Hidangan metropolitan Chef nazrie
Sebatian hidangan baru itu sebenarnya telah lama wujud sejak zaman pedagang rempah mengembara dari satu negara ke tempat baru sekali gus mencetuskan kewujudan gaya masakan campuran.
Hidangan jenis ini jika dilihat sering ditawarkan di kawasan yang terdapat pelbagai budaya berbeza seperti kawasan metropolitan.
Lebih besar kepelbagaian budaya penduduk tersebut, lebih mudah hidangan ini ditemui seperti masakan Perancis digabungkan dengan masakan Asia ataupun masakan Cina dengan sajian Vietnam.
Boleh dikatakan idea gaya masakan ini merebak dengan pantas oleh kerana permintaan pelanggan untuk menikmati kebudayaan dan masakan dunia sentiasa tinggi.
Tiada yang mustahil dalam masakan, kerana hidangan Jerman tradisional yang digabungkan dengan cita rasa masakan India juga enak dinikmati.
Mana tidaknya, hidangan tersebut menggunakan bahan-bahan tempatan yang mudah disesuaikan mengikut cita rasa masyarakat setempat tanpa mengira etnik mana anda dikategorikan dalam peta dunia.
Baru-baru ini, S3 berkunjung ke Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur untuk bertemu Chef Eksekutif Carcosa Seri Negara, Nazrie Shaaban, 33.
Beliau yang berasal dari Tanjung Dawai, Kedah Darul Aman berkhidmat di hotel bersejarah itu sejak 2008.
Chef Nazrie berkata, sejak dari kecil lagi minatnya ke arah bidang kulinari kerana ia memberikannya kepuasan melihat para pelanggan menikmati juadah yang disajikan.
"Sebagai seorang chef, kami berasa puas apabila pelanggan memberikan komen yang baik terhadap masakan yang disediakan," jelasnya.
Biarpun kepakaran Chef Nazrie terletak pada kekuatan masakan Melayu, namun beliau juga berkebolehan menyediakan apa jua menu yang dipesan pelanggan Carcosa Seri Negara yang terkenal dengan masakan ala Perancis.
"Masa pembukaan semula pada 2010, saya diminta menyediakan masakan Perancis, tetapi apabila saya tunjukkan idea dan skil menghasilkan juadah masakan gabungan, mereka menerima pendapat saya dengan baik.
"Hasilnya, kini Carcosa Seri Negara menawarkan menu masakan Melayu dengan kaedah masakan Perancis secara ala-carte seperti Ikan Tun Khazanah Laut, Rusuk Kambing Roganjosh, Ikan Tuna Salai Daun Kemangi dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, kesemua hidangan yang ditawarkan dimasak bersama bahan-bahan segar dan bermutu tinggi.
Dikelilingi suasana hijau, para pengunjung yang ingin menikmati juadah signature dish pastinya merasai ketenangan sepanjang menjamu selera.
"Masakan Melayu amat unik dan berlainan daripada yang lain. Jika kita menikmati masakan barat, mereka makan hanya dengan sos lada hitam sahaja tetapi di dalam rendang, kita dapat rasa pelbagai ramuan dan rempah ratus berbeza.
"Kalau boleh, saya nak naikkan martabat masakan Melayu agar ia dikenali di seluruh dunia.
"Bekas pengurus besar saya pernah memberikan tip masakan iaitu kalau ingin memasak, masaklah satu hidangan seperti anda sedang melihat wanita seksi.
"Maknanya kalau masakan ini dipersembahkan dan dihias cantik serta rasanya enak, maka itulah masakan paling bernilai diberikan kepada pelanggan," katanya sambil ketawa.
Tambahnya, ada juga pihak yang berkata chef yang menghidangkan masakan gabungan merosakkan resipi asal sesuatu hidangan itu.
Namun bagi pendapatnya, masakan gabungan ada peminat tersendiri.
"Chef dari Malaysia lebih beruntung kerana kami berkemahiran untuk menyediakan apa jua masakan dari barat hingga ke timur.
"Chef dari luar negara lebih berbangga dengan masakan mereka sehingga ada di antara mereka enggan belajar masakan lain.
"Kalau saya masak ikan keli bersama bahan-bahan masakan barat, apakah masakan ini akan digelar menu masakan barat atau adakah masakan itu akan dilabelkan sebagai masakan Melayu?
"Begitu juga dengan resipi yang kami hasilkan seperti Ikan Tun Khazanah Laut. Kami gunakan ikan kod yang dimasak bersama rempah tempatan yang segar sehingga ada pelanggan mengatakan masakan kami seperti masakan Chef Michelin," katanya.
No comments:
Post a Comment