Tuesday, May 29, 2012

tanam pisang

ARKIB : 28/05/2012

Tanah terbiar ditanam pisang

Sebahagian daripada penduduk yang menyertai Bengkel Pelan Tindakan Desa, Satu Kampung Satu Produk di Kampung Lada, Jerantut baru-baru ini.
JERANTUT 27 Mei - Seramai 35 penduduk Kampung Lada, dekat sini mengikuti Bengkel Pelan Tindakan Desa, Satu Kampung Satu Produk yang diadakan baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lada, Mazlan Malik berkata, penyertaan dalam bengkel itu bagi membolehkan peserta meningkatkan kemahiran sebelum mengusahakan tanaman pisang sebagai satu sumber pendapatan kepada penduduk.
"Kami telah mengadakan bengkel selama sehari yang dikendalikan penceramah dari Institut Kemajuan Desa (Infra), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk kampung telah lama berhasrat memajukan tanah padang ragut seluas lapan hektar yang terbiar dengan tanaman pisang dan impian mereka bakal menjadi kenyataan.
"Pasaran pisang di Jerantut sendiri sangat baik dan sebab itu kami memilih mengusahakan tanaman pisang malah berhajat menjadikan perusahaan berasaskan pisang sebagai produk yang menjana ekonomi kepada penduduk setempat seperti kerepek pisang," ujarnya.
Beliau berkata, golongan wanita di kampung berkenaan telah mengusahakan kerepek pisang dan mendapat sambutan menggalakkan sehingga tidak dapat memenuhi permintaan pasaran.
Mazalan memberitahu, penduduk di sini sudah bersetuju memulakan projek tersebut melalui penubuhan koperasi bagi mengumpul modal pusingan.
Seorang penduduk kampung, Khairul Azman Sazali, 26, menyifatkan projek tersebut sangat baik kerana permintaan pisang yang tinggi di pasaran.
"Bengkel ini memberi peluang kepada penduduk kampung untuk membuat perancangan dan pelan tindakan ke arah membangunkan serta memajukan produk desa bagi meningkatkan aktiviti ekonomi mereka," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pengurusan Desa, Bahagian Pembangunan Sosial dan Antarabangsa Infra, Norazman Abdul Rahman berkata, penduduk digesa meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai projek yang hendak dijalankan terlebih dahulu bagi mengelakkan timbul masalah ketika projek tersebut berjalan.
"Kegagalan menguasai ilmu tentang sesuatu projek akan menyebabkan projek itu terbengkalai dan hanya menjadi projek gajah putih," kata beliau.
Tambahnya, penduduk luar bandar harus merebut segala peluang yang diberikan kerajaan bagi memajukan diri dan kampung masing-masing dari segi ekonomi sekali gus membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Monday, May 28, 2012

ladang kontrak

Ladang kontrak tambah hasil
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
28 Mei 2012
Ladang kontrak tambah hasil
Noh (dua, kiri) menyempurnakan gimik persembahan sempena majlis penutup
Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Perlis tahun 2012
KANGAR - Kementerian Pertanian dan Asas Tani melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersedia menawarkan skim perladangan kontrak (contract farming) kepada mana-mana pengusaha yang menyertai Projek Desa Harumanis anjuran Kerajaan Negeri Perlis demi meningkatkan lagi hasil pengeluaran mangga harumanis.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya mengenal pasti mangga harumanis mempunyai pasaran luas dan mampu menjana pendapatan lumayan disebabkan permintaannya yang sangat tinggi dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, pihaknya melalui Fama sedia memberikan peruntukan maksimum RM5,000 kepada pengusaha yang berminat menanam mangga harumanis secara komersial.

“Manakala, sebarang tambahan modal daripada pengusaha terlibat akan mendapat kelulusan segera daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) bergantung kepada penilaian Tekun dan Fama.

“Rakyat Perlis perlu merebut peluang ini untuk menambahkan pendapatan dengan menanam mangga harumanis kerana hasil pengeluaran mangga sedia ada masih tidak mampu memenuhi keperluan eksport di beberapa buah negara termasuk Jepun,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis di Dataran Sheikh Ahmad, Kangar semalam.

