Wednesday, April 4, 2012

berbudi pada tanah

Tidak rugi berbudi pada tanah


YUSAINI Anor Amir menjual sayuran di belakang van miliknya di Pekan Sungai Koyan, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 2 April - Sejak kerajaan menggalakkan rakyat bercucuk tanam untuk mengurangkan import bahan makanan, ramai penduduk di negeri ini mula memanfaatkan tanah terbiar dan tanah kosong di sekitar rumah masing-masing.
Seorang penduduk Tanjung Gahai, Hulu Jelai di sini, Yusaini Anor Amir, 42, menjadikan kawasan di sekeliling rumahnya sebagai kebun sayur.
Yusaini yang merupakan peserta Projek Agropolitan Tanjung Gahai mula berkebun sejak lima tahun lalu dengan menanam pelbagai sayur-sayuran.
Katanya, dia mengusahakan tanaman sayuran seperti kacang panjang, cili kulai, petola, bendi, kangkung dan bayam.
"Jika kita rajin berbudi kepada tanah, maka tidak hairanlah kita dapat hasil pulangan yang baik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Jelasnya, bermodalkan sebanyak RM8,000 yang dikumpul menerusi jualan nanas komersial sejak tiga tahun lepas membolehkannya membeli sebuah van untuk memulakan pasaran sayur-sayuran di pekan Sungai Koyan, dekat sini.
"Saya memulakan pasaran sayur-sayuran ini mulai pukul 8 pagi di pekan Sungai Koyan dan kampung berdekatan menerusi pasaran terus kepada pelanggan," ujarnya.
Yusaini berkata, nilai sayur-sayuran yang dijual antara RM1 hingga RM5 sekilogram sudah dikira berpatutan untuk penduduk berpendapatan rendah di kawasan kampung berbelanja keperluan dapur.
Menyentuh mengenai jualannya, dia memperoleh pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 setelah ditolak dengan keperluan membeli petrol, baja, benih dan peralatan lain.
"Kadang-kadang pembeli yang berdekatan datang sendiri ke kebunnya untuk mendapatkan sayur- sayuran segar.
"Kalau mereka datang ke kebun mencari sayur, saya jual dengan harga yang kurang daripada harga pasaran dan mereka memang gemar untuk membeli sayur di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment