Keunikan dodol Asiah
Dodol merupakan sejenis kuih yang dibuat daripada campuran tepung pulut, gula Melaka dan santan.
Campurannya turut dimodenkan dengan pelbagai perisa termasuk pandan, kopi dan durian yang dimasak sehingga menjadi kenyal.
Makanan tradisi yang cukup sinonim dengan negeri Melaka dan Johor itu sememangnya mempunyai keunikan tersendiri bukan hanya proses penyediaannya memakan masa hampir lima jam, malah, rasanya yang enak mampu menambat selera sesiapa sahaja.
Ketulenan rasa dan kualiti dodol yang dihasilkan boleh dibezakan melalui rasanya yang enak dan tidak tengik.
Suatu ketika dahulu, dodol merupakan makanan tradisi yang menjadi kemestian untuk hidangan di hari raya.
Ia juga sering dijadikan sajian kepada tetamu yang bertandang ke rumah.
Peredaran masa barang kali telah menghakis amalan dan tradisi masyarakat hari ini terhadap kepentingan makanan tradisi itu, namun, keunikan dodol Melaka keluaran D Sweet Enterprise menjadikan ia tetap segar di hati masyarakat.
Jika suatu ketika dahulu, dodol dimasak secara bergotong-royong di majlis-majlis keramaian atau menjelang musim perayaan, kini, arus kemodenan telah mencipta pelbagai mesin dan peralatan canggih bagi memudahkan pembuatannya.
Bagi masyarakat terdahulu, petua dalam menghasilkan dodol yang baik adalah dengan menjamin mutu dan kualiti bahan-bahan yang digunakan.
Pemilik syarikat pembuatan dodol yang terkenal di Melaka, D Sweet Enterprise iaitu Asiah Amat, 65, berkata keistimewaan produk dodol keluaran syarikatnya ialah bahan berkualiti yang mampu menjamin keenakan rasa serta ketahanan dodol antara 10 dan 12 bulan.
Asiah yang menjalankan perniagaan dodol sejak 2006 di Taman Setikawan, Bukit Piatu itu kini mempunyai sebanyak enam buah mesin memproses dodol.
Bagaimanapun, kata Asiah, seni pembuatan dodol secara tradisi tidak harus dilupakan kerana dia mengambil inisiatif dengan mengacau sendiri dodol-dodol yang dihasilkan biarpun mempunyai mesin yang canggih bernilai ribuan ringgit.
"Ini kerana saya tidak mahu dodol yang dihasilkan kurang berkualiti. Biarlah apa yang kita jual kena pada kualiti dan harganya.
"Dodol merupakan makanan tradisi yang cerewet untuk dihasilkan sebab itulah kualiti dan bahan-bahannya perlu baik serta dipastikan tidak tercemar," katanya.
Menurut Asiah, dia menggunakan bahan-bahan seperti kelapa kampung untuk mendapatkan santan yang manis dan berlemak, gula Melaka serta tepung pulut sebagai bahan utama.
Kata Asiah, dalam tempoh sebulan syarikatnya mampu menghasilkan sebanyak satu tan dodol dan meraih pendapatan antara RM7,000 dan RM8,000.
"Biarpun cara penghasilannya agak rumit, hasilnya dapat kita peroleh dan amat berbaloi ketika dimakan," katanya.
Dari segi penghasilan, bahan-bahan perlu dicampurkan dan adunan perlu dikacau secara berterusan selama lebih empat jam menggunakan api bersuhu tinggi bagi memastikan adunan sebati dan tidak terlalu melekit.
Ada pendapat mengatakan dodol perlu dimasak selama lebih daripada empat jam bagi mendapatkan dodol yang benar-benar berkualiti dan enak.
Warnanya juga akan bertukar kepada coklat gelap dan lebih likat setelah proses penyejukan dilakukan kira-kira tiga jam.
Kebiasaannya pembuat dodol merupakan mereka yang cukup mahir dan berpengalaman dalam penyediaannya.
Kebanyakan mereka dalam kalangan yang telah berusia dan menghasilkan dodol dengan menggunakan resipi turun-temurun keluarga.
Jika dahulu dodol dijual dengan harga yang murah, kini harganya boleh mencecah RM26 bagi berat sekilogram.
No comments:
Post a Comment