Roti dhool jadi hidangan sarapan popular
ALOR SETAR 25 Dis. - Bagi mereka yang baru pertama kali berkunjung ke Restoran Sham di Gunung Keriang di sini, pasti tertanya-tanya bagaimana bentuk roti dhool yang menjadi hidangan sarapan popular di situ.
Sarapan istimewa berupa roti canai yang diletakkan telur separuh masak di atasnya serta disaluti kuah dhal bercampur sambal ikan bilis itu cukup mengenyangkan dan dijual pada harga RM2.
Roti dhool tersebut dibuat sendiri oleh pemilik restoran itu, Shamsudin Bukhary, 39, yang mendapat idea membuat roti itu setelah mendapat tempahan pelanggan yang inginkan roti canai diletakkan telur separuh masak di atasnya.
"Ramai orang menjual roti canai, namun saya mahukan kelainan dalam roti canai yang saya buat.
"Nama roti dhool diberi oleh pelanggan dan lama-kelamaan nama roti ini terus digunakan pelanggan apabila mereka mahukan roti canai yang diletakkan telur separuh masak," ujarnya ketika ditemui di Restoran Sham di sini hari ini.
Menurutnya, setiap hari hanya 400 keping roti boleh dimasak kerana dia mahu memastikan kualiti dan rasa roti dhool yang dihidangkan.
"Saya yang masak sendiri roti ini kerana pelanggan tidak mahu orang lain yang buat kerana rasa dan kualiti roti tidak sama jika dimasak oleh orang lain,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment