Thursday, May 12, 2011

Buku

Coretan X nuripilot: Buku wajib baca rakyat Malaysia

Oleh Zaini Hassan

MINGGU lalu saya menerima bungkusan kiriman ke alamat rumah saya di Shah Alam. Ia datang dari Jitra, Kedah. Itu adalah daerah kelahiran saya. Sebelum membukanya saya menjangka mungkin ia surat penting atau amanat yang mahu saya uruskan oleh sanak saudara di sana.

Dengan cermat saya membukanya. Melihat isinya, saya tiba-tiba tersenyum. Sebuah buku daripada seorang teman yang belum pernah saya ketemu, tapi sering bercakap melalui telefon dan melayan surat-suratnya yang sering saya siarkan dalam ruangan Forum pembaca Utusan Malaysia. Saya juga mengenali beliau sebagai aktivis veteran tentera yang sering merayu golongan perajurit diberi perhatian, pengiktirafan oleh kerajaan serta dibalas budi mereka yang pernah menentang kekejaman komunis demi keamanan hari ini.

Saya tahu beliau dalam proses menulis sebuah buku. Sering menelefon saya untuk mendapatkan gambar-gambar daripada arkib Utusan Melayu serta bantuan nasihat yang lain.

Beliau ialah Mejar Nor Ibrahim Sulaiman. Bekas juruterbang helikopter Nuri berusia 62 tahun. Bukunya bertajuk Coretan X Nuripilot.

Tiga hari penuh saya membaca buku setebal 264 muka surat itu. Terus terang saya katakan, jarang saya membaca sebuah buku dengan begitu khusyuk.

Saya cukup teruja membacanya. Begitu ‘grafik’ dan detail penceritaannya. Dihiasi dengan gambar-gambar menarik. Nor Ibrahim membawa saya ke era insurgensi keganasan komunis sekitar 1970-an dan awal 1980-an. Kisah mengenai pengorbanan pasukan tentera mempertahankan negara ini daripada kedurjanaan pengganas komunis Bintang Tiga. Kisah yang diceritakan secara naratif amat mengesankan.

Pengorbanan yang merampas banyak nyawa anak watan negara – tanpa mengira kaum bagi mempertahankan tanah pertiwi ini.

Hari terakhir sebelum mengakhiri bab penghabisan buku itu, sambil memandu kereta ke Kuala Lumpur saya menelefon Mejar Nor Ibrahim. Tanpa sempat beliau menyapa lanjut, saya berkata: ‘‘Saya cukup kagum dan teruja dengan buku itu. Saya kagum dengan perajurit kita.

‘‘Saya kagum dengan pengorbanan pasukan tentera udara, komando, tentera darat, pasukan pembersih jerangkap samar (booby trap clearance team), gunship helicopter Alouette yang dilengkapi dengan mesingan MG151 20mm yang mengeskot helikopter Nuri di kawasan operasi.”

Dan yang paling mengesankan perasaan, kata saya kepada Mejar Nur Ibrahim: ‘‘Anggota-anggota yang terlibat dalam pasukan tentera untuk membanteras pengganas komunis ketika itu adalah 1Malaysia.”

Ramai juruterbang, krew dan anggota tentera berbangsa Melayu, Cina, India, Punjabi dan Pribumi terkorban. Kejadian 26 April 1976 penerbangan terakhir Nuri FM1703 diceritakan. Ia mempunyai mesej 1Malaysia. Kapten (U) Choo menasihatkan Leftenan (U) Sharif yang sepatutnya menerbangkan pesawat itu supaya pulang ke kampung kerana isteri menunggu masa untuk bersalin.

Malangnya Nuri FM1703 yang membawa bekalan makanan dan pegawai tentera ditembak komunis. Kapten Choo, Leftenan (U) Chung Ming Teck, Leftenan (U) Wan Munsiff, Sarjan Leong, Kapten (U) Mustafa Kamal dan enam lagi terkorban.

Banyak nama perwira 1Malaysia yang terkorban disiarkan dalam buku itu.

Rata-rata 90 peratus rakyat Malaysia sekarang tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh pasukan angkatan tentera kita; dan tidak tahu apa yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap pasukan kita di perbatasan Malaysia-Thailand ketika itu, dalam Operasi (Ops) Sedar Gubir, Ops Gubir II, Ops Selamat Sawasdee.

Bagi saya sendiri, ketika itu generasi kami amat mentah untuk mengetahui pengorbanan pasukan kita yang terkorban, terputus kaki, tangan angkara jahanam pengganas itu. Namun, semangat juang yang diceritakan itu amat tinggi sekali.

‘‘Betul, kami semua ketika itu adalah 1Malaysia. Mempertahankan tanah air tanpa gentar, malah amat bersemangat sekali,” kata Mejar Nor Ibrahim dengan agak sebak apabila saya menyatakan amat teruja dengan Coretan X Nuripilot itu. Buku itu diterbitkan oleh beliau tanpa bantuan sesiapa. Dengan kos daripada duit pencennya yang tidak seberapa. Serta, terpaksa meredah pejabat Menteri Pertahanan untuk mendapatkan Sekapur Sirehnya.

‘‘Ketika itu, nyawa tiada bernilai berbanding dengan tanah air yang tercinta. Kami semua satu keluarga,” tambahnya.

Membaca Bab 2 Salasilah Keluarga, baharu saya tahu bahawa Nor Ibrahim yang kini menetap di Jitra, Kedah adalah generasi ke-5 Dato Maharaja Lela yang berkomplot membunuh Residen British, JWW Birch di Pasir Salak.

Mungkin atas darah patriotisme yang mengalirkan itulah, penulis yang juga blogger http://xnuripilot.blogspot.com: Jottings of an xnuripilot, berjaya menghasilkan buku sehebat itu.

Dalam buku itu beliau menulis: ‘‘Ramai anggota pasukan keselamatan terkorban dan cacat anggota sama ada semasa bertembung dengan pengganas komunis, diserang hendap atau terkena jerangkap samar. Pengganas komunis turut menjadikan helikopter Nuri sebagai sasaran. Bermula di Gubir dan seterusnya di kawasan Kroh (nama lama Pengkalan Hulu), Nuri ditembak sudah menjadi kebiasaan. Tidak salah saya merumuskan bahawa objektif utama pengganas komunis ialah untuk menjatuhkan helikopter Nuri kerana ia merupakan faktor utama pasukan keselamatan berjaya dalam operasi menentang pengganas komunis.

‘‘Banyak insiden Nuri dijadikan sasaran utama pengganas komunis. Nuri dijadikan sasaran semasa membuat approach, sedang hover (terapung di udara) dan mendarat di tapak Landing Point (LP).

‘‘Walaupun keadaan begitu getir, namun semangat juang anak kapal helikopter Nuri tidak pernah luntur, malah lebih berkobar-kobar. Bagi mengurangkan pendedahan kepada tembakan musuh, Nuri dieskot oleh Alouette ‘gunship’ semasa membuat penerbangan operasi di Gubir dan Kroh. Gunship akan straff (menembak bertubi-tubi kawasan yang dikenal pasti kehadiran pengganas komunis). Malah, di beberapa kawasan pesawat pejuang ketika itu, F5E dan Tebuan turut membantu. Pesawat-pesawat itu mengebom kawasan sebelum Nuri membuat pendaratan.”

Namun, di sebalik kisah-kisah ‘live’ yang cukup dramatik, sedih serta lucu dalam buku autobiografi Mejar Nor Ibrahim ini, beliau memulakan pendahuluannya dengan cukup bermakna.

‘‘Saya bukannya seorang penulis atau penglipur lara... Tetapi kerana terlalu kecewa dengan pihak tertentu yang cuba melobi agar Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai Chin Peng, dibenarkan kembali menetap di Malaysia, memaksa saya untuk meluahkan perasaan yang terpendam. Saya tidak nampak walau sekelumit sekali pun bagaimana golongan tersebut mahukan beliau berinteraksi semula dengan rakyat Malaysia tercinta ini tanpa mengambil kira perasaan kami yang berkorban demi untuk mempertahankan kedaulatan negara.”

Tidak perlu kita mengulas panjang mengenai buku ini. Bagi saya buku ini wajib dibaca oleh murid-murid sekolah kita dalam generasi baru sekarang. Mereka harus tahu apa yang berlaku semasa keganasan komunis dulu dan bandingkan dengan suasana aman sekarang.

Buku ini wajib dibaca oleh semua anggota tentera kita yang kini tidak (atau belum) lagi berperang atau berhadapan dengan musuh dan jerangkap samar.

Buku ini juga wajib dibaca oleh Wakil Rakyat kita – dari BN, DAP, PKR, Pas dan lain-lain supaya mereka dapat membuat pertimbangan arif lagi rasional terhadap tindak-tanduk yang bakal diambil kelak. Dan, buku ini wajib dibaca oleh seluruh rakyat 1Malaysia yang cintakan negara ini.

Memetik kata-kata Mejar Nor Ibrahim: Rakyat Malaysia, terutama pasca Merdeka...sedarilah bahawa kesejahteraan kehidupan yang anda kecapi dewasa ini adalah hasil daripada pengorbanan mereka yang terdahulu. Cintailah negara kita yang satu ini.

NOTA: Buku Coretan X nuripilot boleh

diperoleh dengan e-mel kepada penulis: nibsny@yahoo.com atau tel. 019-4744849
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment