Monday, April 16, 2012

jual ikan laga

Rezeki bisnes ikan laga

SYED HASANUL AZHAN menunjukkan ikan laga yang dipamerkan di kedainya di Kuala Terengganu.


SUATU ketika dahulu, ikan laga sering digunakan untuk tujuan perjudian apabila dilagakan antara satu sama lain. Bagaimanapun aktiviti itu semakin berkurangan apabila penguatkuasaan ketat dijalankan pihak berkuasa.
Namun begitu, ikan laga tetap mengumpul peminat tersendiri yang membelanya sebagai satu hobi.
Ikan-ikan itu dijadikan ikan hiasan dalam kalangan peminatnya kerana berwarna-warni dan mudah dijaga.
Daripada hobi masa lapang, kini minat memelihara ikan laga bertukar kepada perniagaan di pasaran tempatan dan juga luar negara yang membawa pulangan lumayan. Ikan laga atau nama saintifiknya Betta Splendens termasuk dalam keluarga Anabantidae (Labirynth Fisher). Ia dikatakan berasal dari Sungai Mekong iaitu sekitar perairan Thailand dan Kemboja.
Seorang peminat ikan laga Syed Hasanul Azhan Syed Abdullah, 37, kini serius mengusahakan perniagaan ikan laga dengan menternaknya sendiri sejak 10 tahun lalu di rumah ibu bapanya di Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu, Terengganu.
Syed Hasanul Azhan yang mesra dengan panggilan Anul berkata, segalanya bermula dengan minatnya yang mendalam terhadap perniagaan ikan hiasan.
"Semasa kecil-kecil dahulu, saya bersama rakan-rakan selalu turun ke bendang untuk mencari ikan laga atau dipanggil juga ikan sekilau. Selain untuk dilagakan, saya juga suka melihat bentuknya yang cantik.
"Pada mulanya saya membela ikan ini hanya sebagai hobi, namun setelah melihat ikan ini kian diminati ramai untuk dijadikan ikan hiasan, timbul minat menternak dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan," katanya.
Antara variasi ikan laga yang diternaknya ialah ekor separa bulan, ekor mahkota, ekor berkembar, ekor selendang dan ekor pendek.
Katanya, beberapa jenis ikan laga ini sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan berikutan bentuk badan dan corak warna yang menarik serta harga berpatutan.
Pertandingan ikan laga
Tekad untuk menjadi usahawan ikan laga semakin menebal dalam jiwa Syed Hasanul Azhan setelah bertemu dengan seorang peniaga ikan laga dari Singapura dalam satu pertandingan ikan laga di Chendering, Kuala Terengganu pada tahun 2002.
"Lelaki itu memberitahu, dia telah terbabit dengan perniagaan ikan laga sejak 40 tahun dan sehingga kini perniagaannya masih tetap bertahan, malah semakin berkembang," katanya.
Ini mencetuskan idea kepada Syed Hasanul meneliti pasaran ikan laga dan mendapati harga ikan laga di pasaran tidak pernah jatuh sebaliknya semakin mendapat permintaan tinggi.
Selepas mengikuti kursus jangka pendek anjuran Jabatan Perikanan negeri dan berbekalkan modal RM5,000, beliau membeli 20 kerek telaga (struktur konkrit berbentuk silinder) untuk dijadikan kolam memelihara ikan hiasan di belakang rumah keluarganya.
Ibarat anak kecil yang baru belajar bertatih, percubaan awal beliau memelihara beberapa jenis ikan hiasan seperti ikan guppy, swordtail dan sailfish molly gagal apabila ikan yang dipelihara diserang kulat dan mati.
Tidak patah semangat
Namun, kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya dan beliau cuba memelihara ikan laga pula. Daripada sepasang induk ikan, kini Syed Hasanul Azhan mempunyai 10,000 ikan laga.
Harga ikan laga bergantung kepada ciri seperti kecantikan ekornya dan warnanya yang menarik. Ia boleh dibeli semurah RM2 hingga yang paling mahal, RM250 seekor.
"Memelihara ikan laga tidak sesukar memelihara ikan lain. Apa yang penting, kita hanya perlu memastikan ikan ini mendapat makanan yang cukup serta tahap alkali (pH air) bersesuaian bagi mengelakkan ikan itu mati," katanya.
Beliau berkata, untuk menghasilkan benih ikan, sepasang induk perlu dimasukkan ke dalam kolam air yang bersih.
Bagi mengelakkan ikan itu diserang kulat air, sedikit garam dan daun ketapang perlu diletakkan untuk mengimbangkan air dan membunuh bakteria sebagai antifungus.
Katanya sepasang induk ikan laga dikatakan mampu menghasilkan antara 300 hingga 400 anak ikan dalam sesuatu masa.
Ikan laga jantan
"Ketika anak-anak ikan itu mencecah usia sebulan lebih dalam takungan, ikan-ikan laga jantan yang mempunyai ekor yang lebih panjang dan lebih cantik berbanding ikan betina, perlu diasingkan untuk mengelakkan mereka daripada berlaga sesama sendiri," katanya.
Namun yang uniknya, ikan betina yang mempunyai ekor lebih pendek, tidak pula perlu diasingkan kerana ikan-ikan betina dikatakan mampu hidup harmoni.
Dalam proses pembesaran ikan laga, kata Syed Hasanul Azhan, ikan-ikan itu diberi makan jentik-jentik, cacing merah dan plankton. Apabila mencecah dua bulan setengah, ikan-ikan laga itu sudah boleh dijual.
Hasil pendapatan dan perancangan
Menurut Syed Hasanul, beliau memperoleh pendapatan lebih RM2,500 sebulan hasil jualan ikan laga di pasar malam dan pasar tani sekitar negeri ini.
Selain itu, dia juga kini mengorak langkah mengembangkan pernigaannya dengan mengeksport ikan itu ke luar Terengganu.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu menghantar bekalan ikan kepada seorang pemborong di Sabak Bernam, Selangor sejak tiga tahun lepas.
"Sebanyak 400 ekor ikan dihantar setiap minggu menggunakan khidmat kurier. Daripada tambahan itu saya meraih pendapatan melebihi RM2,500 sebulan," katanya.
Bagi perancangan jangka masa panjang, beliau mahu mengembangkan lagi projek membela ikan laga itu untuk pasaran luar negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Post a Comment