Monday, September 6, 2010

Dodol


Tempahan Dodol Sejati meningkat



TEMERLOH 5 Sept. - Ketika orang lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, tiga beranak di Kampung Badok di sini tidak menang tangan menyiapkan tempahan dodol daripada orang ramai sejak sebulan lalu.

Resipi Dodol Sejati yang dicipta sejak lapan tahun lalu menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Bagi Mohd. Fauzi Mohd. Nor, 61, perniagaan dodol yang diusahakan bersama isteri Asmah Ahmad, 59, dan anak lelakinya Mohd. Fazli, 30, dibuat secara kecil-kecilan pada 2002 kini merupakan sumber utama pendapatan keluarga.

Menurutnya, usaha gigih bertahun-tahun mengusahakan dodol secara tradisional akhirnya mendapat perhatian Jabatan Pertanian Pahang (JPP) yang membekalkan mesin pengacau berharga lebih RM3,000 kira-kira tiga tahun lalu.

"Sejak menerima mesin tersebut, kami sudah berani menerima tempahan dalam jumlah besar berbanding sebelum ini yang menerima tempahan secara terhad," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Fauzi berkata, pada hari biasa dia hanya menjual kira-kira 60 kilogram dodol sebulan tetapi menjelang Ramadan dan Syawal tempahan yang diterima meningkat sehingga 350 kilogram.

Malah katanya, dia terpaksa mengacau tiga kawah dodol sehari bagi memenuhi tempahan yang diterima daripada orang kampung dan para peniaga di sekitar bandar itu.

Tambahnya, harga dodol yang dijual adalah sekitar RM19 sekilogram.

"Sehingga kini saya tidak berhasrat mempelbagaikan perisa dodol dan hanya menumpukan pada perisa asli namun, mungkin akan mempelbagaikan resipi jika menerima sambutan baik daripada pelanggan," katanya.

Katanya, keenakan dodol yang dihasilkan sering menerima pujian pemimpin tempatan yang membuat tempahan bagi majlis tertentu.

"Orang ramai mula mengenali Dodol Sejati yang dihasilkan dan tempahan semakin banyak diterima untuk peniaga di bandar ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fauzi berkata, dia baru menerima mesin pemerah santan daripada jabatan itu dan berhasrat menjadi pembekal dodol asli terbaik di seluruh Pahang dalam masa terdekat.

Sebagai permulaan dia mendirikan bengkel dodol sendiri bernilai RM10,000 sebagai tempat memproses dodol.

"Dengan adanya bengkel itu saya berhasrat mengeluarkan lebih banyak dodol bukan sahaja pada musim perayaan malah pada hari-hari biasa," katanya.

1 comment: