Wednesday, April 25, 2012

fatehah pelumba basikal

Fatehah kempunan nasi dagang


FATEHAH semakin menyerlah dalam kejohanan lumba basikal antarabangsa.


FATEHAH MUSTAPA, 23, semakin mengekori rapat populariti rakan senegerinya, Azizulhasni Awang dalam sukan lumba basikal.
Sementara Azizulhasni digelar Thepocketrocketman oleh media antarabangsa kerana pecutannya, 'henjutan ajaib' Fatehah pula membolehkan gadis kelahiran Kuala Berang, Terengganu itu merangkul pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kuala Lumpur Februari lalu.
Beliau merupakan peserta wanita pertama negara yang memenangi pingat emas sejak ACC diperkenalkan pada tahun 1963 sekali gus melayakkan Fatehah ke Olimpik London 2012 Julai nanti.
Beliau kini ialah pelumba kedua terbaik Asia di belakang pelumba China, Guo Shuang.
Mendekati gadis penuh tenaga ini, Fatehah berkata, berbasikal sebenarnya bukanlah sukan pilihan utama beliau.
Satu-satunya kenangan berkaitan basikal semasa kecil ialah peristiwa beliau mengayuh kenderaan dua roda itu untuk pergi ke sekolah bersama rakan-rakan setiap hari.
Aktif
"Di sekolah, saya aktif dalam sukan badminton, acara balapan dan trek, bola baling dan bola jaring," imbas Fatehah mengenai zaman persekolahannya di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Langgar, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Oleh kerana terlalu aktif bersukan, Fatehah seringkali tertidur kepenatan di dalam kelas.
"Berkali-kali juga saya ditegur oleh guru di dalam kelas. Bapa saya turut bimbang dengan kecenderungan saya terhadap aktiviti sukan.
"Dia takut saya akan ketinggalan dalam pelajaran," beritahu anak keenam daripada lapan beradik itu. Fatehah turut menyifatkan dirinya sebagai murid nakal di sekolah.
Kerjaya lumba basikal Fatehah hanya bermula pada tahun 2000 selepas beliau memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil pada usia 13 tahun.
Empat tahun kemudian, Fatehah memenangi pingat pertamanya iaitu sebutir pingat emas dan perak pada acara lebuh raya Sukan Malaysia (Sukma) 2004 di Negeri Sembilan.
Bintang Fatehah terus menyerlah pada Sukma 2006 di Kedah apabila beliau meraih enam pingat emas.
Sebagai seorang atlet, Fatehah terpaksa mengawal pemakanannya termasuk 'mengorbankan' menu kegemarannya iaitu nasi dagang.
"Makan secara sembarangan boleh menjejaskan prestasi seseorang ahli sukan lebih-lebih lagi jika kesihatannya terganggu," ujarnya.
Menurut Fatehah, beliau dilarang mengambil makanan berlemak dan dikehendaki mengikut nasihat pakar diet.
Dalam sukan lumba basikal, setiap kayuhan yang bertenaga adalah penting. Kealpaan walaupun untuk satu kayuhan akan menggugat peluang pelumba untuk memenangi pertandingan.
"Ini memaksa saya melupakan seketika nasi dagang yang berlaukkan ayam atau daging.
"Ia bukanlah makanan yang disyorkan terutamanya semasa sedang menjalani latihan intensif," katanya yang mengikuti latihan di Melbourne, Australia bersama pelumba basikal negara yang lain.
Bagi Fatehah, masakan ibunya adalah yang paling sedap. "Setakat ini rasanya tiada hidangan lain di dunia yang setanding dengan air tangan ibu," tuturnya yang tidak akan melepaskan peluang menikmati nasi dagang apabila pulang ke kampung halamannya.
Biasiswa
Ditanya mengenai peluangnya pada Olimpik London, Fatehah berkata, ia mungkin sukar namun beliau berazam untuk membawa pulang pingat emas.
"Pada kejohanan itu nanti saya perlu bertanding dengan pelumba handalan dunia, antaranya jaguh Britain yang juga idola saya, Victoria Pedleton, yang pernah menjuarai banyak perlumbaan besar dunia," terangnya.
Hala tuju Fatehah selepas ini adalah untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang perniagaan.
Februari lalu, Fatehah menjadi penerima ketiga biasiswa Yayasan Sime Darby. Biasiswa bernilai RM400,000 itu membolehkan beliau menyambung pengajian di Universiti Victoria, Melbourne bermula September depan.
Fatehah merupakan pelumba basikal kedua negara yang menerima biasiswa itu. Sebelum ini, Azizulhasni dianugerahkan biasiswa serupa bernilai RM456,000 untuk menyambung pelajaran di Melbourne dalam bidang Pengurusan Sains Sukan.
Fatehah sedar beliau tidak boleh menjadi pelumba selama-lamanya.
"Faktor usia sering mengehadkan zaman kegemilangan seseorang atlet.
"Bidang perniagaan adalah sasaran saya apabila tidak lagi aktif sebagai pelumba basikal nanti," ujar Fatehah yang gemar mendengar muzik dan mengumpul seberapa ramai kawan. - KUMARA SABAPATTY

No comments:

Post a Comment