menu istimewa kami ialah cencaru panggang berlada yang mempunyai sosnya sendiri, tuka (pari kecil) air asam, selain ayam percik dan keli percik,” katanya.

Zarina berkata, setiap hari dia memerlukan kira-kira 130 kilogram ikan yang siap disiang di rumahnya sebelum dibawa ke bazar.

Katanya, harga yang dikenakan berpatutan mengikut saiz ikan yang dipilih pelanggan.

orang muda jual kek


Rezeki si penjual kek

  • Rezeki si penjual kek Mohd Fauzi menjual kek di bazar Ramadan Pekan Sungai Koyan.
1 / 1
KUALA LIPIS - Mengintai peluang berniaga di pasar malam tanpa mengenal jemu dan bersungguh-sungguh sehingga mengukir kejayaan, Mohd Fauzi Mohd Daud, 26, menjadi usahawan kek yang berjaya seperti sekarang.

Biarpun hanya berpendidikan sehingga sekolah menengah, Mohd Fauzi yang tinggal di Felda Sungai Koyan tidak pernah putus asa walaupun mengalami kesukaran pada peringkat awal perniagaan.

Mohd Fauzi berkata, usaha membuat pelbagai jenis kek untuk dijual di pasar malam dan pekan sehari tidak sesukar mana bagi menjana pendapatan keluarga dengan menggunakan modal yang kecil.

Malah katanya, pengalaman membantu keluarga menjalankan perniagaan semasa usia remaja banyak membantunya dalam usaha memacu perniagaan.

“Saya memulakan perniagaan menjual kek segera menggunakan modal sekecil RM100 dengan bantuan ibu dan isteri yang membuat pelbagai jenis kek termasuk kek cawan untuk jualan di merata-rata tempat.

“Saya hanya menggunakan motosikal, payung dan meja kecil untuk menjual makanan ini termasuk di pasar malam pekan Sungai Koyan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, kemahiran adunan dan resipi yang betul menyebabkan produk kek diusahakannya berjaya menambat hati pelanggan.

Menurutnya, ketika berniaga di bazar Ramadan Sungai Koyan baru-baru ini, dia memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 dalam tempoh empat jam sahaja bermula jam 3 petang.

“Kek ini dipotong dan dijual mengikut saiz tertentu antara RM3 hingga RM8 yang berpatutan dan mampu dibeli pengunjung bazar serta pasar malam.

“Saya akan teruskan perniagaan ini selepas Hari Raya Aidilfitri dengan menumpukan lokasi pekan sehari dan pasar malam di Lipis serta  Raub,” katanya.

Mohd Fauzi juga berhasrat untuk mengikuti kursus teknik pembungkusan dan menjenamakan produk keknya untuk memudahkan pasaran serta tahan lama.

Thursday, August 1, 2013

sup gear box

Rusdi Mohamad (kiri), Sulaima Sulaimi bersama anak mereka membuat persiapan sementara menanti pengunjung di gerai Ayu Sup Gear Box di Bazar Ramadan Pesta, Batu Pahat, baru-baru ini.
BATU PAHAT 31 Julai - Setiap kali Ramadan, muncul pelbagai jenis makanan dan minuman di setiap bazar di seluruh negara mengikut cita rasa masyarakat di kawasan tertentu.
Namun sup merupakan juadah wajib di setiap bazar Ramadan tidak kira walau di ceruk mana di negara ini sekali pun.
Bagi bazar Ramadan terbesar di daerah ini iaitu Bazar Ramadan Pesta di sini, Ayu Sup Gear Box antara yang menjadi tumpuan penduduk kerana rasa dan pelbagai jenis isi sup itu sendiri.
Mendengar cerita penduduk yang ke bazar itu, penulis turut tidak mahu ketinggalan berkongsi keenakan sup yang menjadi buah mulut penduduk di kawasan ini.
Sangkaan penulis sup tersebut diusahakan individu berpengalaman meleset selepas mengetahui perniagaan sup itu diusahakan sepasang suami isteri, Rusdi Mohamad, 49, dan Sulaima Sulaimi, 45.
Lebih sedap mata memandang, perniagaan pasangan itu dibantu empat anaknya yang berusia antara 11 hingga 21 tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.
Sulaima memberitahu, perniagaan itu diusahakan bersama suaminya sejak 15 tahun lalu di bazar Ramadan sama.
"Walaupun namanya sup gear box, tetapi isi sup yang disediakan terdiri daripada tulang kambing, ayam, paru, ekor, tulang, perut dan lidah, malah terdapat sup merah tulang kambing.
"Sejak mula berniaga di sini, kami bukan sekadar datang berniaga sebaliknya saya sentiasa berfikir menyediakan resipi terbaik yang mampu membuatkan pelanggan berpuas hati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Berikutan itu, Sulaima mengadunkan resipi asal sup gear box dengan adunan yang diciptanya sendiri bagi memastikan bukan sahaja sup sedap tetapi baunya juga mampu menarik perhatian pelanggan.
Katanya, konsep yang diguna pakai di gerainya adalah pelanggan diberi peluang memilih sendiri jenis isi sup serta kuantiti supaya lebih berpuas hati.
"Pelanggan akan diberi mangkuk untuk memilih isi sup dengan kuantiti sendiri, setelah selesai saya akan memberitahu harga sebelum membungkuskan sup tersebut. Dengan cara ini pelanggan dilihat lebih selesa," katanya.
Bagi harga pula, ujarnya, setiap bungkusan dikenakan harga antara RM3 hingga RM9 mengikut kuantiti dan jenis isi sup yang dipilih pelanggan.
Namun, tambahnya, sup yang paling mendapat sambutan dalam bulan Ramadan adalah sup tulang dan sup kambing.
Menurutnya, dia mempunyai pelanggan tetap bagi kedua-dua menu itu sejak beberapa tahun lalu manakala pelanggan lain pula kebiasaannya mahukan sup campur.