Peluang tingkat pendapatan
Justeru, ECERDC dengan kerjasama Majlis Perbandaran Bentong (MPB) memberikan kawasan khusus di Kampung Baru di sini untuk memberi peluang para peserta terbabit berniaga di tapak yang dikenali sebagai Bazar Ramadan Empower.
Bazar itu menjadi asas kepada 30 peserta program tersebut memulakan perniagaan dengan menjual pelbagai jenis kuih dan lauk-pauk untuk keperluan umat Islam berbuka puasa.
Beberapa peniaga dan peserta Empower yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana mereka diberikan peluang berniaga di tapak khusus berhampiran bazar Ramadan sebelum ini.
Mereka hanya dikenakan bayaran RM50 untuk bayaran lesen berniaga sementara manakala keperluan lain diuruskan ECERDC.
Kedudukan tapak bazar yang strategik serta mempunyai tempat meletak kereta yang luas itu berjaya menarik orang ramai mengunjungi bazar tersebut.
Salah seorang peserta, Muhd. Amirul Amini, 21, berkata, pendapatannya hasil berniaga di situ amat baik kerana mendapat sambutan menggalakkan pelanggan.
"Saya mendapat keuntungan bersih RM250 sehari dengan menjual sup 'gearbox' dan pelbagai jenis ikan bakar.
"Saya berasa bertuah kerana terpilih menjadi peserta kursus keusahawanan Empower kerana mendapat bimbingan yang betul mengenai perniagaan terutama berkaitan kualiti makanan dan kebersihan tempat berniaga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dia yang sebelum ini membantu keluarganya berniaga di Kantin Dusun EcoResort memberitahu, banyak pengetahuan baru diperolehnya dalam mempelajari dunia perniagaan supaya para pelanggan berpuas hati dengan produk yang dihasilkan.
Muhd. Amirul turut melahirkan keyakinan mampu menjadi peniaga berjaya suatu hari nanti kerana diterapkan dengan ilmu keusahawanan yang mampu bersaing pada masa depan.
Bagi peserta dari Kuala Repas, Bentong, Noraini Mohd. Noor, 47, dia berterima kasih kepada Empower kerana memberi peluang kepadanya berniaga di bazar Ramadan tersebut.
"Kalau tidak menyertai program ini peluang saya untuk berniaga dan menambah pendapatan di bulan Ramadan tidak tercapai kerana bukan senang mendapat lesen dan tapak berniaga.
"Selain itu, kita juga kena bersaing dengan mereka yang sudah biasa berniaga di Bazar Ramadan MPB kerana tidak ada pengalaman berniaga sebelum ini," kata Noraini yang mampu mendapat untung bersih RM300 sehari.
Dia yang yang menjual murtabak mini, popia, cucur udang, tauhu sumbat dan lemang berkata, program Empower melatihnya menjadi peniaga dan usahawan kecil yang bertanggungjawab.
Selain sup 'gearbox' yang menjadi tarikan di bazar tersebut, 'roti john' juga menjadi antara juadah berbuka popular di kalangan penduduk Bentong kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri.
Pengusahanya, Yusman Azizi, 34, berkata, makanan yang dijualnya hanya terdapat pada bulan Ramadan kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan berbanding hari-hari biasa.
"Saya gembira kerana diberi peluang berniaga di tempat baru dan menerusi publisiti yang meluas di bawah ECERDC membantu meningkatkan jualan harian saya.
"Apa yang diharapkan roti john yang saya jual ini terus mendapat tempat di hati pelanggan dan mempunyai nilainya yang tersendiri kepada penduduk Bentong," katanya.
No comments:
Post a Comment