ARKIB : 15/04/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Teroka potensi perniagaan orang Melayu
WAJAHNYA begitu tenang menjawab soalan yang dikemukakan namun pada masa yang sama beliau dilihat sangat berkeyakinan dalam menyatakan hala tuju dan perancangan yang mahu dijana.
Orang yang dimaksudkan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Al Rajhi Malaysia, AZRULNIZAM ABDUL AZIZ yang juga orang Melayu dan rakyat Malaysia pertama dilantik menjawat jawatan tersebut.
Sepanjang wawancara itu berlangsung adalah jelas beliau sangat fokus dan berpandangan jauh, maka adalah tidak menghairankan kenapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank yang berpusat di Arab Saudi ini, Abdullah Al Rajhi, melantik beliau selepas kedua mereka berjumpa untuk ditemuduga di Dubai sebelum ini.
Walaupun berpengalaman luas dalam industri perbankan namun semangat Melayunya tetap tersemat kukuh dan ia juga antara matlamat utamanya dalam menerajui bank ini.
Bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau menjelaskan lebih lanjut mengenai visi dan misinya dalam membawa Bank Al Rajhi ke arah kecemerlangan yang lebih baik.
MINGGUAN: Bagaimana saudara boleh ditawarkan ke jawatan ini?
AZRULNIZAM: Sebenarnya saya telah ditemuduga di Dubai oleh CEO bank ini, Abdullah Al Rajhi. Saya difahamkan beberapa nama telah di senarai pendek untuk ditemuduga beliau. Namun saya tidak tahu siapa mereka namun saya difahamkan terdapat calon dari Malaysia dan juga antarabangsa yang turut ditemuduga. Dalam temuduga itu kami telah berbincang dan berbicara mengenai perancangan yang saya mahu lakukan untuk bank ini. Saya turut membincangkan bersama beliau tentang pelan saya dalam membawa Bank Al Rajhi Malaysia ke tahap baru. Alhamdulillah saya dipilih untuk menerajui bank ini di Malaysia. Dalam tempoh hampir tiga bulan saya menerajui bank ini, Alhamdulillah saya dapat merasakan sokongan yang diberikan oleh kakitangan bank ini sangat mengujakan. Saya percaya semua kakitangan bank ini mahu memastikan kejayaan yang lebih besar dan terbaik untuk dikongsi bersama. Kami semua benar-benar berusaha, berdedikasi dan berkeyakinan mahu membangunkan bank ini ke arah lebih cemerlang berbanding sebelumnya.
Saya juga mahu nyatakan bahawa bank ini telah menyambut ulang tahun yang kelima pada tahun ini. Untuk lima tahun itu ia merupakan proses permulaan perkembangan bank ini di Malaysia. Sudah tentu CEO sebelum saya telah membawa bank ini ke tahap yang yang kita lihat sekarang dan kini kami berada pada kedudukan berkembang. Oleh itu apa yang masyarakat boleh lihat dalam tempoh 18 bulan depan ini adalah aktiviti perkembangan dan penciptaan nilai. Apa yang saya maksudkan dengan penciptaan nilai adalah kami akan lebih menekankan dalam soal seperti berkomunikasi bersama pelanggan, memastikan kami benar-benar memenuhi kehendak pelanggan dan juga masyarakat.
Memandangkan saudara merupakan anak Melayu pertama menerajui bank ini, mungkin saudara mempunyai perancangan untuk membantu golongan ini terutama dalam bidang perniagaan dan kewangan?
AZRULNIZAM: Bagi saya bank ini mempunyai potensi yang sangat besar dalam menerokai peluang kepada orang Melayu. Ini kerana saya dapat lihat sendiri ramai usahawan Melayu mahu menjalin hubungan dan bekerjasama secara langsung dengan bank ini. Bank ini sebenarnya mempunyai jenama yang sangat kuat di kalangan negara Islam contohnya anda boleh saksikan sendiri bagaimana bank ini mempunyai ratusan cawangannya di Arab Saudi yang memudahkan urusan rakyat Malaysia ketika menunaikan umrah dan haji. Bank ini merupakan bank Islam terbesar bukan sahaja di Arab Saudi malahan juga di dunia dan ia juga mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan orang Melayu dan Islam ketika berada di negara itu.
