Friday, May 25, 2012

kraf daun getah

ARKIB : 24/05/2012

Daun getah hasilkan produk komersial

SEBAHAGIAN daripada gubahan bunga daun getah yang dihasilkan peserta program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil, Kuala Tembeling, Pahang, semalam.
JERANTUT 23 Mei - Kenaikan harga getah di negara ini memberi manfaat kepada pengusaha ladang dan kebun tersebut kerana sebelum ini harga yang dijual agak rendah sehingga menyukarkan mereka menguruskan kewangan.
Bukan setakat itu sahaja, pokok getah itu turut mendatangkan faedah sama ada kayu dan daunnya berikutan ia boleh dipelbagaikan bagi tujuan tertentu termasuk perabot.
Bagaimanapun, bagi sekumpulan kaum hawa di Kuala Tembeling di sini, mereka memilih daun getah untuk dijadikan bunga sebagai salah satu cabang keusahawanan dalam mencari sumber pendapatan.
Projek bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) itu diusahakan oleh 10 orang suri rumah.
Penyelarasnya, Rogayah Saat, 46, berkata, dia menghadiri kursus untuk membuat dan menggubah bunga menggunakan daun getah yang dianjurkan oleh agensi itu di Terengganu pada 1999.
Setahun kemudian jelasnya, kumpulan wanita berkenaan mendapat bantuan kewangan daripada RISDA untuk dijadikan modal bagi memulakan perniagaan mereka menghasilkan bunga daripada daun pokok berkenaan.
Katanya, antara hasil kerja ahli kumpulan tersebut termasuk bunga hiasan, bunga telur, bingkai gambar dan penanda buku.
"Setangkai bunga dijual pada harga RM2.50 hingga RM10 manakala bunga yang siap digubah dijual dengan harga RM35 hingga RM250 bergantung kepada saiz.
"Selain menjual bunga yang telah siap, kita turut menghasilkan bunga mengikut cita rasa dan tempahan pengguna terutama dari segi saiz dan warna," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai cara pembuatan bunga tersebut, Rogayah berkata, daun getah yang digunakan haruslah berkualiti dengan saiz ukuran satu hingga 10 inci.
Menurutnya, pemilihan daun sangat penting untuk mendapatkan hasil yang memuaskan dan bekalan itu diperoleh melalui pembekal dari Johor dan Melaka dengan harga mencecah RM350 sekilogram.
"Sebelum digubah menjadi bunga, daun-daun tersebut direndam ke dalam air atau dasar sungai untuk proses membuang lapisan hijau.
"Proses ini perlu mengambil masa lama sehingga tiga minggu untuk mendapatkan kualiti yang baik," katanya.
Tambahnya, daun yang telah hilang lapisan hijau akan direndam ke dalam peluntur supaya menjadi putih dan cantik.
Rogayah berkata, proses pengeringan daun tersebut hanya dijalankan menggunakan kipas sahaja dan tidak boleh diletakkan di bawah cahaya matahari kerana ia akan menjadi rapuh dan mudah terkoyak.
"Bunga-bunga yang telah siap akan diwarnakan menggunakan warna-warna yang cantik dan terang untuk menarik perhatian pelanggan," ujarnya.
Selain menjual kepada rakan-rakan dan jiran, katanya, hasil kerja kumpulan terbabit turut dipasarkan kepada orang ramai setiap kali berlangsungnya program tertentu di Jerantut.
"Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan dan kami lihat produk ini mempunyai potensi yang sangat luas.
"Kami banyak menerima tempahan bunga telur yang digunakan untuk majlis tertentu terutama kenduri kahwin dan berharap perusahaan itu dapat menembusi pasaran luar Jerantut dan dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa," jelasnya.

No comments:

Post a Comment