Tuesday, May 8, 2012

wanita 4k

Wanita perlu ada ciri 4K
Wartawan Sinar Harian
7 Mei 2012
Wanita perlu ada ciri 4K
Najib melawat pameran peserta Pandu Puteri selepas merasmikan Pandu Puteri Turun Padang di Rompin, semalam.
KUALA ROMPIN - Golongan wanita luar bandar perlu mempunyai ciri 4K iaitu keilmuan, kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan dalam usaha memperkasa serta meningkatkan taraf hidup mereka pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, wanita di negara ini mempunyai kedudukan yang baik jika dibandingkan wanita negara lain kerana mereka tidak memperjuangkan hak kesamarataan gender.

Sehubungan itu katanya, golongan wanita perlu mempunyai empat elemen berkenaan untuk memartabatkan taraf kehidupan mereka seiring dengan golongan wanita di kawasan bandar.

“Aspek keilmuan adalah perkara paling penting kerana ia membabitkan ilmu secara formal dan sebaliknya terutama ketika kita mendidik anak-anak.

“Jika perkara itu diabaikan, maka tidak mustahil masalah sosial seperti samseng jalanan dan mat rempit akan meningkat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang, Tengku Puan Tunku Azizah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata, aspek kemahiran dan keusahawanan saling berkaitan kerana ia mampu menambahkan pendapatan golongan wanita jika keduanya dipraktikkan secara maksimum.

Beliau berkata, wanita boleh meminta bantuan daripada agensi kerajaan untuk membantu mereka memulakan langkah pertama dalam bidang keusahawanan.

“Agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) boleh membantu mereka jika mahu pergi jauh dalam bidang keusahawanan, namun ia perlu disertai dengan aspek kemahiran.

“Aspek kepimpinan pula dapat diperoleh dengan pembabitan secara langsung dalam aktiviti badan bukan kerajaan seperti Pandu Puteri ini. Jika kesemua aspek ini dimiliki nescaya wanita desa akan menjadi lebih unggul,” katanya.

No comments:

Post a Comment