Friday, December 9, 2011

teksi wanita

Pemandu teksi wanita berkebolehan


PEMANDU Teksi Wanita pertama, Zaharah Abdul Rahman pada perasmian Teksi Wanita sempena Hari antarabangsa Menangani Keganasan terhadap Wanita di Terminal Bersepadu Selatan, bandar Tasik Selatan, baru-baru ini.


WANITA berusia 38 tahun ini telah melakukan pelbagai kerja demi untuk memperbaik taraf hidupnya di kota besar seperti Kuala Lumpur.
Walaupun tidak pernah merancang untuk menceburkan diri dalam kerjaya itu, namun sejak 10 tahun lalu itulah pekerjaan yang melekat di hatinya.
Tidak sukar untuk Faridah Idris anak kelahiran Melaka itu melayakkan dirinya sebagai pemandu teksi memandangkan dia memang berkebolehan memandu kereta.
Lebih menyeronokkan apabila niatnya untuk menjadi pemandu teksi di kota Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk tidak pernah dilarang oleh ahli keluarga. Sebaliknya mereka memberikan galakan.
''Keluarga saya semuanya menjalankan perniagaan sendiri. Saya juga ibaratkan memandu teksi sebagai satu bidang perniagaan,'' katanya.
Semenjak itu, Faridah nekad untuk memilih bekerja sebagai pemandu teksi di Destination Transport (M) Sdn. Bhd.
Dirinya lebih berbangga kerana menjadi antara 50 pemandu teksi yang terlibat dalam projek rintis Teksi Wanita yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 26 November lalu.
''Saya tidak pernah merancang kerjaya ini. Saya akui dengan bidang yang jarang diceburi oleh wanita ini memberikan pendapatan yang baik untuk diri saya,'' katanya.
Selain bekerja keras selepas waktu Subuh sehingga menjelangnya tengah malam, akuinya dia lebih suka bekerja daripada bercuti.
Malah wanita itu juga tidak pernah rasa tertekan jika saban hari terpaksa berhadapan dengan laluan baru kerana menganggap ia sebagai cabaran.
''Pengalaman melalui laluan baru saya suka kerana secara tidak langsung ini akan menambahkan pengalaman saya untuk mahir dengan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur,'' katanya.
Cerita Faridah, sepanjang 10 tahun menjadi pemandu teksi dia tidak pernah berdepan dengan cabaran yang menakutkan.
Bagaimanapun jelas wanita itu, dia mempunyai ilmu mempertahankan diri kerana baginya itu penting kerana malang itu tidak berbau.
''Apa yang penting adalah niat kita untuk mencari rezeki. Alhamdulillah setakat ini saya bukan sahaja tidak bertemu dengan penumpang yang berniat jahat, malah tidak pernah kemalangan,'' katanya.
Jelas Faridah, sebagai pemandu teksi diaperlu mengetahui selok-belok dalam menjaga kenderaan.
Katanya, pengalaman menukar sendiri tayar merupakan cabaran yang pernah ditempuh ketika di awal pembabitan sebagai pemandu teksi.
Faridah memberitahu, seorang pemandu teksi bukan sahaja perlu pandai berkomunikasi, malah perlu rajin menimba pengetahuan untuk dikongsi dengan penumpang.
Bagi Faridah, dia bukan sahaja seorang pemandu teksi malah juga perlu bertanggungjawab untuk mempromosi tempat-tempat menarik di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, dia bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris malah turut menguasai beberapa perkataan mudah dalam bahasa Jepun, Arab dan Mandarin.
Bagi seorang lagi pemandu teksi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 53, menjadi pemandu teksi menyeronokkan berbanding kerjayanya sebagai pembantu di sebuah tadika sebelum itu.
Dia telah menjadi pemandu teksi dengan Destination Transport (M) Sdn. Bhd. sejak dua tahun lalu.
''Saya juga antara pemandu wanita yang terlibat dalam projek rintis kerajaan iaitu Teksi Wanita,'' katanya.
Bagi Yati, sepatutnya kaum wanita yang selama ini risau untuk menyewa teksi yang dipandu lelaki di waktu malam dan sebagainya boleh menggunakan perkhidmatan ini.
Katanya, Teksi Wanita menjadikan penumpang wanita lebih selesa untuk ke destinasi dituju.
Beliau berharap, projek yang dilaksanakan baru-baru ini itu akan mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan kaum wanita.

No comments:

Post a Comment