Seterusnya saya juga mahu menyatakan di sini bahawa sasaran utama kami adalah orang Melayu dan juga mereka yang beragama Islam. Kenapa saya begitu menekankan tentang sasaran ini adalah kerana 66 peratus penduduk di negara ini adalah terdiri dari orang Melayu dan Islam. Sudah tentu golongan ini adalah sasaran pasaran terbaik bagi kami. Keduanya jika kita lihat dalam tempoh lima hingga lapan tahun lepas, terdapat trend peningkatan bagi usahawan Melayu yang semakin berjaya dalam perniagaan. Sudah tentu mereka ini memerlukan bantuan dalam kemudahan perniagaan dan kewangan. Oleh itu jika kita lihat kepada kombinasi tiga perkara yang saya nyatakan tadi, antara kewajaran utama kenapa bank ini bertapak dan kini semakin kukuh di negara ini adalah untuk menyokong masyarakat Melayu dan Islam di negara ini. Malah jika anda lihat portfolio kami majoritinya adalah golongan Melayu dan Islam di negara ini. Sasaran kami sangat jelas dalam hal ini. Namun pada masa sama kami juga mempunyai sasaran lain seperti masyarakat terbanyak, mereka yang berpendapatan tinggi dan sebagainya namun masyarakat Melayu dan Islam adalah kunci utama sasaran kami. Pada masa sekarang kami bekerjasama rapat dengan Dewan Perniagaan Melayu dan majlis-majlis agama Islam di negeri-negeri. Dengan kerjasama erat bersama pihak-pihak yang saya nyatakan tadi maka sudah tentu mereka akan memperkenal atau mencadang ahli perniagaan Melayu yang mempunyai nilai-nilai baik untuk bekerjasama dengan kami. Antara yang diberi perhatian adalah mereka yang berkecimpung dalam perniagaan kecil dan sederhana dan sudah semestinya mereka ini perlu diberi bantuan sewajarnya untuk mengembangkan perniagaan.
Mungkin saudara mempunyai sasaran jangkamasa pendek dan panjang dalam menerajui bank ini kearah lebih baik?
AZRULNIZAM: Dalam soal ini ada dua perkara utama yang akan diberi perhatian. Pertama adalah apa yang akan menjadi fokus kami untuk tahun ini dan kedua apakah aspirasi kami untuk jangkamasa panjang. Bagi saya ada lima beberapa perkara penting yang akan dilakukan untuk menjana perniagaan kearah lebih baik. Pertama kami mahu mengembangkan jenama kami supaya lebih dikenali oleh masyarakat. Sekarang kami mempunyai 23 cawangan dan seperti yang saya katakan tadi semakin ramai orang Melayu dan Islam yang mahu berurusan dengan kami bukan sahaja di ibu negara tetapi di negeri-negeri lain seperti Kota Baru, Kuantan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan sebagainya. Malah kami juga sudah semakin rapat dengan pihak media dan anda juga sudah melihat semakin banyak iklan yang dipamerkan di merata tempat. Perkara kedua saya mahu nyatakan bahawa saya sangat mempercayai kekuatan modal insan dan saya menganggap pekerja adalah aset terbaik dalam sesebuah organisasi. Oleh itu kami kini sedang rancak membuat program mengenai modal insan seperti latihan dan kursus untuk memastikan aset kami ini senantiasa berharga dan berkesan.
Bagaimana pula dalam soal memperkembangkan perniagaan kerana sudah tentu ini antara perkara utama yang akan diberi perhatian?
AZRULNIZAM: Semua pihak sudah tentu tahu bahawa kami adalah sebuah bank antarabangsa yang turut meliputi perbankan runcit dan perbankan korporat. Saya sudah berbincang dengan kedua-dua pengurus yang bertanggungjawab dalam hal ini bahawa kita perlu menumpukan sepenuh perhatian tentang apa fokus yang kita perlu laksanakan pada tahun ini. Selain itu kami juga akan menumpukan kepada governance risk dan struktur syariah. Satu lagi yang akan kami beri tumpuan adalah bagaimana kami boleh mengikut dan melaksanakan model pengurusan dan perniagaan yang dijalankan oleh bank pusat kami di Arab Saudi. Ini kerana kami perlu akui kehebatan pengurusan bank ini yang kini mempunyai aset melebihi 200 bilion Saudi Riyal. Oleh itu kami perlu mengikut contoh di mana kekuatan mereka yang sebenar. Saya ingin berkongsi di sini bahawa antara kekuatan bank ini di Arab Saudi adalah dalam model perniagaan pertukaran mata wang. Jadi ini adalah model perniagaan yang akan kami kembang dan perkuatkan. Model ini yang kami namakan i-Tahweel dan ia boleh diperolehi di berapa Pusat i-Tahweel. Saya juga mahu berkongsi tentang aspirasi yang akan menjadi keutamaan kami. Pertama kami perlu mempunyai prestasi kewangan yang lebih baik. Keduanya kami akan mengendalikan kawalan dan pemeriksaan yang lebih berkesan. Ketiganya saya akan memberi penekanan yang lebih dalam soal budaya kerja yang mana kami akan menjadi lebih bersungguh-sungguh, dinamik tetapi pada masa yang sama tetap merendah diri. Perkara keempat adalah kami mahu menjadikan Bank Al-Rajhi sebagai pusat kewangan Islam yang paling dipercayai di negara ini.
Boleh saudara kongsikan sedikit sebanyak tentang latar belakang saudara?
AZRULNIZAM: Saya berasal dari Kampung Manjoi, Ipoh, Perak. Saya bersekolah rendah di Ipoh dan kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Taiping. Saya dapat melanjutkan pelajaran di peringkat tingkatan enam rendah di Sekolah St Michael, Ipoh. Namun kemudian saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) dan saya mahu nyatakan di sini bahawa saya sangat berbangga menjadi pelajar di institut berkenaan. Saya juga mahu menyatakan di sini bahawa institusi inilah yang telah membantu ramai pelajar bumiputera menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Saya berjaya menamatkan pengajian dengan Diploma dalam Pengajian Perniagaan di ITM Arau, Perlis. Saya kemudiannya bekerja sementara waktu di beberapa syarikat antarabangsa.
Namun kemudian saya melanjutkan pelajaran di Universiti Wichita State dan memperoleh ijazah dalam bidang pemasaran dan kemudian menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang kewangan antarabangsa di Universiti Hartford Connecticut juga di Amerika Syarikat (AS). Apabila kembali, saya menyertai sebuah bank antarabangsa yang berpusat di AS dan kemudian bekerja pula di Standard Chartered. Saya juga pernah menyertai Leadership Program di Universiti Oxford. Saya telah dipilih untuk menjadi CEO sejak saya berusia 38 tahun dan ramai yang bertanya bagaimana saya boleh menjadi CEO pada usia yang muda. Bagi saya ini adalah jelas rezeki yang Allah beri pada saya namun saya juga percaya bahawa jika kita memegang impian untuk memperoleh sesuatu dan jika kita bekerja keras untuk mendapatkannya, Insya-Allah kita mampu melakukannya. Namun satu perkara yang saya percaya adalah saya selalu selalu berhubung dan bertanya pendapat kepada ibu saya. Bagi saya doa seorang ibu itu adalah sangat mustajab malah ketika saya menyambung pelajaran sarjana saya meminta ibu saya berdoa dan Alhamdulillah saya mendapat keputusan cemerlang. Begitu juga sebelum saya pergi temuduga untuk jawatan CEO Bank Al Rajhi saya mendapatkan doa dan restu dari ibu saya dan Alhamdulillah saya berjaya. Bagi saya doa seorang ibu, selain ahli keluarga dan kawan-kawan sangat penting untuk kita berjaya dalam hidup. Saya juga ingin memberitahu di sini, kesibukan kerja saya tidak menghalang saya dari menghabiskan masa yang berkualiti bersama isteri dan tiga anak perempuan saya yang kini berusia 14, 11 dan lapan tahun. Selain itu saya juga gemar menghabiskan masa lapang dalam sukan yang sangat saya gemari iaitu golf selain saya juga gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi dan seminggu sekali berbasikal di kawasan sekitar rumah saya. Saya akui kerja saya ketika ini memang memerlukan saya berkorban banyak masa tetapi pada masa yang sama saya juga cuba membahagikan masa dengan keluarga selain aktiviti yang saya gemari.
No comments:
Post a Comment