Saturday, December 17, 2011

kuih tradisi

Hamisah usahakan kuih tradisional
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 17, 2011
Hamisah usahakan kuih tradisional
GENERASI muda kini lebih ramai mengambil jalan mudah dengan membeli pelbagai jenis makanan siap di pasaran, daripada mencuba sendiri resipi masakan turun-temurun termasuk mempelajari cara penyediaan kuih muih tradisional.

Pelbagai alasan biasa akan diberikan seperti kekangan masa, tidak pandai memasak atau malas mencuba di samping pelbagai pilihan juadah sudah ada dijual di depan mata, maka mereka memikirkan membeli lebih mudah daripada menyediakan.

Sekiranya perkara ini dibiarkan, tidak mustahil generasi akan datang mungkin lupa atau tidak tahu langsung cara penyediaan makanan tradisional golongan terdahulu atau juadah popular zaman nenek moyang kita.

Namun, hasrat tinggi seorang suri rumah di sini untuk mewarisi pembuatan tradisional agar tidak luput ditelan zaman tetap terlaksana, walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman atau mempunyai keturunan yang mahir dalam pembuatannya.

Pengusaha pembuatan Kuih Bunga Ros, Hamisah Darus, 43, bukan sahaja menyambung kepakaran generasi terdahulu, malah usaha yang dilakukan untuk menambah pendapatan keluarga itu ternyata memberi pulangan.

Hanya dengan minat mendalam dalam bidang masakan selain berpandukan buku resipi dibeli, dia yang mengusahakan pembuatan Kuih Bunga Ros secara kecil-kecilan berjaya menarik minat masyarakat untuk terus menikmati kuih tradisional itu.

Hamisah yang sudah enam tahun berkecimpung dalam pembuatan kuih berkenaan tidak menafikan menghadapi saat sukar ketika mula-mula ingin mencuba.

“Percubaan kali pertama sememangnya tidak menjadi, malah saya terpaksa mengulangi berkali-kali bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Saya juga cuba mencipta kelainan apabila cuba menyediakan Kuih Bunga Ros lebih comel daripada biasa selain mempunyai dua jenis rasa iaitu manis dan pedas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, di sini.

Mahu Kuih Bunga Ros terus dikenali

Hamisah berkata, tujuannya memilih dan mengetengahkan Kuih Bunga Ros adalah untuk dikongsi bersama generasi muda agar ia terus dikenali dan tidak hanya bergantung kepada kepakaran orang lama sahaja.

“Setakat ini kuih ini mendapat sambutan cukup baik walaupun pelanggan saya hanya terdiri daripada jiran tetangga, saudara mara dan orang terdekat. Paling laris apabila tiba hari perayaan atau musim kenduri.

“Namun permintaan terhadap kuih ini tidak pernah putus termasuk pada hari biasa. Hal ini disebabkan ada juga rakan-rakan yang membuat tempahan untuk ia dijadikan snek atau buah tangan,” katanya.

Menurutnya, dia pernah menerima tempahan sehingga 100 kilogram dalam masa dua minggu pada Hari Raya Puasa.

Kuih tradisional tidak boleh disimpan lama

Menurut Hamisah, Kuih Bunga Ros atau juga dikenali Kuih Loyang, Kuih Goyang atau Kuih Sarang Tebuan tidak boleh disimpan lama.

Katanya, oleh demikian, dia hanya akan menyediakan kuih berkenaan setiap kali menerima tempahan bagi mengekalkan keenakan dan keaslian rasanya.

Hamisah juga tidak keberatan menjual kuih berkenaan dari rumah ke rumah menggunakan motosikal bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Sokongan keluarga tidak berbelah bahagi

Hamisah berkata, suaminya, Sudin Jaafar, 41, serta duanya anak Mohd Firdaus, 14, dan Nur Anis Syafikah, 9, juga tidak jemu memberi sokongan selain membantu sepanjang penyediaan kuih tersebut.

Menurutnya, sekiranya diberi peluang, dia mahu menjadikan perusahaan Kuih Bunga Ros sebagai salah satu sumber pendapatan tetap dan boleh mengembangkan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakannya.

Selain Kuih Bunga Ros, Hamisah turut menyediakan kerepek pisang, muruku dan kuih peneram sebagai menyambung warisan terdahulu.

Dia turut berharap agar seni kepakaran dan kemahiran yang patut dipelajari, harus diberi penekanan agar ia tidak luput ditelan zaman.

No comments:

Post a Comment