Nur Aliya, Nur Ilya kembar cemerlang
KOTA BHARU 24 Dis. - Persaingan sihat dalam pelajaran menjadi resipi kejayaan pasangan kembar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra dekat sini apabila mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan kelmarin.
Pasangan kembar berkenaan Nur Aliya Zaida Mohd. Hassany, 15, dan adiknya, Nur Ilya Zaida, 15, masing-masing memperoleh 9A dan 8A dalam peperiksaan tersebut.
Nur Aliya berkata, persaingan sengit antara mereka berdua menjadi pendorong kepadanya dan adiknya untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek terutama akademik.
"Ketika kami mengulang kaji pelajaran di rumah, sebagai contoh saya yang mahir dalam Bahasa Inggeris manakala adik mahir Matematik. Jadi kami berdua akan sama-sama memberikan tunjuk ajar.
"Selain itu, saya dan adik selalu berbincang dan bertukar pendapat untuk memastikan kami memperoleh keputusan cemerlang dalam PMR. Alhamdulillah berkat kerja keras akhirnya kami berjaya jua akhirnya," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini semalam.
Tambah Nur Aliya, keputusan itu bukan kejayaan peribadinya sahaja kerana ia turut dikongsi dengan adik beradik lain sebagai motivasi untuk mereka berjaya.
Mengulas rancangan masa depan mereka, pasangan kembar itu berhasrat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah berasrama penuh.
Sementara itu, ibu kepada pasangan kembar ini, Norzaida Abdul Rahim, 43, berkata, dia sama sekali tidak menjangka kedua-dua anaknya itu akan berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.
"Sebelum ini, dalam peperiksaan percubaan mereka mendapat 4A dan 3A sahaja. Sasaran mereka untuk peperiksaan sebenar hanya 7A dan 6A. Namun selepas peperiksaan percubaan, saya lihat mereka berdua menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pelajaran dan akhirnya mendapat keputusan cemerlang.
"Bagi saya kejayaan mereka adalah satu anugerah yang tidak ternilai. Saya harap mereka berdua dapat meneruskan kejayaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti," ujarnya.
No comments:
Post a Comment