Turut hadir Exco Pertanian, Sabry Ahmad, Exco Tanah, Datuk Mohd Rawi Kassim dan barisan kepimpinan jabatan kerajaan.

Noh berkata, berdasarkan statistik terkini, pihaknya menganggarkan sekurang- kurangnya 100,000 tan metrik mangga harumanis perlu dihasilkan oleh negara ini bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

Menurutnya, sehingga kini, pengeluaran mangga harumanis dan beberapa jenis mangga lain hanya mencapai jumlah 50,000 tan metrik dan perkara ini perlu dilihat sebagai perkara positif oleh pengusaha mangga bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Sebelum ini, saya ada berjumpa seorang usahawan Malaysia yang tinggal di Jepun dan beliau menyatakan kebimbangan akan disaman oleh kerajaan Jepun disebabkan tidak mampu mengeksport sekurang-kurangnya tujuh lori kontena berisi mangga harumanis ke negara itu.

“Berdasarkan kebimbangan itu, pengusaha mangga terutama penduduk Perlis perlu mengambil peluang untuk meningkatkan pengeluaran hasil mangga harumanis dan saya jamin anda tidak perlu bimbang mengenai soal pemasaran,” katanya.

Noh turut menegaskan pengeluaran mangga harumanis di Perlis yang mencecah jumlah 300,000 tan metrik setahun masih jauh daripada keperluan pemasaran dan menyasarkan pengeluaran mangga itu mampu ditingkatkan epada 1,500 tan metrik menjelang 2015.

“Mulai saat ini, petani dan peladang perlu mengubah persepsi pertanian dan memfokuskan kepada mengusahakan tanaman komoditi yang dijamin memberi hasil lumayan seperti mangga harumanis bagi membolehkan mereka menikmati pendapatan lumayan,” katanya.

Dalam majlis itu, Noh turut berkesempatan menyerahkan cek replika peruntukan pembangunan dan insentif yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada jabatan dan agensi di bawah MMK Pertanian negeri Perlis bagi tahun 2012 dengan jumlah keseluruhan RM285,970,851 juta kepada ketua jabatan terlibat.

Friday, May 25, 2012

oku

Berjaya biarpun tanpa tangan
Wartawan Sinar Harian
25 Mei 2012
Berjaya biarpun tanpa tangan
Razali menghasilkan lukisan dengan menggunakan kaki sambil diperhatikan sahabat karibnya, Muhammad Hafiza Ibrahim, 25 sempena Program Bumi Hijau dan Keceriaan PDK Batu Rakit.
BATU RAKIT – Siapa kata orang kurang upaya (OKU) tidak boleh hidup mewah, kekurangan diri mengehadkan peluang untuk mengejar impian dan masa depan yang lebih cerah.

Razali Rohani, 29 membuktikan tanggapan itu tidak benar. Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan namun dia reda malah berusaha gigih mencungkil kelebihan diri untuk meraih rezeki lumayan.

"Setiap kekurangan yang ALLAH SWT kurniakan akan ada kelebihan yang hanya kita sendiri tahu, saya kini mampu hidup mewah dengan hasil jualan lukisan walaupun melukis dengan menggunakan kaki," katanya.

Berkat usaha gigih tanpa kalah dengan simpati masyarakat, anak ketiga daripada sepuluh beradik kini mampu berbangga apabila hasil kreativitinya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kata Razali, dia sendiri tidak pernah mimpi untuk menjual hasil lukisannya sehingga ke Kanada, namun tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia ALLAH yang tentukan.

Anak kelahiran Kampung Mengabang Lekor ini berkecimpung dalam bidang seni sejak tujuh tahun lalu setelah menyertai Persatuan Pelukis Mulut dan Kaki di Ampang, Selangor.

Ternyata rezekinya mula melimpah apabila lukisan bertemakan corak batik dan pemandangan amat digemari masyarakat di luar negara.

“Sebagai OKU, peluang saya tidak banyak, oleh itu mengambil keputusan belajar kemahiran Pusat Pemulihan OKU Cheras, Selangor.

"Di sana saya mendalami bidang seni lukis dan komputer, saya ambil masa lima tahun untuk menamatkan pengajian," katanya.

Kata Razali, dia bukannya dilahirkan dengan bakat besar dalam bidang lukisan tetapi mengenangkan tidak banyak dapat dilakukan untuk mengubah nasib diri, dia belajar melukis.

"Kini pendapatan saya lebih daripada cukup untuk menampung sara hidup, saya juga gembira kerana mampu memiliki kereta yang telah diubahsuai untuk golongan seperti saya," katanya ketika ditemui pada Program Bumi Hijau dalam PDK Batu Rakit.

Menurutnya, lukisan yang dihasilkan bersaiz A3 mampu disiapkan dalam masa tiga hingga empat hari sebelum dihantar ke Kanada.

“Saya gembira dengan kerjaya ini kerana mampu membuktikan OKU juga boleh berjaya seperti juga mereka yang normal,” katanya.

Dia harap kejayaan yang dicapai mampu memberi inspirasi kepada OKU lain untuk berjaya dalam hidup dan tidak hanya bergantung kepada bantuan.

kraf daun getah

ARKIB : 24/05/2012

Daun getah hasilkan produk komersial

SEBAHAGIAN daripada gubahan bunga daun getah yang dihasilkan peserta program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil, Kuala Tembeling, Pahang, semalam.
JERANTUT 23 Mei - Kenaikan harga getah di negara ini memberi manfaat kepada pengusaha ladang dan kebun tersebut kerana sebelum ini harga yang dijual agak rendah sehingga menyukarkan mereka menguruskan kewangan.
Bukan setakat itu sahaja, pokok getah itu turut mendatangkan faedah sama ada kayu dan daunnya berikutan ia boleh dipelbagaikan bagi tujuan tertentu termasuk perabot.
Bagaimanapun, bagi sekumpulan kaum hawa di Kuala Tembeling di sini, mereka memilih daun getah untuk dijadikan bunga sebagai salah satu cabang keusahawanan dalam mencari sumber pendapatan.
Projek bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) itu diusahakan oleh 10 orang suri rumah.
Penyelarasnya, Rogayah Saat, 46, berkata, dia menghadiri kursus untuk membuat dan menggubah bunga menggunakan daun getah yang dianjurkan oleh agensi itu di Terengganu pada 1999.
Setahun kemudian jelasnya, kumpulan wanita berkenaan mendapat bantuan kewangan daripada RISDA untuk dijadikan modal bagi memulakan perniagaan mereka menghasilkan bunga daripada daun pokok berkenaan.
Katanya, antara hasil kerja ahli kumpulan tersebut termasuk bunga hiasan, bunga telur, bingkai gambar dan penanda buku.
"Setangkai bunga dijual pada harga RM2.50 hingga RM10 manakala bunga yang siap digubah dijual dengan harga RM35 hingga RM250 bergantung kepada saiz.
"Selain menjual bunga yang telah siap, kita turut menghasilkan bunga mengikut cita rasa dan tempahan pengguna terutama dari segi saiz dan warna," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai cara pembuatan bunga tersebut, Rogayah berkata, daun getah yang digunakan haruslah berkualiti dengan saiz ukuran satu hingga 10 inci.
Menurutnya, pemilihan daun sangat penting untuk mendapatkan hasil yang memuaskan dan bekalan itu diperoleh melalui pembekal dari Johor dan Melaka dengan harga mencecah RM350 sekilogram.
"Sebelum digubah menjadi bunga, daun-daun tersebut direndam ke dalam air atau dasar sungai untuk proses membuang lapisan hijau.
"Proses ini perlu mengambil masa lama sehingga tiga minggu untuk mendapatkan kualiti yang baik," katanya.
Tambahnya, daun yang telah hilang lapisan hijau akan direndam ke dalam peluntur supaya menjadi putih dan cantik.
Rogayah berkata, proses pengeringan daun tersebut hanya dijalankan menggunakan kipas sahaja dan tidak boleh diletakkan di bawah cahaya matahari kerana ia akan menjadi rapuh dan mudah terkoyak.
"Bunga-bunga yang telah siap akan diwarnakan menggunakan warna-warna yang cantik dan terang untuk menarik perhatian pelanggan," ujarnya.
Selain menjual kepada rakan-rakan dan jiran, katanya, hasil kerja kumpulan terbabit turut dipasarkan kepada orang ramai setiap kali berlangsungnya program tertentu di Jerantut.
"Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan dan kami lihat produk ini mempunyai potensi yang sangat luas.
"Kami banyak menerima tempahan bunga telur yang digunakan untuk majlis tertentu terutama kenduri kahwin dan berharap perusahaan itu dapat menembusi pasaran luar Jerantut dan dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa," jelasnya.

Tuesday, May 22, 2012

chef nazrie

ARKIB : 19/05/2012

Hidangan metropolitan Chef nazrie

SELAIN hidangan yang enak, Carcosa Seri Negara juga menawarkan suasana menjamu selera yang mendamaikan.
APABILA menyentuh mengenai soal masakan, makanan gabungan (fusion food) merupakan kaedah paling asas untuk mencampurkan dua kebudayaan berbeza dalam satu pinggan.
Sebatian hidangan baru itu sebenarnya telah lama wujud sejak zaman pedagang rempah mengembara dari satu negara ke tempat baru sekali gus mencetuskan kewujudan gaya masakan campuran.
Hidangan jenis ini jika dilihat sering ditawarkan di kawasan yang terdapat pelbagai budaya berbeza seperti kawasan metropolitan.
Lebih besar kepelbagaian budaya penduduk tersebut, lebih mudah hidangan ini ditemui seperti masakan Perancis digabungkan dengan masakan Asia ataupun masakan Cina dengan sajian Vietnam.
Boleh dikatakan idea gaya masakan ini merebak dengan pantas oleh kerana permintaan pelanggan untuk menikmati kebudayaan dan masakan dunia sentiasa tinggi.
Tiada yang mustahil dalam masakan, kerana hidangan Jerman tradisional yang digabungkan dengan cita rasa masakan India juga enak dinikmati.
Mana tidaknya, hidangan tersebut menggunakan bahan-bahan tempatan yang mudah disesuaikan mengikut cita rasa masyarakat setempat tanpa mengira etnik mana anda dikategorikan dalam peta dunia.
Baru-baru ini, S3 berkunjung ke Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur untuk bertemu Chef Eksekutif Carcosa Seri Negara, Nazrie Shaaban, 33.
Beliau yang berasal dari Tanjung Dawai, Kedah Darul Aman berkhidmat di hotel bersejarah itu sejak 2008.
Chef Nazrie berkata, sejak dari kecil lagi minatnya ke arah bidang kulinari kerana ia memberikannya kepuasan melihat para pelanggan menikmati juadah yang disajikan.
"Sebagai seorang chef, kami berasa puas apabila pelanggan memberikan komen yang baik terhadap masakan yang disediakan," jelasnya.
Biarpun kepakaran Chef Nazrie terletak pada kekuatan masakan Melayu, namun beliau juga berkebolehan menyediakan apa jua menu yang dipesan pelanggan Carcosa Seri Negara yang terkenal dengan masakan ala Perancis.
"Masa pembukaan semula pada 2010, saya diminta menyediakan masakan Perancis, tetapi apabila saya tunjukkan idea dan skil menghasilkan juadah masakan gabungan, mereka menerima pendapat saya dengan baik.
"Hasilnya, kini Carcosa Seri Negara menawarkan menu masakan Melayu dengan kaedah masakan Perancis secara ala-carte seperti Ikan Tun Khazanah Laut, Rusuk Kambing Roganjosh, Ikan Tuna Salai Daun Kemangi dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, kesemua hidangan yang ditawarkan dimasak bersama bahan-bahan segar dan bermutu tinggi.
Dikelilingi suasana hijau, para pengunjung yang ingin menikmati juadah signature dish pastinya merasai ketenangan sepanjang menjamu selera.
"Masakan Melayu amat unik dan berlainan daripada yang lain. Jika kita menikmati masakan barat, mereka makan hanya dengan sos lada hitam sahaja tetapi di dalam rendang, kita dapat rasa pelbagai ramuan dan rempah ratus berbeza.
"Kalau boleh, saya nak naikkan martabat masakan Melayu agar ia dikenali di seluruh dunia.
"Bekas pengurus besar saya pernah memberikan tip masakan iaitu kalau ingin memasak, masaklah satu hidangan seperti anda sedang melihat wanita seksi.
"Maknanya kalau masakan ini dipersembahkan dan dihias cantik serta rasanya enak, maka itulah masakan paling bernilai diberikan kepada pelanggan," katanya sambil ketawa.
Tambahnya, ada juga pihak yang berkata chef yang menghidangkan masakan gabungan merosakkan resipi asal sesuatu hidangan itu.
Namun bagi pendapatnya, masakan gabungan ada peminat tersendiri.
"Chef dari Malaysia lebih beruntung kerana kami berkemahiran untuk menyediakan apa jua masakan dari barat hingga ke timur.
"Chef dari luar negara lebih berbangga dengan masakan mereka sehingga ada di antara mereka enggan belajar masakan lain.
"Kalau saya masak ikan keli bersama bahan-bahan masakan barat, apakah masakan ini akan digelar menu masakan barat atau adakah masakan itu akan dilabelkan sebagai masakan Melayu?
"Begitu juga dengan resipi yang kami hasilkan seperti Ikan Tun Khazanah Laut. Kami gunakan ikan kod yang dimasak bersama rempah tempatan yang segar sehingga ada pelanggan mengatakan masakan kami seperti masakan Chef Michelin," katanya.

Friday, May 18, 2012

jaga solat bawa tuah

Jaga solat faktor kejayaan
Wartawan Sinar Harian
18 Mei 2012
kejayaan
Muhammad Azfar (berdiri, kiri) bersama Nurul Najihah (duduk, kanan) berkongsi rahsia kejayaan masing-masing bersama tiga lagi pelajar istimewa yang turut mendapat anugerah kecem
JOHOR BAHRU – Kecacatan fizikal sebagai insan kerdil serta ejekan rakan sebaya tidak menjadi penghalang kepada Nurul Najiha Ishak, 16, mencapai kecemerlangan dengan keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu.

Nurul Najiha berkata, cabaran yang dihadapi menjadikannya lebih bersemangat untuk bersaing dengan rakan-rakan lain bagi membuktikan dirinya juga mampu berjaya seperti insan normal lain.

Anak ketiga daripada lima beradik ini yang bercita-cita menjadi doktor berkata, resipi kejayaannya adalah dengan sentiasa menjaga hubungan di antara Tuhan dan manusia di samping usaha gigih dalam pelajaran.

“Memang ada rakan-rakan yang mengejek dan menghina kekurangan saya, tetapi saya sudah biasa dengan keadaan ini dan terus bertekad untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Selain menumpukan perhatian sepenuhnya dalam proses pembelajaran, saya juga sentiasa menjaga hubungan dengan Tuhan iaitu menunaikan solat dan melakukan ibadat dengan sempurna.

“Selain itu, saya juga mengelakkan dari menyakiti hati orang lain dan berlaku baik terhadap kedua ibu bapa, keluarga serta orang di sekeliling,” katanya.

Anak kepada pasangan petani dan suri rumah yang berasal dari Tongkang Pecah, Batu Pahat ini berharap dia akan terus sukses dan menempa kecemerlangan pada masa akan datang bagi merealisasikan hasrat membantu masyarakat sebagai doktor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kecemerlangan Pelajar Istimewa PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peringkat Negeri Johor anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat, di sini, semalam.

Sementara itu, pelajar cemerlang SPM, Muhammad Azfar Firdaus Azlah, 18, berkata, pencapaian 9A dalam SPM tahun lalu menyuntik semangat kepadanya untuk terus mencapai kejayaan.

“Akibat penyakit albino, saya terpaksa belajar menggunakan teleskop di sekolah kerana menghadapi masalah penglihatan.

“Namun saya bersyukur dengan kehadiran keluarga, guru dan rakan-rakan yang tidak jemu memberi sokongan dan membantu saya dalam pelajaran,” katanya.

Muhammad Azfar yang berasal dari Kampung Api-api, Pontian ini berkata, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang ekonomi selepas kejayaan yang dikecapnya itu.

