Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Saturday, December 18, 2010
Jerami
Jerami padi 'jadi duit'
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my
NOOR Azlinda Md. Noor menunjukkan produk keluaran syarikatnya yang dihasilkan daripada jerami padi dan batang pisang di pameran Satu Daerah Satu Industri, Ayer Keroh, baru-baru ini.
MELAKA 17 Dis. - Jerami padi sering dibuang atau dibakar setiap kali musim menuai padi berakhir dan ketika itu, petani bersiap-siap untuk menanam padi bagi musim berikutnya.
Sebenarnya, jerami padi boleh 'dijadikan duit' atau mampu memberikan pendapatan tambahan lumayan daripada hasil kraftangan pelbagai bentuk hiasan seperti kertas, kotak, beg kertas, bingkai gambar, pembalut hadiah dan sebagainya.
Seorang usahawan yang juga anak seorang petani, Noor Azlinda Md. Noor, 32, dari Kepala Batas, Alor Setar, Kedah berjaya menjadikan jerami padi sebagai barangan kraftangan untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Beliau menjadikan jerami padi sebagai hasil seni yang menarik dan mampu menjana pendapatan tambahan.
Noor Azlinda yang mendapat sokongan suami, Mukhtar Matsyah, 43, telah memberanikan diri untuk menjadi usahawan dengan meneroka bidang kraftangan menggunakan jerami padi melalui penubuhan sebuah syarikat D' Cinda Enterprise pada Disember 2009.
Usahawan muda itu berjaya membuktikan jerami padi dapat menghasilkan kertas bagi dijadikan hiasan dan pelbagai produk kraftangan untuk hiasan dalaman rumah seperti bingkai gambar dan kotak hadiah.
Tidak cukup dengan itu, Noor Azlinda yang tidak pernah kenal erti putus asa dalam hidupnya, meneruskan usaha dengan menggunakan batang pisang dan daun pandan.
Beliau beroperasi sepenuhnya di Lot Inkubator Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Alor Setar, Kedah.
Produk jenama D' Cinda kini telah berada di pasaran hampir 10 bulan dan 30,000 unit kraftangan telah dijual.
Apa yang membanggakan, produk hasil jerami padi dan tumbuh-tumbuhan itu mendapat tempat di hati pembeli luar di mana hampir setiap bulan, syarikatnya akan mengeksport beberapa produk mengikut pilihan pelanggan.
Antara negara yang kini menjalankan urus niaga dengan syarikat tempatan ini ialah Jepun, Singapura dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Sebelum itu, Noor Azlinda berdepan dengan cabaran dalam proses awal menimba kemahiran.
Beliau mengalami kerugian apabila ramai yang kurang yakin dengan produknya yang 100 peratus menggunakan bahan organik. Namun, masalah itu tidak mematahkan harapannya.
"Walaupun usia dalam perniagaan ini masih setahun jagung, bagi saya usaha yang dilakukan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan jerami padi dan tumbuh-tumbuhan berjaya.
"Ramai pelanggan saya sukakan produk yang dihasilkan oleh syarikat ini dan apa yang penting usaha menyelamatkan bumi mungkin dapat dilakukan jika ramai yang peka mengenai bumi kita sekarang," katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia semasa menyertai Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) dekat sini baru-baru ini yang merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan keluarannya kepada masyarakat negara ini.
Katanya, Kedah yang terkenal sebagai negeri Jelapang Padi memudahkannya mendapatkan jerami padi untuk diproses sebelum dijadikan kertas.
Katanya, proses menghasilkan kertas menggunakan jerami memerlukan sedikit kesabaran kerana ia perlu dilakukan secara berperingkat.
"Peringkat pertama, jerami yang dipilih akan dibersihkan terlebih dulu daripada sebarang kekotoran.
"Kemudian ia akan dipotong mengikut kesesuaian saiz yang kemudiannya direbus dengan menggunakan soda cautic bagi melembutkannya," katanya.
Ujarnya, setelah itu, jerami dituangkan ke dalam tangki berair dan ditangguk menggunakan saring atau acuan.
Selepas itu, katanya, jerami padi yang telah lembut dan basah dimampatkan menggunakan alat penekan sebelum ia dikeringkan.
"Setelah proses pengeringan sempurna, barulah barang-barang hiasan seperti lampu tidur, kotak hiasan dan sebagainya boleh dihasilkan," katanya.
Noor Azlinda berkata, produk kraftangannya mendapat sambutan menggalakkan dari dalam dan luar negara seperti Jepun yang seringkali mendapatkan beg kertas dan sampul surat keluarannya.
"Kami percaya melalui cara ini ia akan mampu membantu golongan suri rumah mahupun ibu tunggal untuk menambah pendapatan sampingan mereka.
"Kami cuba memperkenalkan kepada masyarakat di negeri ini mengenai produk ini memandangkan mereka sedang bergerak ke arah pembangunan teknologi hijau," katanya.
Bagi yang berminat, boleh menghubungi D' Cinda Enterprise di talian 04-7144132.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment