Wednesday, December 8, 2010

Nur Ayuni


Nur Ayuni dapat kepercayaan jadi pengarah program Global Outreach



JOHOR BAHRU 7 Dis. - Mendapat kepercayaan menjadi pengarah program pertukaran budaya dan ilmu untuk program Global Outreach United Kingdom (UK) merupakan satu penghormatan dan pengalaman berharga bagi Nur Ayuni Shamsul Bahri, 25.

Sepanjang berada selama sembilan hari di UK bermula 13 Februari lalu, pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu turut ditemani oleh 16 rakan dari beberapa fakulti lain.

Katanya, peserta yang terpilih adalah penghuni Kolej 9 dan terdiri daripada mahasiswa Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan, Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM.

"Asalnya saya nak pergi ke Singapura sahaja untuk program Global Outreach tapi tidak ada rezeki. Seorang pembantu felo mencadangkan supaya saya pergi ke UK. Apabila mendapat kelulusan, saya dilantik menjadi pengarah program," katanya ketika ditemui di Kolej 9 UTM, baru-baru ini.

Menurut Nur Ayuni, untuk melaksanakan program berkenaan bukanlah mudah kerana setiap peserta yang dipilih menerusi temuduga perlu berusaha mengumpul dana untuk perbelanjaan sepanjang berada di sana.

Katanya, sebelum berjaya mengumpul kos, peserta program berkenaan pernah bekerja di kedai makanan segera selain memohon penajaan daripada beberapa syarikat dan orang perseorangan.

"Melalui program ini barulah saya tahu bagaimana caranya untuk berurusan dengan pihak lain untuk memohon penajaan. Pengalaman itu dapat saya gunakan untuk membantu orang lain kelak," ceritanya.

Kata Nur Ayuni, dia dan rakan-rakan berterima kasih banyak pada pihak Hospital Penawar kerana sudi memberi kerjasama membantu merealisasikan impian mereka.

Bercerita mengenai perjalanan di sana, katanya, mereka dibantu oleh seorang kenalan yang pernah belajar di sana dan dengan kos yang terhad mereka berjaya mengharungi segala dugaan.

"Di sana kami di berpeluang melawat kolej dan fakulti kejuruteraan di Universiti Cambridge dan Imperial College serta mengadakan lawatan industri ke syarikat elektronik dan institusi penyelidikan di Cambridge Science Park," katanya.

Berdasarkan pengalaman tersebut, Nur Ayuni berazam untuk menjadikan kegiatan sebegitu sebagai acara tahunan.

No comments:

Post a Comment