Jual kuih akok besarkan 11 anak
21 Ogos 2012
Walaupun jualan kuih tradisi itu sudah dilakukan sejak 30 tahun lalu namun tanggungjawab besar sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak menguatkan lagi semangatnya.
Menurutnya, akok hasil air tangannya sudah terkenal di kawasan Beserah sehingga tidak menang tangan menguruskan tempahan.
“Tempahan semakin bertambah sehingga empat kali ganda terutama pada bulan Ramadan selain dibuat untuk jualan di kedai milik anak.
“Saya anggap ini adalah rezeki anak-anak walaupun mereka sekarang sudah besar dan mempunyai keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini.
Noria berkata, setiap hari dia terpaksa menyediakan antara 300 hingga 400 biji kuih akok untuk dijual termasuk tempahan daripada peniaga tempatan.
Beliau berkata, disebabkan tempahan yang terlalu banyak terhadap kuih yang dihasilkan, ada ketikanya dia terpaksa menolak hingga menyebabkan pelanggannya kecewa.
Noria berkata, selain membuat kuih akok, dia juga turut menghasilkan kuih bakar dan ketupat daun palas yang turut mendapat permintaan menggalakkan setiap kali Ramadan dan Syawal selain hari biasa.
“Biasanya tempahan untuk ketupat daun palas terhad dan saya hanya menerima tempahan untuk menyambut Aidilfitri saja, setiap tahun antara 500 hingga 1,000 biji dihasilkan manakala 200 hingga 250 biji kuih bakar dihasilkan setiap hari.
“Setiap hari saya akan sediakan antara 50 hingga 70 biji, ketupat yang siap disimpan dalam peti sejuk dan mampu bertahan hingga dua bulan.
“Alhamdulillah, saya mampu meraih pendapatan antara RM50 hingga RM100 sehari hasil jualan kuih yang dijual di bazar Ramadan baru-baru ini,” katanya yang di senarai di bawah program e-Kasih.
Noria turut berkongsi peristiwa pahit yang pernah menimpanya sekeluarga apabila kedai jualan akoknya terbakar pada tahun 2007.
Dalam kejadian berkenaan dia mengalami kerugian lebih RM70,000 apabila semua barangan termasuk kereta dan motosikal miliknya rentung menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.
“Wang bantuan yang diperoleh saya kumpul untuk membeli semula peralatan membuat kuih itu.
“Walaupun perit, namun saya perlu kuat demi anak-anak,” katanya.
No comments:
Post a Comment