Antara rupa dan suara
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
SAYA bukan 'low profile' tapi 'no profile','' jawab Toh Puan Mahani Idris Daim ditanya dia jarang muncul di dada akhbar biar pun ketika bergelar isteri Menteri Kewangan.
Sepanjang pertemuan santai yang berlangsung di Yayasan Seni Berdaftar di Persiaran Ritchie, Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu, Mahani membuktikan bahawa dia sememangnya merendah diri.
Pertemuan yang turut disertai pelukis terkenal Raja Azhar Idris sarat dengan imbasan masa silam serta kerjasama yang terjalin antara dua sahabat itu sejak 20 tahun lalu.
Kedua-duanya turut menyentuh tentang masa depan pelukis dan bidang seni di negara ini terutama bakat-bakat muda yang satu ketika dulu sukar mencari tapak untuk mengasah bakat.
Bagi Mahani, kecintaan serta kegilaan terhadap seni terutama lukisan bermula dengan minat yang kemudiannya bercambah kepada niat mahu membantu pelukis muda mengembangkan bakat mereka.
Berulang kali memberitahu, dia mahu menjadi dirinya yang sebenar, tidak terikut dengan rentak orang lain malah adakalanya tidak peduli. Tuturnya yang lembut dan perlahan, hakikatnya berbeza dengan ketegasannya setiap kali memperkatakan tentang usaha mengangkat martabat pelukis tempatan.
Hidupnya tertumpu kepada apa yang ingin dilakukan. Salah satu daripadanya tentulah mengumpul lukisan dan melukis. Namun, bagi Mahani, lukisannya bukan untuk ditunjukkan kepada orang, mungkin tidak selagi dia masih bernyawa.
Berkongsi minat yang sama dengan suaminya, Tun Daim Zainuddin, pasangan itu mula mengumpul lukisan sejak zaman lukisan menggunakan warna air lagi. Ternyata bukan sekadar minat, justeru adakalanya membeli lukisan terutama dari pelukis tidak ternama lebih kepada memberi galakan dan dorongan kepada mereka untuk terus berkarya.
''Kami berusaha membantu pelukis tempatan tanpa sebarang kepentingan politik. Sebab itu tumpuan saya adalah membantu artis yang belum mendapat tempat dan baru melakar nama dalam bidang seni.
''Kebiasaannya tidak ramai yang mahu membantu kumpulan ini, kerana mereka tidak mendapat apa-apa daripada usaha tersebut berbanding berbuat sesuatu untuk artis atau pelukis yang sudah ternama,'' katanya.
Mahani memberitahu, kediamannya yang pertama bersama Daim diubah menjadi galeri yang kemudian dinamakan Yayasan Seni Berdaftar. Penubuhan yayasan itu hanya dengan satu matlamat iaitu mahu membantu menonjolkan bakat-bakat muda yang tidak mendapat tempat di galeri ternama gara-gara bayaran terlalu mahal yang dikenakan kepada mereka.
''Ada juga yang tidak dibayar selepas menyertai pameran, sedangkan pelukis-pelukis muda ini memerlukan duit untuk meneruskan minat mereka,'' katanya.
Sejak ditubuhkan, Yayasan Seni Berdaftar umpama tempat insan seni tidak ternama mengadu. Mahani menjadi tempat mereka mencari kekuatan dan berkongsi masalah.
''Apabila mereka mengadu tidak dibayar, saya akan 'kejar' penganjur, saya umpama gangster, kalau tak buat macam itu mereka akan buat tak tahu,'' katanya.
Mahu bebas daripada pengaruh atau kepentingan politik, Yayasan Seni Berdaftar yang ditubuhkan pada tahun 1983 umpama darah daging Mahani. Di situ dia memupuk bakat-bakat baru dan menyusun pelbagai program bagi memenuhi kalendar tahunan. Galeri di yayasan itu terbuka kepada orang ramai, manakala aktiviti yang dianjurkan pula tidak terhad kepada lukisan semata-mata.
Namakan apa saja berkaitan seni, Yayasan Seni Berdaftar mahu meneroka - bermula dengan persembahan seni, pertunjukan, galeri, kegiatan seni tradisional seperti mengukir tembikar, melukis batik malah persembahan muzik.
