Monday, May 28, 2012

ladang kontrak

Ladang kontrak tambah hasil
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
28 Mei 2012
Ladang kontrak tambah hasil
Noh (dua, kiri) menyempurnakan gimik persembahan sempena majlis penutup
Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Perlis tahun 2012
KANGAR - Kementerian Pertanian dan Asas Tani melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersedia menawarkan skim perladangan kontrak (contract farming) kepada mana-mana pengusaha yang menyertai Projek Desa Harumanis anjuran Kerajaan Negeri Perlis demi meningkatkan lagi hasil pengeluaran mangga harumanis.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya mengenal pasti mangga harumanis mempunyai pasaran luas dan mampu menjana pendapatan lumayan disebabkan permintaannya yang sangat tinggi dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, pihaknya melalui Fama sedia memberikan peruntukan maksimum RM5,000 kepada pengusaha yang berminat menanam mangga harumanis secara komersial.

“Manakala, sebarang tambahan modal daripada pengusaha terlibat akan mendapat kelulusan segera daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) bergantung kepada penilaian Tekun dan Fama.

“Rakyat Perlis perlu merebut peluang ini untuk menambahkan pendapatan dengan menanam mangga harumanis kerana hasil pengeluaran mangga sedia ada masih tidak mampu memenuhi keperluan eksport di beberapa buah negara termasuk Jepun,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis di Dataran Sheikh Ahmad, Kangar semalam.

Turut hadir Exco Pertanian, Sabry Ahmad, Exco Tanah, Datuk Mohd Rawi Kassim dan barisan kepimpinan jabatan kerajaan.

Noh berkata, berdasarkan statistik terkini, pihaknya menganggarkan sekurang- kurangnya 100,000 tan metrik mangga harumanis perlu dihasilkan oleh negara ini bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

Menurutnya, sehingga kini, pengeluaran mangga harumanis dan beberapa jenis mangga lain hanya mencapai jumlah 50,000 tan metrik dan perkara ini perlu dilihat sebagai perkara positif oleh pengusaha mangga bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Sebelum ini, saya ada berjumpa seorang usahawan Malaysia yang tinggal di Jepun dan beliau menyatakan kebimbangan akan disaman oleh kerajaan Jepun disebabkan tidak mampu mengeksport sekurang-kurangnya tujuh lori kontena berisi mangga harumanis ke negara itu.

“Berdasarkan kebimbangan itu, pengusaha mangga terutama penduduk Perlis perlu mengambil peluang untuk meningkatkan pengeluaran hasil mangga harumanis dan saya jamin anda tidak perlu bimbang mengenai soal pemasaran,” katanya.

Noh turut menegaskan pengeluaran mangga harumanis di Perlis yang mencecah jumlah 300,000 tan metrik setahun masih jauh daripada keperluan pemasaran dan menyasarkan pengeluaran mangga itu mampu ditingkatkan epada 1,500 tan metrik menjelang 2015.

“Mulai saat ini, petani dan peladang perlu mengubah persepsi pertanian dan memfokuskan kepada mengusahakan tanaman komoditi yang dijamin memberi hasil lumayan seperti mangga harumanis bagi membolehkan mereka menikmati pendapatan lumayan,” katanya.

Dalam majlis itu, Noh turut berkesempatan menyerahkan cek replika peruntukan pembangunan dan insentif yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada jabatan dan agensi di bawah MMK Pertanian negeri Perlis bagi tahun 2012 dengan jumlah keseluruhan RM285,970,851 juta kepada ketua jabatan terlibat.

No comments:

Post a Comment