Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Saturday, December 11, 2010
Gadis Pahang
Minat pelancongan luaskan pengetahuan Norhaidayah
KUANTAN 10 Dis. - Minat dan cinta mendalam terhadap keindahan alam semula jadi membuatkan Norhaidayah Ismail (gambar), 26, memilih melanjutkan pelajaran dalam bidang pelancongan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Norhaidayah berkata, selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia melanjutkan pengajian di kolej matrikulasi dengan mengambil bidang perakaunan.
"Semasa di kolej itu, saya dapati diri ini tidak sesuai mengambil program itu kerana tidak menepati minat saya," katanya di sini baru-baru ini.
Norhaidayah yang dipilih untuk mengisi ruangan Gadis Pahang minggu ini merupakan seorang Pegawai Pelancongan di Syarikat Pelancongan Selangor dan Putrajaya serta berkhidmat lebih dua tahun di situ.
Katanya, berikutan minatnya dalam bidang pelancongan, beliau kemudian menukar program tersebut dengan mengikuti pengajian pelancongan peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Anak kelahiran Jengka itu gembira kerana dapat mengikuti pengajian berdasarkan minat yang telah berada dalam dirinya sejak dulu lagi.
"Saya gembira kerana pilihan untuk mengikut pengajian itu kena pada minat diri ini dan alhamdulillah saya telah pun bekerja dalam bidang yang sama," katanya.
Mengenai tugasnya sebagai pegawai pelancongan, Norhaidayah memberitahu, dia menjalankan promosi menyeluruh kepada para pelanggan tentang destinasi menarik di Malaysia.
"Tempat-tempat tersebut telah sedia ada dan saya berperanan memperkenalkan lokasi pelancongan tersebut kepada pelancong," katanya.
Menurutnya, tugas yang dipikulnya mencabar dan perlu berdepan dengan ramai pelancong khususnya dari luar negara.
"Semua pelancong bergantung pada segala maklumat yang saya berikan, jika saya tersilap memberi maklumat jadi pelancong tersebut turut silap.
"Untuk memastikan perkara seperti itu tidak berlaku saya sentiasa meningkatkan pengetahuan tentang produk yang ditawarkan dan mendapatkan maklumat baru dari rakan-rakan dan Internet," jelasnya.
Norhaidayah menambah, tugasnya memerlukan dia mengikuti lawatan ke destinasi pelancongan supaya mendapat maklumat berkaitan lokasi tersebut untuk ditawarkan dan dicadangkan kepada pelancong.
"Setakat ini negeri-negeri di Semenanjung telah saya kunjungi kecuali Kelantan dan Sabah dan Sarawak," katanya.
Norhaidayah juga bercita-cita untuk membuka agensi pelancongan sendiri pada masa hadapan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment