Jualan roti jala beri pendapatan lumayan
JELI 9 Sept. - Seorang peniaga mampu memperoleh pendapatan sebanyak lebih RM130 sehari hanya dengan menjual roti jala sepanjang Ramadan.
Sarina Jaafar, 44, dari Kampung Jedok di sini, berkata, kedatangan Ramadan kali ini sememangnya membawa bersama rezeki untuk dirinya sekeluarga seterusnya dapat menyediakan keperluan Hari Raya Aidilfitri dan meraikannya dengan lebih meriah.
Katanya, sepanjang Ramadan ini dia menyediakan lebih 10 kilogram roti jala setiap hari bersama-sama kari ayam atau daging untuk dijual di bazar Ramadan dekat rumahnya.
Jelasnya, roti jala itu dijual dengan harga RM13 sekilogram iaitu antara 50 hingga 60 gulung.
"Jika dijual secara runcit, empat gulung roti jala bersama gulai ayam dijual dengan harga RM2," katanya.
Sarina memberitahu, bagi mempercepatkan proses membuat roti jala, dia dibantu oleh dua orang anaknya yang akan menggulung roti jala yang siap dimasak.
"Roti jala ini ada yang dihantar ke asrama-asrama sekolah untuk juadah berbuka puasa," katanya.
Menurut Sarina, dia bersyukur kerana kemahiran membuat roti jala yang dipelajari daripada Allahyarham ibunya kini menjadi punca rezeki dia sekeluarga sepanjang Ramadan.
Katanya, untuk menambahkan lagi pendapatan pada bulan puasa ini, dia turut mempelbagaikan kuih-muih yang dijual, termasuk akok.
No comments:
Post a Comment