Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Thursday, September 23, 2010
modal RM70
Modal RM70 jadi usahawan
Oleh NORAZMAN ABDUL RAHIM
editjohor@utusangroup.com.my
SEORANG pengunjung tertarik melihat gamat yang sedang dikeringkan.
MERSING 22 Sept. – Hanya bermodalkan RM70, Taib Husin, 39, memberanikan diri menceburi bidang perniagaan sirip yu dan gamat yang jarang diceburi para usahawan dan peniaga bumiputera.
Taib mendapat ilham untuk menjalankan perniagaan tersebut setelah berpengalaman kerja dengan seorang ahli perniagaan Cina yang berjaya dalam perniagaan itu.
Sepanjang bekerja dengan majikannya, dia banyak mendalami ilmu, kepakaran dan teknik serta cara mengusahakan perniagaan sirip yu dan gamat sebelum nekad membuka perniagaannya sendiri secara kecil-kecilan.
Setelah mendirikan rumah tangga dengan Sarimah Embong, 33, Taib mula mengorak langkah untuk membesarkan perniagaannya dengan menubuhkan syarikat Alisya Agency And Enterprise yang beroperasi di Kampung Semanyir, Endau, dekat sini.
Perniagaannya mula berkembang selepas lima tahun berusaha meluaskan pasaran sirip yu dan gamat ke seluruh negara.
Kini dia mampu tersenyum lebar kerana penat lelah dan kesabarannya membuahkan hasil, malah produknya telah menembusi pasaran Singapura.
“Saya berpendapat, jika orang Cina boleh berjaya menjalankan perniagaan sirip yu dan gamat, bumiputera juga boleh melakukannya sekiranya ada kemahuan dan kesabaran,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sejak mula menjalankan perniagaan tersebut hingga kini, dia tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana agensi.
“Pernah sekali pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) datang melawat dan memberi cadangan kepada saya supaya memohon bantuan.
“Saya memohon untuk mendapatkan sebuah peti sejuk besar tetapi hingga kini masih belum diketahui status permohonan tersebut.
“Saya benar-benar memerlukan peti sejuk itu untuk menyimpan bekalan sirip dan gamat kerana peti sejuk sedia ada tidak mampu menampung simpanan bekalan yang banyak,” katanya.
Sementara itu, Sarimah yang merupakan rakan kongsi perniagaan tersebut berkata, mereka mengeluarkan modal sehingga RM150,000 sebulan untuk mengendalikan perniagaan termasuk gaji pekerjanya.
Katanya, bekalan sirip yu dan gamat dibeli daripada nelayan pukat tunda di sekitar Endau serta pembekal dari Sabah dan Filipina dengan harga kira-kira RM900 sekilogram bagi sirip yu kering dan RM42 bagi gamat.
“Sekarang kami tidak mampu untuk memenuhi semua permintaan untuk kedua-dua produk itu, manakala bekalan pada tahun ini agak berkurangan,” katanya.
Lebih membanggakan mereka, perniagaan itu turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung dan kini mempunyai 10 pekerja tetap dan pada musim cuti sekolah pelajar juga mengambil upah sampingan di syarikat tersebut.
Orang ramai yang ingin berurusan dengan Alisya Egency And Enterprise boleh menghubunginya di talian 07-7942902 atau 012-7888684.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment