Thursday, December 15, 2011

pergi london naik modenas je..

Jelajah dunia dengan kapcai usang


Kapcai milik Edwin March mampu mengharungi pengembaraan dalam keadaan suhu sejuk serendah 22 darjah selsius di bawah paras beku.


JIKA anda memiliki motosikal berkuasa tinggi dari jenama seperti Harley Davidson ataupun Ducati Diavel, sejauh manakah anda sanggup menunggangnya?
Paling jauh pun, mungkin kebanyakan pemilik motosikal mewah tersebut hanya berkonvoi ke Phuket, Thailand, memandangkan kos mengembara bersama jentera tersebut agak tinggi.
Sebab itu agak jarang kita dengar mereka menggunakan jentera kesayangan itu untuk menjelajah dunia.
Selain itu, misi menjelajah dunia lebih bergantung kepada kemahuan dan semangat diri bukan semata-mata jenis jentera yang digunakan.
Sebab itu pepatah mengatakan di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Justeru, ada yang sanggup menjelajah dunia dengan hanya berjalan kaki atau berbasikal saja.
Bagi para pemilik motosikal berkuasa tinggi yang lebih kerap menjadi perhiasan di garaj rumah pasti terkedu ataupun 'panas' bila mengetahui ada yang berjaya merentasi puluhan negara hanya menggunakan motosikal berkuasa rendah atau jenis cub saja.
Ini yang dibuktikan oleh dua sahabat Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien, 40, dan Edwin March, 24.
Keakraban persahabatan dua lelaki itu ibarat ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu jua.
Hobi menunggang motosikal dikongsi mereka sekali gus merapatkan persahabatan yang unik.
Perkenalan mereka bermula Facebook. Dari situ mereka berkongsi idea gila untuk merealisasikan impian mengelilingi dunia merentasi timur hingga ke barat.
Istimewanya mereka mengembara dengan hanya menunggang motosikal kapcai.
Sekali pandang motosikal yang mereka gunakan itu sama seperti yang digunakan oleh orang kampung untuk membawa getah sekerap atau padi.
Penuhi impian keliling dunia
Syed Ahmad Abdul Hadi atau mesra dengan panggilan Hadi telah membuktikan keupayaan kapcai Modenas GT 128cc apabila berjaya merentasi perjalanan 24,000 kilometer dan menakluki 24 buah negara, dari Kuala Lumpur ke kota London.
Kejayaan tersebut kini bakal dicabar Edwin yang lebih mesra dipanggil Ed dengan hanya menggunakan Honda Cub C90.
Melihat keadaan fizikal motosikal yang dibelinya empat tahun lalu dengan harga RM250 pasti tiada siapapun akan percaya ia akan digunakan dari Kuala Lumpur ke London.
Motosikal itu kelihatan cukup usang. Tempat duduknya sudah bertampal. Beberapa bahagian lain pula sudah kelihatan dimakan karat.
Tetapi ia tidak menghalang untuk Ed mencabar perjalanan Hadi bagi mengharungi perjalanan lebih jauh sehingga 30,000 kilometer dalam masa tujuh bulan.
Jika ada yang cuba merendah-rendahkan kemampuan motosikal 'cabuk' tersebut yang berenjin empat lejang, tafsiran silap.
Honda Cub C90 itu pernah merentasi perjalanan selama 29 jam tanpa henti dari Perancis ke Jerman.
Malah kapcai itu juga mampu mengharungi situasi paling ekstrem ketika mengembara dalam keadaan suhu sejuk serendah 22 darjah selsius di bawah paras beku.

No comments:

Post a Comment