Thursday, May 17, 2012

tebus kegagalan

Tebus gagal penuh gaya

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SHAH ALAM: Kegagalan menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tujuh tahun lalu menjadi kekuatan buat Mohd Fairus Ahmad, 28, yang tekad tidak mahu mengulangi kesilapan sama hingga meraih Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-76 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), di sini, semalam.
Mohd Fairus penerima Diploma Sains Komputer dan Matematik dengan nilai purata gred kumulatif (CGPA) 3.82 berkata, kenangan pahitnya itu terubat dengan anugerah yang berjaya diraih.

Menurutnya, ketika gagal menamatkan pengajian tujuh tahun lalu, ibu bapa adalah insan yang paling kecewa dengan keadaan itu.

“Pertama kali menjejakkan kaki di universiti ini sebagai penuntut diploma pada usia yang agak lanjut adalah cabaran yang hebat.

“Tetapi, gurau senda rakan-rakan yang jauh lebih muda menjadi pemangkin untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya.

“Selain itu, saya tekad meneruskan pengajian kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lalu seperti yang diharapkan ibu bapa,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Naib Canselor, di sini, semalam.


Mohd Fairus yang juga generasi kedua peneroka Felda di Felda Lok Hong Timur, Kota Tinggi, Johor, hadir bersama ibu dan abangnya iaitu Faridah Abdul Samad, 48, dan Firdaus Ahmad, 30.

Faridah berkata, kejayaan anaknya itu adalah anugerah berganda selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk seramai 112,635 peneroka Felda menerima durian runtuh RM15,000 satu keluarga pada Selasa lalu di Jerantut, Pahang.

“Saya bersyukur dia berjaya menamatkan pengajian. Sewaktu pertama kali dia menyatakan hasrat untuk belajar hati saya sangat gembira,” katanya.

“Tambahan pula pada kali ini dia berjaya dengan cemerlang dan ia keseronokan berganda selepas berita gembira pengumuman Perdana Menteri untuk Felda, ia adalah anugerah yang terhebat,” katanya.

Faridah berkata, walaupun anaknya itu pernah gagal dalam pengajian sebelum ini, keluarganya terus memberikan galakan apabila Mohd Fairus membuat keputusan menyambung semula pengajian di UiTM.

Tuesday, May 8, 2012

wanita 4k

Wanita perlu ada ciri 4K
Wartawan Sinar Harian
7 Mei 2012
Wanita perlu ada ciri 4K
Najib melawat pameran peserta Pandu Puteri selepas merasmikan Pandu Puteri Turun Padang di Rompin, semalam.
KUALA ROMPIN - Golongan wanita luar bandar perlu mempunyai ciri 4K iaitu keilmuan, kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan dalam usaha memperkasa serta meningkatkan taraf hidup mereka pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, wanita di negara ini mempunyai kedudukan yang baik jika dibandingkan wanita negara lain kerana mereka tidak memperjuangkan hak kesamarataan gender.

Sehubungan itu katanya, golongan wanita perlu mempunyai empat elemen berkenaan untuk memartabatkan taraf kehidupan mereka seiring dengan golongan wanita di kawasan bandar.

“Aspek keilmuan adalah perkara paling penting kerana ia membabitkan ilmu secara formal dan sebaliknya terutama ketika kita mendidik anak-anak.

“Jika perkara itu diabaikan, maka tidak mustahil masalah sosial seperti samseng jalanan dan mat rempit akan meningkat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang, Tengku Puan Tunku Azizah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata, aspek kemahiran dan keusahawanan saling berkaitan kerana ia mampu menambahkan pendapatan golongan wanita jika keduanya dipraktikkan secara maksimum.

Beliau berkata, wanita boleh meminta bantuan daripada agensi kerajaan untuk membantu mereka memulakan langkah pertama dalam bidang keusahawanan.

“Agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) boleh membantu mereka jika mahu pergi jauh dalam bidang keusahawanan, namun ia perlu disertai dengan aspek kemahiran.

“Aspek kepimpinan pula dapat diperoleh dengan pembabitan secara langsung dalam aktiviti badan bukan kerajaan seperti Pandu Puteri ini. Jika kesemua aspek ini dimiliki nescaya wanita desa akan menjadi lebih unggul,” katanya.