Friday, August 10, 2012

naha power

ARKIB : 09/08/2012

Kuih-muih Nahar Power jadi tumpuan

SHARIFAH Fazreen Syed Tharik (kiri) dan Saiful Azroy Zabri menyusun pelbagai biskut dan kuih-muih keluaran Nahar Power di Plaza Angsana, Johor Bharu.
JOHOR BAHRU 8 Ogos - Selain baju raya, umat Islam kini semakin sibuk membuat pelbagai biskut dan kuih-muih sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang kira-kira dua minggu sahaja lagi.
Apa yang pasti, dalam zaman moden ini, golongan wanita yang bekerja terlalu ramai sehingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat biskut atau kuih-muih sempena hari lebaran.
Lebih pasti lagi, masyarakat sudah sedia maklum apabila seseorang wanita, sama ada berstatus ibu mahupun gadis menyebut mereka 'buat kuih tunjuk' yang membawa maksud kuih yang dibeli.
Bagi warga Johor Bahru dan Singapura pula, 'kuih tunjuk' begitu mudah diperoleh dengan harga yang berpatutan di Plaza Angsana, di sini.
Ini kerana, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, plaza tersebut sentiasa penuh sesak bagi individu yang mahu mendapatkan kuih-muih dan biskut raya.
Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, Plaza Angsana bagaikan ditawan oleh bazar khas yang menyajikan pelbagai juadah hari raya.
Bazar berkenaan dikendalikan oleh Nahar Power Sdn. Bhd. (Nahar Power) sejak 15 tahun lalu selama 12 jam sehari iaitu mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Pengusaha Nahar Power, Mohd. Naharudin Isa, 43, mendapat kepercayaan besar Plaza Angsana berikutan pelbagai juadah yang dipasarkan di situ mendapat perhatian kerana bermutu tinggi manakala harganya pula berpatutan.
Sebenarnya, Nahar Power sudah membuat pelbagai biskut dan kuih-muih atau juadah Aidilfitri sejak seminggu lalu.
Dibantu oleh 10 pekerja, usahawan muda itu semakin aktif dan produktif menghasilkan pelbagai biskut raya moden dan tradisional, termasuk kerepek.
"Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Nahar Power menghasilkan lebih 50 biskut moden dan tradisional untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mengenai harga, Mohd. Naharudin menyatakan, pihaknya menjual kuih-muih tersebut dengan harga yang berpatutan.
Menurutnya, walaupun jumlah pengeluaran ditingkatkan, tetapi pihaknya sentiasa menjaga kualiti dan kesegaran biskut dan kuih yang dihasilkan demi kepentingan pelanggan.

No comments:

Post a Comment