Tuesday, December 14, 2010

Jual Cendol


Perniagaan cendol 'bawa' anak ke menara gading

RAHMATULLAH Khadirmerah berniaga cendol di hadapan pasar raya Nirwana Batu Tiga, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 13 Dis. - Hasil daripada jualan cendol, seorang peniaga mampu berbangga apabila melihat keempat-keempat anaknya berjaya dalam pelajaran dan kerjaya masing-masing.

Rahmatullah Khadirmerah, 55, mula berniaga secara kecil-kecilan setelah tamat tingkatan lima dengan menggunakan motosikal beroda tiga.

''Modal yang diperlukan untuk memulakan perniagaan yang menggunakan motosikal roda tiga dan semua peralatan lain ketika itu adalah RM5,000.

''Berniaga di hadapan pasar raya Nirwana Batu Tiga ini menjadi rutin harian bermula pukul 10.30 pagi sehingga 5.30 petang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rahmatullah memberitahu, pada awalnya dia mengalami kesukaran untuk mendapatkan pelanggan apabila dan hanya enam mangkuk cendol dapat dijual dalam sehari.

"Sekarang saya telah mempunyai pelanggan tetap yang datang membeli setiap hari dan juga mendapat tempahan untuk menyediakan cendol untuk majlis tertentu seperti perkahwinan dan hari raya.

"Saya mempunyai resipi sendiri untuk membuat cendol dan kerana rasa cendol saya berlainan daripada cendol yang lain, seorang pengusaha kopitiam di Kemaman tertarik dan bertindak menjadi pembeli cendol tetap dalam kuantiti yang banyak," jelasnya.

Beberapa orang kenamaan di negeri ini juga merupakan antara pelanggan tetapnya termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan.

Bagaimanapun, menurut Rahmatullah, bulan ini yang merupakan musim tengkujuh memberi sedikit kerugian baginya kerana dia tidak boleh menunggang motosikal dalam keadaan tersebut.

"Adalah menjadi suatu kesalahan membuka payung ketika menunggang motosikal dan saya terpaksa menutup perniagaan jika hujan," jelasnya.

Rahmatullah menambah, walaupun kesemua anaknya telah dewasa dan berkerjaya, dia tidak boleh hanya terperap di rumah kerana aktiviti berniaga telah sebati dalam dirinya.

"Daripada perniagaan inilah saya dapat mengumpul wang untuk berkahwin dan membesarkan anak.

"Saya mempunyai seorang lagi anak yang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi untuk dibiayai dan apabila dia bekerja nanti, kemungkinan besar saya akan bersara daripada perniagaan cendol ini," katanya.

Rahmatullah menjual empat jenis cendol iaitu cendol biasa, cendol campur, cendol pulut dan cendol istimewa selain air batu campur.

No comments:

Post a Comment