Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Friday, September 10, 2010
PPRT Ternak Ayam
Penternak ayam PPRT gembira
Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my
Dr. Abd. Aziz Jamaluddin (kiri) melihat ayam yang diternak penduduk miskin di RPT Kampung Sungai Manik,Batu Kurau, baru-baru ini.
LARUT 9 Sept. - Lima penduduk Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Manis di sini gembira kerana projek ternakan ayam yang dilaksanakan sejak tahun lalu telah mengeluarkan hasil.
Ini sekali gus meningkatkan pendapatan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Rata-rata mereka yang ditemui melahirkan perasaan gembira kerana projek itu menambah pendapatan dan mengurangkan beban mereka sekeluarga.
Seorang penduduk, Zamari Abd. Rahman, 54, berkata, dia menternak kira-kira 1,000 ekor anak ayam sejak tahun lalu.
Katanya, semua anak ayam dan makanan ayam dibekalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"Saya dibayar sebanyak RM240 sebulan untuk memastikan ayam yang diternak ini mendapat makanan dan pengawasan secukupnya," katanya ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini.
Projek tersebut dilaksanakan kerajaan dalam usaha membantu golongan miskin di negeri ini.
Zamari berkata, projek ternakan ayam itu mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga bulan setengah.
"Semua urusan penjualan ayam di sini diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya.
Beliau percaya projek ini mampu mengurangkan bebannya sekeluarga di samping menambah sumber kewangan untuk keluarga.
"Sejak memajukan ternakan ayam ini tahun lalu, sudah tiga kali ayam di sini dijual," katanya yang mempunyai isteri Azizah Ahmad, 59, dan enam anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan berusia 30 hingga 20 tahun
Ramli Mat, 40, berkata, projek ternakan ayam ini mampu membela nasib keluarganya.
"Saya dapat menambahkan wang untuk keperluan keluarga di samping melakukan kerja sampingan mengambil upah memotong rumput," katanya.
Menurut beliau, pihaknya dibayar RM240 sebulan untuk menjaga ternakan ini.
"Saya gembira kerana projek ini membantu meringankan beban penduduk miskin di sini," katanya yang mempunyai seorang isteri, Nori Mat, 39, dan lima anak iaitu dua anak lelaki dan tiga anak perempuan berusia 17 hingga 7 tahun.
Sementara itu, Ketua UMNO cawangan Kampung Manik, Pondok Tanjong, Zulkeflee Abd. Shukor, 47, berkata, projek ini bertujuan mengatasi masalah kemiskinan penduduk.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin yang meninjau projek tersebut baru-baru ini berkata, projek ini bertujuan membantu golongan miskin untuk meningkatkan pendapatan mereka sekeluarga.
"Kita membantu mereka menerusi program e-kasih yang dilaksanakan kerajaan bagi membolehkan mereka menjalankan projek berdaya maju," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment