Tuesday, September 7, 2010

Jual Daun

Rezeki hari raya Mohd. Basri jual 40,000 pucuk daun palas

BALING 6 Sept. - Menjelang Aidilfitri, penjual daun palas merupakan antara golongan yang paling sibuk kerana terpaksa memenuhi keperluan pelanggan mendapatkan bahan berkenaan untuk menghasilkan ketupat.

Seorang penjual daun palas, Mohd. Basri Yaakob, 40, dari Kampung Bandar, Siong, dekat sini, berkata, dia terpaksa berulang-alik ke kawasan hutan berdekatan beberapa kali sehari bagi mendapatkan daun palas untuk dijual di pasar Baling.

Katanya, keadaan tersebut sangat memenatkan lebih-lebih lagi ketika memasuki minggu terakhir Ramadan.

"Setiap tahun menjelang musim raya, saya terpaksa ke hulu, ke hilir mendapatkan daun palas. Ia memang menjadi rebutan dan permintaannya sangat tinggi.

"Tahun ini, saya telah menjual lebih 40,000 pucuk daun palas kepada pelanggan di sekitar Baling, Kupang, Pengkalan Hulu, Sungai Petani dan Pulau Pinang," katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.

Menurut Mohd. Basri, harga daun palas pada tahun ini meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya memandangkan bekalan makin sukar diperoleh.

"Tahun ini saya menjual satu ikatan yang memuatkan 100 pucuk palas dengan harga RM30.

"Walaupun harga meningkat, ia masih mendapat sambutan kerana ketupat yang dibalut dengan palas sangat digemari oleh penduduk di utara ini," jelasnya.

Kata Mohd. Basri lagi, sejak tahun lalu, dia juga terpaksa mendapatkan bekalan tambahan dengan mengimport daun palas dari selatan Thailand.

"Sebelum ini saya ambil di kawasan Sik, Pendang dan Pengkalan Hulu. Oleh kerana kawasan hutan telah banyak diteroka, bekalan palas juga telah berkurangan.

"Sebab itu, saya terpaksa beli daripada peniaga di Betong, selatan Thailand dan menjual semula kepada pelanggan di sini," jelasnya.

Mohd. Basri memberitahu, antara daun palas yang mendapat permintaan tinggi adalah jenis daun tumbuh di kawasan tanah lembut.

"Daun palas jenis ini mudah dilipat bagi membungkus beras pulut untuk dijadikan ketupat. Selain itu, orang ramai juga suka membeli daun palas yang bersaiz pendek kerana tidak perlu memotongnya," ujarnya.

Tambahnya, daun palas bukit turut mendapat permintaan kerana ia berbau wangi dan tidak mudah koyak ketika dilipat.

"Ketupat yang dihasilkan menggunakan daun palas bukit mengeluarkan aroma wangi dan sangat enak dimakan," katanya.

No comments:

Post a Comment