Bantu usahawan kecil tempatan
Oleh Rohami Shafie
Pendedahan berkaitan produk usahawan kecil tempatan yang telah dianaktirikan di tanah air sendiri perlu diberi perhatian segera oleh pihak-pihak berkenaan. Pendedahan ini disiarkan dalam ruangan Bisik-bisik Mingguan, Awang Selamat pada hari Ahad lepas.
Dalam ruangan tersebut, Pengerusi Eksekutif Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammad menyatakan bahawa produk-produk tempatan yang berjaya menembusi pasaran Australia telah gagal disenaraikan di pasaran hypermarket di Malaysia. Kalau ada pun sekadar di rak-rak yang kurang menjadi tumpuan pembeli.
Antara cabaran kepada produk-produk tempatan untuk memasuki pasaran hypermarket ialah syarat yang ketat dan caj yang dikenakan membebankan usahawan kecil.
Sayang seribu kali sayang apabila produk-produk tempatan tidak dapat memasuki pasaran hypermarket di tanah air sendiri sedangkan berupaya menembusi pasaran Australia. Jumlah produk yang berjaya menembusi pasaran Australia pula bukannya sedikit, malahan mencecah ratusan produk sejuk beku dan kering.
Pelbagai persoalan bermain di kotak fikiran penulis. Antaranya, adakah produk-produk tempatan tempatan yang diusahakan oleh usahawan-usahawan kecil hanya sesuai untuk jualan kecil-kecilan dan tidak layak dikomersialkan secara besar-besaran di tanah air sendiri?
Atau adakah produk-produk seperti pulut panggang, kuih bakar dan murtabak raja hanya sesuai dijual pada waktu-waktu tertentu seperti ketika bulan Ramadan sahaja? Dengan ayat yang lebih mudah, situasi yang berlaku ini menggambarkan seolah-olah produk-produk ini tidak layak ditempatkan di rak-rak hypermarket.
Tidak cukup dengan pendedahan ini, dilaporkan hanya sepuluh peratus produk-produk tempatan berada di hypermarket di Malaysia. Ini membuktikan ada suatu yang tidak kena apabila produk-produk tempatan sendiri tidak diterima untuk dipasarkan di Malaysia.
Umum mengetahui, jumlah hypermarket di Malaysia tumbuh bagaikan cendawan. Ini kerana salah satu alasan utamanya ialah permintaan yang amat tinggi di kalangan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia diketahui suka berbelanja. Kunjungilah mana-mana hypermarket di Malaysia, jumlah pengunjungnya tidak pernah putus, bahkan sentiasa ramai sehinggalah tiba waktu penutupannya.
Justeru, hypermarket adalah tempat yang amat strategik untuk memasarkan produk-produk tempatan, namun apakan daya produk-produk tempatan dianaktirikan dan disisihkan pula.
Walhal, produk-produk tempatan mempunyai kualitinya yang setanding dengan produk-produk luar negara. Buktinya, Komita merancang menubuhkan pasar raya berkonsepkan halal 1Malaysia Best di Perth, Australia pada tahun depan.
Mana mungkin produk-produk tempatan tidak berkualiti, tidak berinovasi, tidak menarik atau tidak berdaya saing jika adanya usaha yang berani dan agresif sebegini berjaya untuk memasarkannya secara besar-besaran di luar negara. Ini menunjukkan produk-produk tempatan berada di kelasnya yang tersendiri.
Secara tidak langsung, usaha sebegini dapat mempromosikan produk-produk Malaysia di luar negara. Lebih-lebih lagi, kekuatan produk-produk tempatan adalah berteraskan konsep halal yang mana permintaan ke atas produk-produk halal semakin ketara meningkat di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini.
Usaha murni inilah yang perlu disahut oleh pemilik-pemilik hypermarket di Malaysia agar produk-produk tempatan berdiri sama gah dengan produk-produk luar negara.
Tambahan lagi, usaha berterusan kerajaan untuk menjayakan kempen membeli barangan buatan Malaysia akan gagal sama sekali jika produk-produk tempatan tidak dapat dipasarkan secara terus ke tangan pembeli di hypermarket.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment