Saturday, April 14, 2012

belia 1m

Gegak gempita karnival Belia Gemilang 1Malaysia


CIPTA rekod. Hampir 1,000 pesilat dari pelbagai persatuan berkumpul dan mengadakan demonstrasi seni mempertahankan diri masing-masing.


SATU catatan sejarah sudah tercipta pada Karnival Belia Gemilang 1Malaysia yang disemarakkan di Taman Tasik Titiwangsa pada 26 hingga 27 Mac lalu.
Selama dua hari berturut-turut, di setiap penjuru kawasan riadah itu dibanjiri dengan ramai pengunjung tidak kira tua atau muda.
Keadaan ini juga mengundang kesesakan yang teruk pada bahagian jalan-jalan utama seperti di Jalan Tun Razak dan di bulatan Pahang sejak pukul 10 pagi lagi.
Mereka yang berkeluarga khususnya berpusu-pusu ke Taman Tasik Titiwangsa bagi merasakan aura kehebatan karnival berskala besar itu.
Mengikut perkiraan kasar, dianggarkan hampir 80,000 orang dari seluruh pelosok negara hadir dan lebih 100 tapak niaga laris ‘disambar’ para usahawan tempatan.
Sesungguhnya, ia merupakan satu rekod terbaik bagi sesebuah acara yang dianjurkan di negara ini.
Karnival ini adalah anjuran Pertubuhan Belia Glokal Wilayah Persekutuan. Ia mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Confederation Of Sar Ping Malaysia, Radio Malaysia Muzik FM dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).
Pelbagai acara menarik telah diadakan. Antaranya adalah pertandingan memasak nasi lemak, pertandingan tarian singa, pameran kucing, Raja Futsal, Megamancing Titiwangsa dan pameran kenderaan.

Malam 1,000 pendekar
Pertunjukan seni mempertahankan diri atau dinamakan Malam 1,000 Pendekar adalah acara yang menggegarkan Taman Tasik Titiwangsa pada malam Ahad lalu.
Sejak lewat petang, kelibat ratusan ahli seni bela diri sudah kelihatan. Ada yang sibuk mengenakan pakaian seragam manakala lebih ramai berkumpul untuk bersama-sama memanaskan badan.
Tujuh persatuan seni mempertahankan diri menyertai acara itu. Mereka adalah ahli-ahli tangkas dari Persatuan Seni Silat Gayung Patani, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Persatuan Wushu Kuala Lumpur dan Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.
Dengan penuh semangat dan mencurah sepenuh jiwa dan tenaga, setiap persatuan mempamerkan aksi mempertahankan diri mengikut prinsip setiap persatuan.

Deruman bunyi enjin dan dentuman lagu daripada motosikal yang dicorakkan dengan airbrush oleh Firdaus memecah kesunyian di tapak karnival berkenaan.


Mereka diberi tempoh lapan minit bagi menunjukkan demonstrasi seni mempertahankan diri masing-masing.
Selepas itu, belia-belia itu menunjukkan kehebatan dengan menunjukkan teknik mematahkan serangan peragut.
“Idea ini saya sifatkan agak menarik kerana melalui seni mempertahan diri pun, kita dapat mewujudkan semangat perpaduan sesama kaum,” kata Pengarah program karnival, Noor Izwan Abd. Malik.
Variasi pameran
Beberapa pameran turut diadakan. Antaranya pameran kereta, pameran agensi-agensi kerajaan seperti daripada Arkib Negara dan Pusat Derma Darah.
Namun, paling menarik perhatian pengunjung terutamanya kaum Hawa adalah Pameran Kucing Cantik yang dibawa oleh Kelab Kucing Malaysia.
Lebih daripada 30 ekor kucing yang merupakan baka tempatan dan antarabangsa seperti Exotic Short Hair, Parsi, Siam, Domestic Short Hair, Domestic Long Hair, Oriental dan Mainecoon dipamerkan untuk tontonan awam.
Kepada peminat haiwan peliharaan itu, mereka tidak sekadar hanya melihat dan membelai.
“Kami menawarkan kucing secara percuma untuk dijadikan anak angkat kepada mereka yang berminat,” kata sukarelawan Omiey’s Home, Mohd. Redzuan Ibrahim ketika ditemui Kosmo!.
Berdekatan dengan Tasik Titiwangsa pula, lautan manusia mengerumuni satu sudut. Apabila didekati, rupa-rupanya mereka sedang menonton demonstrasi motor tercantik kategori airbrush milik Firdaus Kamarudin, 25.
Firdaus mencorakkan dan mengecat motor Yamaha LC 135 dengan tema Dragon Ball Evolution.
“Saya mula berjinak-jinak dengan airbrush sejak tahun 2005, untuk tema terbaru khas untuk karnival ini, saya telah mengeluarkan wang sebanyak RM10,000,” katanya yang juga merupakan seorang tentera.
Dalam pada itu juga, kehandalan Manzar Pauji, 27, dalam melukis potret berbentuk karikatur membuatkan ramai yang menunggu giliran untuk wajah mereka dipotretkan.
Harga yang ditetapkan tidaklah berapa mahal. Bagi lukisan yang berwarna cuma berharga RM20, sementara potret tanpa warna, RM10.
“Untuk menyiapkan sekeping lukisan, saya hanya ambil masa 10 minit,” kata Manzar.

Mega Mancing

MANZAR tidak menang tangan melayani pengunjung yang berhasrat mempotretkan wajah mereka dengan gaya karikatur.


Mohd. Kamal Mohd. Yusof, 40, mungkin antara peserta yang paling gembira pada Karnival Belia Gemilang 1Malaysia. Keterujaannya terserlah apabila dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Mega Mancing sekali gus merangkul wang kemenangan sebanyak RM10,000.
Mohd. Kamal yang mengenepikan 100 peserta yang lain berjaya menaikkan seekor ikan rohu seberat 5.98 kilogram (kg).
Tempat kedua pula diraih oleh Mohd. Fuad Abdul Ghani, 43, yang menangkap ikan patin seberat 5.91kg dan membawa pulang hadiah RM3,000. Sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd. Fauzi Ibrahim, 39, yang turut berjaya menangkap ikan patin seberat 5.72 kg.
Raja Futsal
Karnival untuk belia tidak akan lengkap tanpa pertandingan futsal. Dalam pesta masyarakat tersebut, pihak penganjur menggelar acara permainan sebagai Pertandingan Raja Futsal Titiwangsa.
Lebih daripada 20 pasukan terlibat namun tuah menyebelahi pasukan Dynasty A apabila muncul sebagai juara selepas menewaskan pasukan DRE pada perlawanan akhir dengan agregat 2-1.
Juara membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 beserta piala pusingan, sementara naib juara pula memenangi wang tunai RM1,000 dan medal.
Acara kemuncak kepada karnival itu ialah konsert yang dihiburkan oleh beberapa artis tempatan seperti Saleem dan Farawahida.
Melihat kepada kejayaan program berkenaan, ramai pihak melahirkan harapan agar karnival sebegitu akan memberi galakan kepada belia untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka.

No comments:

Post a Comment