Berjaya biarpun tanpa tangan
25 Mei 2012
Razali Rohani, 29 membuktikan tanggapan itu tidak benar. Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan namun dia reda malah berusaha gigih mencungkil kelebihan diri untuk meraih rezeki lumayan.
"Setiap kekurangan yang ALLAH SWT kurniakan akan ada kelebihan yang hanya kita sendiri tahu, saya kini mampu hidup mewah dengan hasil jualan lukisan walaupun melukis dengan menggunakan kaki," katanya.
Berkat usaha gigih tanpa kalah dengan simpati masyarakat, anak ketiga daripada sepuluh beradik kini mampu berbangga apabila hasil kreativitinya diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kata Razali, dia sendiri tidak pernah mimpi untuk menjual hasil lukisannya sehingga ke Kanada, namun tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia ALLAH yang tentukan.
Anak kelahiran Kampung Mengabang Lekor ini berkecimpung dalam bidang seni sejak tujuh tahun lalu setelah menyertai Persatuan Pelukis Mulut dan Kaki di Ampang, Selangor.
Ternyata rezekinya mula melimpah apabila lukisan bertemakan corak batik dan pemandangan amat digemari masyarakat di luar negara.
“Sebagai OKU, peluang saya tidak banyak, oleh itu mengambil keputusan belajar kemahiran Pusat Pemulihan OKU Cheras, Selangor.
"Di sana saya mendalami bidang seni lukis dan komputer, saya ambil masa lima tahun untuk menamatkan pengajian," katanya.
Kata Razali, dia bukannya dilahirkan dengan bakat besar dalam bidang lukisan tetapi mengenangkan tidak banyak dapat dilakukan untuk mengubah nasib diri, dia belajar melukis.
"Kini pendapatan saya lebih daripada cukup untuk menampung sara hidup, saya juga gembira kerana mampu memiliki kereta yang telah diubahsuai untuk golongan seperti saya," katanya ketika ditemui pada Program Bumi Hijau dalam PDK Batu Rakit.
Menurutnya, lukisan yang dihasilkan bersaiz A3 mampu disiapkan dalam masa tiga hingga empat hari sebelum dihantar ke Kanada.
“Saya gembira dengan kerjaya ini kerana mampu membuktikan OKU juga boleh berjaya seperti juga mereka yang normal,” katanya.
Dia harap kejayaan yang dicapai mampu memberi inspirasi kepada OKU lain untuk berjaya dalam hidup dan tidak hanya bergantung kepada bantuan.
No comments:
Post a Comment