Ditanya akar minatnya itu, Mahani memberitahu, ia mungkin disebabkan darah Bali yang mengalir kuat dalam dirinya warisan daripada ibu yang pernah menjadi penari kebudayaan Bali.
Dia berkongsi keluhan tentang masyarakat tempatan yang tidak begitu mencintai seni malah kebiasaannya juga gagal menghargai bakat yang dikurniakan Tuhan.
''Dahulu jika seorang anak ditanya nak jadi apa bila besar kelak dan menjawab pelukis, pasti akan disergah, nak makan pasir?,'' katanya mengaitkan pandangan masyarakat betapa seni itu amat kurang harga serta nilainya.
Namun, katanya, dia bersyukur kerana pandangan seumpama itu semakin menipis, malah perkembangan bidang seni terutama lukisan semakin mendapat tempat. Yayasan Seni Berdaftar sendiri telah berjaya membantu ratusan bakat baru melakar nama, malah ada yang mula dikenali peringkat antarabangsa dengan lukisan dijual dengan harga puluhan ribu ringgit.
Biar pun begitu masih ada cabaran yang perlu ditempuh. Penganjuran acara-acara seni seperti drama atau konsert masih sukar menarik minat orang tempatan jauh sekali memujuk mereka membeli karya anak seni tempatan.
''Orang sanggup berbelanja RM40,000 untuk membeli beg tangan atau barang kemas tetapi tidak lukisan atau hasil seni,'' katanya.
Mahani mengimbau pengalaman mengunjungi galeri seni di negeri-negeri ketika mengikuti suaminya bertugas. Setiap kali Daim bermesyuarat, dia mengambil kesempatan meninjau karya seni penduduk tempatan. Dia pernah menyaksikan sendiri bagaimana lukisan yang berpotensi hanya disimpan di dalam stor.
''Saya mendapati banyak karya seni yang dibazirkan begitu saja sedangkan negara kita amat kaya dengan seni budaya tempatan yang sepatutnya menjadi kebanggaan,'' katanya.
Raja Azhar yang tekun mendengar celoteh Mahani mengakui keghairahan wanita itu dalam bidang seni tidak mampu ditafsirkan dengan kata-kata.
Mempunyai bakat melukis yang tidak dikomersialkan, bagi Raja Azhar, Mahani sarat dengan idea selain daya kreativiti yang jika diasah mampu menjadikan wanita itu pelukis hebat.
Menurut Mahani, dia mempunyai studio sendiri di rumah dan sehingga kini telah menghasilkan lebih 50 lukisan yang menampilkan 'stroke'nya tersendiri. Dia juga gemar membeli apa saja lukisan yang menarik minatnya biar pun ada kalanya dikatakan mengumpul 'sampah'.
''Saya tidak peduli dikatakan mengumpul sampah, bagi saya itu adalah sampah saya,'' katanya yang masih mengekalkan kejelitaan biar pun menjangkau usia 69 tahun.
pelukis
Saling mengagumi antara satu sama lain, Mahani mengkategorikan Raja Azhar sebagai pelukis hebat selain kepakarannya dalam kerja-kerja kaca yang akhirnya menghasilkan arca memukau. Malah, kesabaran Raja Azhar membimbing pelukis orang kurang upaya cukup untuk menzahirkan betapa pelukis itu tidak menjadikan seni hanya untuk mendapatkan pulangan berbentuk wang semata-mata.
Gandingan Mahani dan Raja Azhar bakal melahirkan pameran bertajuk Rupa dan Suara di mana para pengunjung bukan sahaja dihidangkan dengan lukisan malah ada penyajak bakal mendeklamasi karya-karya puitis.
''Kita menawarkan kelainan. Ada lukisan, begitu juga arca, selain itu para penyajak ternama seperti Lim Swee Tin, Suton Omar, Abdul Ghafar Ibrahim dan Datin Sabira akan berkongsi luahan rasa mereka,'' kata Raja Azhar.
Rupa dan Suara yang bermula pada 4 Disember lalu turut menampilkan pelukis hebat seperti Raja Shariman, Ramli Rahmat dan Ng Foo Cheong. Pameran berlangsung selama dua minggu di Yayasan Seni Berdafar, Persiaran Ritchie, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment