Thursday, December 23, 2010

Tembikai bunga


Tembikai Bungai jadi pilihan ramai

Oleh RANIA PARAN
utusansarawak@utusan.com.my

Seorang penanam dan penjual tembikai, Inun Samat sedang menyimpan tembikai yang dituai dalam bakul untuk dijual ke pasaran luar termasuk Bintulu dan Sibu.

MIRI 22 Dis. - Kampung Bungai dekat Bekenu bukan sahaja mempunyai pantai yang mendamaikan pengunjung malah ia juga mempunyai tarikan lain yang menjadi pendapatan utama penduduk di situ.

Kampung yang dihuni kaum Kedayan kira-kira 70 kilometer dari Miri sebenarnya amat dikenali kerana tanaman tembikai yang mempunyai pelbagai jenis dan rasanya yang manis sehingga mendapat perhatian ramai.

Malah, ada yang sanggup datang dari jauh seperti Sibu semata-mata untuk mendapat serta merasai tembikai berkenaan walaupun ia diusahakan secara kecil-kecilan.

Utusan Malaysia mendapati, buah tembikai yang ditanam di kampung berkenaan bukan sahaja dijual untuk pasaran tempatan tetapi juga ke bandar lain seperti Miri, pasar Bekenu dan Batu Niah.

Bahkan, tembikai Bungai telah mendapat sambutan luar biasa daripada pembeli terutamanya di Brunei, Bintulu, Sibu dan Kuching.

Setiap hari, Tamu Bungai yang menyediakan tempat menjual hasil tanaman khususnya tembikai, sentiasa mendapat kunjungan daripada pelawat yang mahu merasai kemanisan tembikai.

Selain Kampung Bungai, tembikai turut ditanam di Kuala Sibuti dan Peliau, namun tembikai Bungai tetap menjadi pilihan.

Seorang penanam tembikai, Suasa Bungsu, 56, berkata, terdapat tiga jenis tembikai yang ditanam di Kampung Bungai iaitu jambu, ampaga dan hitam manis.

Suasa yang mengusahakan kebun tembikai sejak berpuluh tahun lalu berkata, daripada tiga jenis tersebut, tembikai hitam manis mendapat sambutan paling menggalakkan.

''Rasanya yang manis menyebabkan tembikai Bungai sentiasa dicari.

''Malah pembeli sanggup datang dari jauh termasuk dari Sibu ke sini semata-mata untuk membeli tembikai," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kebun tembikai miliknya, di sini baru-baru ini.

Selain Suasa, kira-kira 20 penduduk kampung di Bungai turut mengusahakan tanaman tembikai yang ditanam di sepanjang pantai Bungai.

Faktor tanah yang berhampiran dengan laut didapati amat sesuai untuk tanaman tembikai.

Malah ia merupakan salah satu faktor yang menyebabkan penduduk di situ berminat memulakan kebun buah tersebut yang harganya mencecah sehingga RM17 sekilogram di pasaran tempatan.

Dalam pada itu, Suasa memberitahu, setiap empat bulan penduduk berkenaan akan mendapat pulangan hasil daripada tanaman tembikai.

Menurut Suasa, setiap kali musim menuai dia mampu meraih keuntungan lebih RM1,000.

Namun katanya, keuntungan pula bergantung pada keadaan cuaca kerana sekiranya musim hujan maka hasil keluaran tembikai tidak memuaskan.

''Malah saya pernah mendapat RM15 sahaja kerana kebun dilanda banjir dan hujan berterusan.

''Namun, tanaman ini ternyata berjaya meningkatkan pendapatan bulanan penduduk kampung di sini," katanya yang menyara 12 orang anak melalui tanaman tembikai itu.

Dalam pada itu, seorang lagi penanam tembikai, Marat Salleh, 60, berkata, walaupun tembikai Bungai mendapat sambutan, penduduk kampung hanya mengusahakan tanaman itu secara kecil-kecilan.

Ujarnya, penanaman tembikai memerlukan kos yang banyak kerana mereka perlu membeli baja, benih dan racun sendiri.

Walaupun Jabatan Pertanian memberikan bantuan baja tahi ayam, namun katanya, ia tidak sesuai digunakan kerana baja itu hanya berfungsi mengurangkan kadar asid tanah, bukan untuk menggalakkan pertumbuhan tembikai.

Menurut Marat, dia membeli baja sendiri dengan harga RM140 seguni dan benih tembikai dari pekan Bekenu dengan harga RM55 untuk 20 gram yang dapat mengeluarkan 150 pokok tanaman.

''Jika cuaca panas dan baja mencukupi, setiap pokok ini mampu mengeluarkan lima biji buah tembikai," katanya sambil menambah musim kemarau merupakan musim yang paling sesuai untuk menanam tembikai.

Dia yang menjual tembikai secara borong ke bandar Miri, Bintulu dan Sibu bersyukur kerana hasil jualan itu dapat menampung keperluan harian.

Marat berkata, tanaman tembikai sekiranya dikomersialkan sebenarnya mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada mereka yang mengusahakannya.

''Namun dengan kekurangan modal untuk membeli benih dan baja selain kekurangan tenaga kerja, memadailah ia diusahakan kecil-kecilan bagi mencari pendapatan sampingan.

''Bukan tidak pernah meminta bantuan benih daripada kerajaan, namun setakat ini belum menerima," katanya yang meraih keuntungan antara RM2,000 hingga RM4,000 setiap musim.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment