Monday, December 26, 2011

gotong royong buat asyura

Penduduk gotong-royong masak bubur asyura


Sebahagian daripada peneroka yang menyertai program masak bubur asyura sempena sambutan Maal Hijrah di Felda Kemahang Dua, Tanah Merah, semalam.


TANAH MERAH 25 Dis. - Memasak sebanyak 37 kawah bubur asyura dengan peruntukan hampir RM15,000 hasil kerjasama penduduk kampung merupakan contoh terbaik dalam menerapkan semangat gotong-royong dan perpaduan di kalangan masyarakat Felda di negara ini.
Merealisasikan hasrat tersebut di samping mendekatkan hubungan antara jiran, penduduk di Felda Kemahang 2 di sini mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah dengan memasak bubur berkenaan baru-baru ini, menggunakan peruntukan peserta di kawasan tersebut .
Timbalan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad berkata, penglibatan lebih 400 ahli keluarga daripada 16 blok Felda terbabit antara contoh terbaik dalam membantu menerapkan nilai-nilai murni iaitu mewujudkan persefahaman dan sekali gus meraikan 37 tahun Felda Kemahang 2 mula diteroka.
‘‘Apa yang menarik, kerja-kerja penyediaan bahan mentah dam basah, memasak dan mengacau bubur disertai bukan sahaja oleh golongan lelaki tetapi semua peringkat usia termasuk kanak-kanak dan wanita dewasa. Ini adalah lambang semangat gotong-royong yang menjadi amalan dalam masyarakat Melayu sejak lama dahulu.
‘‘Aktiviti seumpama ini mampu mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin di kalangan masyarakat di sini kerana generasi muda dapat berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan golongan lebih berusia iaitu di kalangan peneroka terawal di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengurus Besar Wilayah Gua Musang, Nor Zuki Mustafa, Pengurus Felda Kemahang 2, Zainal Ismail dan Setiausaha UMNO Bahagian Tanah Merah, Ahmad Ismail.
Faizoull menambah, usaha yang dilakukan oleh masyarakat Felda di kawasan terbabit wajar dicontohi kerana akhir-akhir ini semangat bergotong-royong semakin terhakis di kalangan jiran tetangga.
‘‘Memasak bubur asyura secara kerjasama dan bergilir-gilir mampu menerapkan kembali semangat saling memerlukan antara satu sama lain dan diharap budaya ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment