Thursday, April 5, 2012

butik



ARKIB : 04/04/2012
 

Norazlina berlapang dada



Norazlina Mohd. Arsad meminati dunia rekaan fesyen sejak remaja.



PEKERJAAN yang dilakukan dengan penuh minat pasti akan menjadi lebih mudah dan pada akhirnya membuahkan hasil cukup manis walaupun pada awalnya perlu berkerja keras.
Prinsip sama jadi pegangan Norazlina Mohd. Arsad, 33, ketika pertama kali mahu membuka butik yang beliau namakan sebagai Jezzemine Couture.
Pernah bekerja di beberapa syarikat telekomunikasi dan terlibat dengan beberapa projek besar yang berkaitan dengan rangkaian kejuruteraan telekomunikasi, tidak menjadi penghalang kepadanya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Wanita kelahiran Johor Bahru yang juga ibu kepada seorang puteri itu, kini boleh berlapang dada kerana perniagaan butik pengantin yang diusahakan secara bersendirian sejak dua tahun lalu mula membuahkan hasil.
Ternyata langkah ibu muda ini mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada anak dan perniagaan yang baru bertapak berbaloi.
Butiknya kini bukan saja semakin dikenali ramai bahkan mula menerima tempahan daripada pelbagai lapisan masyarakat sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Norazlina berkata, sedari awal lagi dia memang mempunyai impian untuk memiliki butik perkahwinannya sendiri.
"Selepas berhenti kerja, saya bermula dengan berniaga dari rumah menjual kain benang kapas dan menerima tempahan jahitan baju secara online.
"Selepas itu, saya mengambil keputusan membuka sendiri butik kerana minat yang mendalam terhadap kecantikan. Tambahan saya tidak mengalami masalah untuk mencari modal ketika itu kerana mempunyai wang simpanan sendiri," katanya ditemui di butiknya di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Jelas Norazlina, butiknya tidak terhad kepada tempahan dan jualan barangan yang berkaitan perkahwinan sahaja, malah turut menerima jahitan baju kurung dan kebaya.
"Selain itu, pelanggan yang datang ke sini diberi pilihan sama ada ingin menyewa atau menempah baju pengantin mereka.
"Mereka juga diberi pilihan mengubahsuai baju yang disewa jika tidak memenuhi cita rasa dan saiz badan. Sebarang pengubahsuaian akan dikenakan caj tambahan kerana tiada jaminan baju tersebut boleh diguna semula selepas itu oleh butik kami," katanya.
Tambahnya, rekaan baju pengantin di butiknya lebih berkonsep moden, ringkas dan trendy selain setiap rekaan disesuaikan dengan permintaan pengantin supaya nampak eksklusif.
"Selalunya kami akan menasihati pelanggan dari segi pemilihan warna dan rekaan pakaian kerana kedua-dua elemen ini penting agar pengantin nampak cantik dan selesa ketika di hari persandingan.
"Sebelum membuat sesuatu rekaan pakaian, beliau akan membuat kajian dahulu mengenai latar belakang pasangan pengantin dan tempat majlis tersebut berlangsung," katanya.
Katanya, antara perkhidmatan perkahwinan yang ditawarkan oleh butiknya termasuk pakej perkahwinan, terdiri dari baju pengantin, pelamin, hiasan meja makan beradab, penyediaan dewan dan solekan.
Tambahnya, penglibatan dalam banyak promosi, pameran dan majlis perkahwinan yang diadakan ketika ini adalah satu langkah terbaik untuk menonjol dan memperkenalkan butiknya kepada orang ramai.
"Cara ini memberi peluang kepada kami membina kepercayaan dan meluaskan lagi perniagaan melalui perkhidmatan yang dipamerkan kepada mereka.
"Apabila mereka berpuas hati dan tertarik, sekurang-kurangnya mereka akan menjadikan butik kami sebagai rujukan untuk membuat tempahan pada masa akan datang," katanya.
Norazlina mengakui, setiap perniagaan mempunyai cabaran dan persaingan tetapi kedua-dua aspek itu tetap penting kepada sesebuah perniagaan bagi memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.
"Setakat ini tiada masalah mendapatkan pelanggan pelanggan kerana sasaran butik ini untuk golongan pertengahan yang inginkan rekaan eksklusif pada harga yang berpatutan," katanya yang merancang untuk membuka beberapa cawangan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang

No comments:

Post a Comment